Khamis, Januari 20, 2011
Umno Selangor umpama 'bangkai bernyawa'
Oleh: Mohd Rashidi Hassan
IKAN busuk bermula di kepala. Itulah petikan pepatah Cina yang sesuai untuk memahamkan rakyat tentang situasi di Selangor, khususnya masalah atau krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang Umno-Barisan Nasional.
Sama ada rakyat sedar atau tidak, sejak tiga dekad yang lalu, rakyat Selangor disajikan dengan ketua pentadbir negeri yang dikenali dengan nama Dato' Menteri Besar, yang hampir semuanya 'bermasalah'.
Selepas Dato' Harun Idris (1970-1976) dan Dato' Hormat Rafie (1976-1982), semua MB Selangor yang diwakili Umno, sarat dengan skandal dan masalah.
Penulis tidak mahu menyentuh mengenai bagaimana Harun dijatuhkan oleh pemimpin Umno sendiri, sehingga dipenjara dan digantikan oleh Hormat.
Yang hendak disentuh ialah MB-MB selepas mereka. Bermula dari Dato' Ahmad Razali Ali (1982-1986), Dato' Muhammad Muhd Taib (1986-1996), Dato' Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Dr Mohamad Khir Toyo (2000-2008).
Keempat mereka diganti dan dijatuhkan, penuh dengan skandal dan penghinaan. Harus diingat yang menjatuhkan mereka adalah manusia-manusia rakus dalam Umno sendiri.
Cuma Khir Toyo sahaja dijatuhkan oleh rakyat dan kemudiannya didakwa. Itupun pendakwaan terhadap Khir dikatakan berpunca dari 'move' orang tertentu dalam Umno.
Untuk nota, semua MB adalah Pengerusi Umno, sekali gus memegang jawatan Pengerusi BN Negeri.
Selepas Dr Mahathir Mohamad ditabalkan menjadi Perdana Menteri, lantas beliau memilih adik iparnya Ahmad Razali sebagai MB. Ahmad Razali tidak ada pengalaman dan tidak terkenal dalam Umno, tetapi diberikan jawatan tinggi kerana dia kroni PM.
Akibat ketidak kemampuan dan kelemahannya, sehingga mendorong Umno-BN Selangor menolaknya, Ahmad Razali dihadkan memerintah hanya sepenggal sahaja.
Kisah Ahmad Razali ini terakam diminda penulis, kerana pada waktu itu, penulis baru memasuki sekolah menengah. Suatu ketika penulis berkunjung ke rumah aruah abang ipar di kawasan penempatan setinggan di Kampung Pandan, kebetulan ia berhampiran dengan sebuah dewan orang ramai.
Pada hari itu berlaku kekecohan dalam mesyuarat Umno. Riuh rendahnya perbalahan Umno waktu itu sehingga mereka berani membaling kerusi ke arah MB Ahmad Razali.
Kisah Ahmad Razali berakhir apabila beliau digantikan oleh Muhammad Taib yang juga terkenal dengan gelaran 'Mike Tyson'. Muhammad Taib bertapak 10 tahun sebagai MB Selangor. Paling lama dan paling hebat.
Hebat sehingga berjaya 'melarikan' anak Sultan Selangor. Hebat kerana membayar wang mut'ah sebanyak 16 juta selepas berpisah. Hebat kerana membawa wang berguni-guni membeli aset di Australia, sehingga ditahan polis Australia.
Sampai sekarang, rakyat Selangor disembunyikan dengan fakta, bagaimana Muhammad Taib boleh jadi begini kaya? Boleh orang-orang Umno jelaskan?
Selepas Muhammad Taib dijatuhkan oleh orang Umno sendiri. Dr Mahathir menaikkan Abu Hassan Omar. Beliau seorang Menteri, lalu diarah beliau letak jawatan Menteri, seorang Adun BN mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada beliau menjadi MB.
Pertamakali dalam sejarah Malaysia, diadakan pilihan raya kecil kerana PM mahu seorang yang hebat menjadi MB Selangor terbaik dari Umno-BN.
Abu Hassan 'ditabal' dengan penuh gemilang sebagai MB. Beliau bukan orang kecil, beliau dihormati oleh golongan istana dan mendapat kepercayaan PM.
Namun tidak sampai sepenggal, beliau tersungkur kerana skandal yang memalukan Umno-BN dan seluruh rakyat Malaysia.
Kehebatan Abu Hassan terserlah sehingga berjaya 'menaji' adik iparnya sendiri. Suatu skandal besar yang memalu dan memualkan seluruh Selangor. Skandal Abu Hassan mula dihebahkan oleh orang-orang Umno melalui media di luar negara, diheboh dan diuar-uarkan sehingga Abu Hassan terpaksa meletakkan jawatan.
Kemudian 'ditabalkan' pula seorang junior dari Sungai Besar. Seorang doktor, anak muda, anak Selangor yang 'pure' keturunan Jawa.
Pelantikan Khir Toyo sebagai MB mengejutkan golongan veteran dalam Umno. Tetapi mungkin PM Mahathir ketika itu mempunyai alasannya yang tersendiri.
Belum setahun Khir menjadi MB, fail mengenai dakwaan dan skandal rasuah beliau sudah diangkat ke pejabat PM.
Sahabat penulis yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, adalah antara orang aktif membongkar ke rasuah Khir Toyo. Namun fail-fail itu didiamkan sahaja oleh PM Mahathir.
Sekarang ini selepas Khir dibuang oleh rakyat dari tampuk kuasa MB. Beliau kini dihadapkan ke mahkamah kerana pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah bernilai jutaan ringgit.
Yang hebatnya, beliau didakwa melakukan kesalahan rasuah di kediaman rasmi MB, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.
Soal beliau salah atau tidak itu kita harus menunggu kes mahkamah selesai. Apa pun Khir Toyo harus menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah berakhir.
Berakhir sebagai bekas MB, bekas Pengerusi Umno, Pengerusi BN, Ketua Bahagian Umno dan beliau mungkin tidak akan dicalonkan semula sebagai calon Adun. Usah harap hendak tanding MT Umno atau Ketua Pemuda.
Mengapa Khir dijatuhkan, siapa yang menjatuhkannya harus dibincang dalam episod yang lain kerana ruang penulis amat terhad.
Cumanya Khir Toyo memalukan Umno kerana beliau kononnya berbesar hati memulangkan pingat 'Dato' Seri' sementara kesnya dibicarakan, sebaliknya pingat itu digantung oleh pihak Istana.
Penggantungan itu tidak harus dipertikaikan kerana ia memang amalan Istana Selangor bagi pemegang pingat dan darjah kebesaran negeri yang didakwa terbabit dalam kes mahkamah atau jenayah. Perkata ini pernah berlaku kepada bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai suatu ketika dahulu.
Cumanya, perkara yang hendak ditekankan penulis di sini ialah, sejak hampir tiga dekad atau 26 tahun (1982 - 2008), Umno-BN 'menyajikan' rakyat Selangor dengan penjawat jawatan MB yang penuh dengan skandal, jijik, perasuah beserta moral yang amat rendah.
Yang amat memalukan ialah, mereka semua adalah MB dari Umno, orang Melayu-Islam. Maknanya selama ini Umno menawarkan MB 'kepala ikan busuk' yang hampir-hampir menjadi bangkai.
Berdasarkan fakta yang dikemukakan, jelas selama ini rakyat Selangor tertipu dengan imej baik, imej hebat pemimpin Umno, walhal semuanya hampas belaka.
Jika selama 26 tahun MB 'ikan berkepala busuk' disajikan oleh Umno-BN kepada rakyat Selangor, maka apakah jaminan mereka boleh menawarkan calon baru, yang bersih, yang boleh menyaingi Dato' MB Abdul Khalid Ibrahim?
Pada penulis, apa yang MB Khalid lakukan selama tiga tahun ini, jauh lebih baik dari empat MB Umno-BN sebelum ini.
Oleh itu, Umno Selangor usahlah berangan-angan hendak merampas kerajaan negeri, kerana rakyat tahu yang bakal anda pilih menjadi MB nanti adalah hampas-hampas yang akan menjadi bangkai bernyawa sahaja!
HD
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...