Rabu, Januari 05, 2011

Rampas Selangor, projek terbesar Umno untuk PRU 13

Zaid Zakaria

Seperti dinyatakan oleh Harakahdaily dalam satu tulisan tidak lama dulu, Selangor bakal menjadi medan pertempuran utama Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Usaha terbaharu Umno telah dimulakan dengan mengeksploit konflik berkaitan pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

Dalam kes terbaharu, pertikaian berhubung pelantikan setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi menjerumuskan lagi negeri paling diidamkan Umno ini dalam kemelut.

Seperti yang biasa, Umno dan media dikuasainya mengeksploit sepenuhnya episod ini dengan meletakkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam keadaan defensif dan memperlihatkan beliau sebagai melawan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagi orang ramai, terutama orang Melayu, drama yang dipersembahkan melalui media Umno ini menjadikan Khalid dan seluruh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebagai penentang raja Melayu.

Imej negatif yang dikemukakan ini bermatlamat menghakis sokongan orang Melayu terhadap Pakatan seperti yang pernah dilakukan di Perak.

Sama seperti yang dilakukan di Perak, kerajaan Pakatan dan menteri besarnya didakwa melawan sultan dan mesej ini disampaikan melalui permainan media Umno.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sebenarnya sebahagian daripada jentera Umno menyokong dan menguatkan lagi serangan yang diprogram oleh Umno.

Pertubuhan-pertubuhan ini jelas sekali menjalankan program Umno untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Selangor kerana isu-isu yang ditangani semuanya yang dipolitikkan, daripada mempertahankan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hingga kepada pelantikan Khusrin.

Buktinya, mereka hanya terlibat dalam perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada pembangkang di negeri Selangor, yakni Umno, dan merugikan kerajaan Pakatan.

Kempen mereka juga dipertingkatkan menjelang pilihan raya umum yang dijangka beberapa bulan lagi.

Akhbar harian dikuasai Umno telah menjadikan isu kemelut Selangor sebagai berita muka depannya selama dua hari berturut-turut.

Laporan-laporan lain, seperti dakwaan menghasut oleh Shuhaimi Shafie, wakil rakyat Seri Muda kesemuanya bermatlamat menguatkan persepsi negatif terhadap Pakatan Selangor di mata orang Melayu.

Di sinilah kumpulan-kumpulan Melayu pro-Umno memainkan peranan Mereka, menjadi penyerang barisan hadapan bagi Umno yang tidak mahu mengotorkan tangan mereka dan meletakkan kempen 1 Malaysia dalam risiko.

Mesej yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan itu, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, kesemuanya berperanan mengukuhkan imej tidak mesra Melayu kerajaan Pakatan di Selangor.

Berdasarkan perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12, Umno dan BN menyedari undi bukan Melayu di Selangor tidak boleh diharapkan sangat untuk memenangi semula Selangor.

Kerana inilah, Umno berusaha memenangi hati dan minda orang Melayu, seperti yang disebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam ucpaan semasa konvensyen Pakatan, menggunakan race (bangsa), religion (agama) dan raja.

Seperti juga yang telah berlaku di Perak, kempen menggunakan formula bangsa di negeri itu berjaya menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan.

Apa yang dilakukan oleh Umno ini ditujukan kepada satu perkara dasar dalam Pakatan iaitu kerjasama melibatkan PAS dengan DAP dan PKR.

Dengan menggugat kerjasama ini, hubungan ketiga-tiga parti dalam Pakatan boleh terjejas dan memudahkan usaha Umno dalam pilihan raya umum nanti.

Di negeri-negeri Pulau Pinang dan Selangor, dua negeri yang PAS tidak menguasai pentadbiran negeri, isu Melayu terpinggir dimainakan oleh Umno.

Negeri Pulau Pinang dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh DAP sehingga mengabaikan orang Melayu manakala Selangor pula dikatakan didominasi PKR dan DAP dengan kesan yang sama seperti Pulau Pinang.

Ini membolehkan sentimen Melayu dimanipulasi oleh Umno dan mendorong sejumlah pengundi memikirkan lebih baik memilih Umno kerana sekurang-kurangnya parti Melayu itu dominan dalam Barisan Nasional.

Di sinilah Umno berjaya menarik sokongan Melayu, yang dibina sedikit demi sedikit sejak tewas di beberapa negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Umno yang terjejas teruk selepas kalah di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-12 sedang menumpukan kekuatan untuk merampas Selangor.

Pakatan perlu strategi yang kuat dan setara untuk menentang kempen Umno menggunakan sentimen Melayu ini.

PAS sebagai parti dianggotai Melayu terbesar selepas Umno dan berhasrat menggantikan Umno sebagai pejuang utama orang Melayu Muslim di negara ini perlu menunjukkan peranannya sebagai pemelihara kepentingan Melayu.

Tindakan ekstrem Umno menggunakan agama dalam kes Selangor ini perlu ditangani oleh PAS dengan menunjukkan ada ruang yang lebih sederhana dalam membela kepentingan Melayu tanpa bertindak seperti Umno.

Episod Selangor ini mendedahkan sensitiviti isu bangsa yang masih boleh dimanipulasi oleh Umno di Selangor, selepas berjaya mempalitkan imej negatif pada Pakatan selepas episod Perak.

Pakatan kini perlu lebih berhati-hati supaya tidak mudah diperlihatkan sebagai menentang raja di Selangor dalam pertikaian pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

HD


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...