Kulim - Seorang suami dan bapa kepada empat anak ditangkap khalwat bersama janda anak tiga ketika sedang berdua-duaan di dalam kereta Proton Iswara di satu lorong gelap di Taman Senangin kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, ketika tangkapan dibuat kedua-dua pasangan berada dalam kereta. Semua tingkap ditutup dan enjin kereta dimatikan.
“PADK mendapat maklumat dari orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan itu kira-kira jam 1 pagi dan sampai di tempat kejadian jam 1.20 pagi.
“Menurut pengadu, pasangan itu sering berada di situ dan berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan. Ketika tangkapan dibuat, pasangan kekasih itu mengaku tidak mempunyai hubungan muhrim.
“Pasangan lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sendiri. Dia telah berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia dan mempunyai empat anak. Kekasihnya berusia 32 tahun merupakan seorang janda anak tiga yang juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai pencuci pejabat. Dari siasatan dijalankan, pasangan perempuan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, pasangan lelaki sering ke tempat kejadian untuk menghantar kekasihnya yang tinggal tidak jauh dari tempat mereka ditangkap. Oleh kerana khuatir perlakuan mereka diketahui penduduk, dia mengambil keputusan untuk menghantar kekasihnya setengah jalan dan berhenti di lokasi gelap untuk bersama.
Pasangan itu telah dibawa ke balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkap terhadap diri mereka dan kemudiannya ditahan dilokap. Pasangan lelaki di Balai Polis Kulim manakala kekasihnya di Balai Polis Lunas.
Mereka akan disiasat di bawah seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Semua ini dilakukan adalah untuk mengaburkan pandangan penduduk. Bagaimanapun pasangan itu dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan arahan menjamin diri.
“Setelah jamin diri dibayar, mahkamah Rendah Syariah Kulim akan menetapkan tarikh perbicaraan mereka,” katanya. -SH
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...