Isnin, Disember 06, 2010

Tarik subsidi kroni, bukan rakyat


KUALA LUMPUR, 4 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) terkejut dengan pengumuman kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

Presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, kenaikan berkuatkuasa hari ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan.

“Persoalannya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 bilion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM5 bilion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya.

“Kenapa kos permulaan penubuhan Pemandu di bawah JPM berjumlah RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan tarik hak rakyat marhaen.

Ujarnya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsidi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

Soalnya, di mana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Tambahnya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya.

Katanya, itu sifar yang mudah dan sering berlaku.

Menurutnya, kenaikan harga komoditi ini tidak serentak dengan kenaikan pendapatan rakyat akan menyebabkan kos sara hidup dan beban rakyat akan bertambah.

“Kesan ini juga akan mengena kepada mahasiswa yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN yang sedikit ditambah beban yang mahal akan lebih memerlukan lagi suasana,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Gamis menyeru untuk kerajaan mengkaji semula berkaitan subsidi khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas,” ujarnya.

Tambahnya, Gamis akan berusaha menyedarkan golongan muda bahawa duit mereka telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya anak muda akan membuat perubahan pada pentadbiaran politik yang paranoid pada masa sekarang.

Menurutnya lagi, mahasiswa akan bersama turun pada demonstrasi rakyat Selangor, esok bersama dengan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu kenaikan harga barang ini.

Baginya, walaupun demostrasi ini telah diberikan amaran oleh pihak polis untuk tidak diadakan, namun mahasiswa rasa pihak polis kena fikirkan soal rakyat pula, bukan hanya melutut kepada arahan pemerintah semata-mata.

“Demonstrasi ini berada dalam keadaan aman jika pihak polis tidak buat kacau kerana rakyat turun dengan cara baik untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang menjadi payungan kepada rakyat,” ujarnya.

HD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...