Selasa, Januari 04, 2011

Teguk arak sambut tahun baru 2011


SEREMBAN - Mungkin ketaksuban terhadap budaya kuning dari Barat mempengaruhi sekumpulan 17 lelaki dan wanita beragama Islam meneguk minuman keras bagi menyambut ketibaan tahun baru 2011.

Mereka dicekup dalam operasi dilancarkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di pusat hiburan dan karaoke sekitar bandar ini, Nilai dan Jempol.

Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi bermula kira-kira jam 9.30 malam, 31 Disember lalu dan berakhir kira-kira jam 5 pagi, keesokannya.

"Dua daripada 17 pengunjung beragama Islam ditahan adalah wanita. Semuanya berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an.

"Mereka dipercayai mengambil minuman keras ketika berhibur di tiga premis hiburan dan karaoke di Nilai, satu di Seremban serta beberapa lokasi lain sekitar Bahau, Jempol,” katanya, di sini, semalam.

Beliau juga mengesahkan sembilan pengunjung lelaki yang ditahan adalah penjawat awam.

Ahmad Zaki berkata, semua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengambil minuman keras.

Menurutnya, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

"Dalam operasi sama, dua pengunjung lelaki beragama Islam turut ditahan kerana dipercayai berkelakuan seperti wanita.

"Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 66 enakmen sama memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, operasi berkenaan yang membabitkan 40 pegawai dan anggota JHEAINS, Unit Tatatertib Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol serta Majlis Keselamatan Negara, turut menahan sembilan individu kerana disyaki berkhalwat.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 61 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, individu ditahan di sekitar bandar ini dan Nilai dibawa ke IPD Seremban, sementara yang ditahan di Bahau dibawa ke IPD Jempol untuk tindakan lanjut.

SH

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...