Sabtu, Mac 12, 2011
BN Kedah gila talak
KOTA SARANG SEMUT - Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mempertahankan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah sejak tiga tahun lalu dan menyifatkan segala tohmahan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Negeri sejak pilihan raya umum (PRU) yang lalu sebagai ‘gila talak’.
Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, di sebalik keupayaan Kerajaan Negeri PR memerintah Kedah mengatasi jangkaan UMNO dan BN, barisan pembangkang masih memandang rendah kerajaan pimpinannya dan berlagak seperti pemerintah.
Menurutnya, dakwaan Kerajaan Negeri gagal menunaikan manifesto pilihan raya lalu juga tidak benar kerana tindakan penurunan cukai tanah, perbelanjaan wang Kerajaan Negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan UMNO dan BN sebelum ini.
“Dulu UMNO dan BN dengan angkuhnya mengatakan PR tidak akan memerintah lebih tiga bulan, tapi sekarang usia Kerajaan Negeri sudah tiga tahun.
“Dulu UMNO dan BN kata pertumbuhan ekonomi negara Kedah tidak akan melebihi 2.5 peratus. Namun, pencapaian ekonomi negeri membanggakan dan antara empat negeri terbaik di Malaysia. Sekiranya mereka menilai pencapaian kami hanya 2.5 peratus, saya anggap pencapaian mereka hanya 1.5 peratus semata-mata,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku Jingga peringkat negeri Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa; Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Lee Guan Aik dan barisan Jawatankuasa Pas, PKR dan DAP negeri.
Azizan berkata, Kerajaan Pusat juga bersandiwara untuk menunjukkan kononnya mereka bersikap prihatin terhadap rakyat apabila pada mulanya sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir daripada krisis negara itu sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka bertindak menghantar semula pelajar itu ke Mesir dalam masa sebulan, malah mengecualikan pembiayaan tambang ke atas pelajar yang tinggal di negeri pembangkang.
“Bila berlakunya pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan Presiden, Hosni Mubarak di Mesir, mereka cepat-cepat membawa pulang pelajar kita, kononnya bimbang atas keselamatan mereka.
“Bila hendak dihantar pulang semula, mereka serahkan beban itu kepada kita. Tapi tidak mengapa, Kerajaan Negeri tidak ada masalah menanggung pembiayaan tambang penerbangan pulang ke Mesir berserta wang poket RM500 kerana wang sebanyak RM2.5 juta yang digunakan adalah wang rakyat,” katanya.
Azizan berkata, UMNO dan BN turut disifatkannya lebih teruk daripada Jepun kerana mengkritik apa jua pelaksanaan Kerajaan Negeri terhadap rakyat secara konsisten tanpa memikirkan kerelevanan tindakan itu.
“Sebelum ini, bila tarif air dinaikkan 10 sen, banyak orang termasuk pemimpin UMNO dan BN yang beria-ria mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Wisma Darulaman, kononnya Kerajaan Negeri berlaku zalim.
“Kini mereka mula protes tindakan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghentikan khidmat Pos Malaysia sebagai ejen kutipan bayaran bil walaupun Pos Malaysia bertindak menaikkan upah perkhidmatan daripada 70 sen kepada 90 sen bermula bulan ini.
“Atas dasar keprihatinan tidak mahu membebankan rakyat, kami menghentikan khidmat Pos Malaysia. Saya hendak tanya, adakah UMNO dan BN ada kepentingan dengan Pos Malaysia sehingga beria-ria menghentam Kerajaan Negeri?” katanya.
Ditanya dakwaan Kerajaan Negeri akan melaksanakan cukai pintu di pekan kecil setiap daerah dalam masa terdekat, Azizan menjelaskan beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.
SH
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...