Kempen pilihan raya kecil dewangan undangan negeri Merlimau semakin kotor dengan beberapa lagi perbuatan khianat dilaporkan.
Kali ini, dua lagi kereta dipecahkan cerminnya manakala angin pada tiga motosikal dilepaskan dan tempat kunci dua lagi motosikal dirosakkan ketika pemiliknya menghadiri ceramah Pakatan Rakyat, malam semalam.
Timbalan pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, berkata, kenderaan berkenaan dilaku-musnahkan di Jalan Pahlawan, lokasi ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ceramahnya kepada ribuan hadirin di Permatang Pasir.
Menurut Nor Azhanizam Azmi, beliau menyedari cermin bahagian pemandu kereta Perodua Myvi miliknya itu dipecahkan sekitar jam 12.20 pagi selepas selesai menghadiri ceramah tersebut.
Beliau kemudiannya terus membuat laporan polis.
Nor Azhanizam berkata keretanya itu dipecahkan kerana ia mempunyai pelekat gambar mursidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menandakan beliau adalah penyokong parti itu. Namun sebuah kereta lagi, yang langsung tidak mempunyai sebarang pelekat juga dipecahkan.
"Saya fikir kerana ia diletakkan di tempat gelap yang orang tidak nampak,” katanya.
Menurut saksi, polis kelihatan merakamkan kenderaan yang dirosakkan itu selepas majlis terbut. Terdapat kehadiran anggota polis yang ramai juga pada malam berkenaan.
Awal minggu ini, seorang penduduk yang meletakkan keretanya di hadapan bilik operasi DAP juga mendapati cermin belakangnya dipecahkan.
Kain rentang PAS sekitar Merlimau juga dirosakkan manakala sebuah pentas yang didirikan oleh DAP bagi majlisnya pada 4 Mac ini juga dibakar.
Pada ceramah malam semalam, beberapa remaja yang bermotosikal juga cuba menggangu ceramah Anwar di Permatang Pasir. Perkara yang sama dilaporkan pada ceramah PAS di Chinchin pada Isnin lalu yang terletak bersebelahan majlis anjuran BN.
"Kami difahamkan gangguan ini berlaku pada hampir setiap malam ketika kami mengadakan majlis.
"Duit banyak habis dengan kos logistik mereka tapi isu jarak ceramah yang terlalu dekat antara PAS dan BN pun tidak boleh diselesaikan.
"Apa fungsi mereka yang banyak menghabiskan wang rakyat tapi tak boleh kawal keselamatan?" soal naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sidang media harian PAS hari ini.
Menurutnya juga, PAS tidak keberatan untuk mengadakan pertemuan dengan ketua polis Melaka sekiranya perkara ini masih berterusan.
"Kita sedang memberi perhatian untuk bertemu dengan pihak polis. Kita lihat sehingga malam ini, jika gangguan dan perbuatan khianat masih berterusan, kita tak keberatan untuk bertemu pihak polis bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.
Pada sidang media itu, Salahuddin juga berkata ahli Pakatan dihalang daripada memasuki estet kelapa sawit Sime Darby.
"Kita telah hubungi Sime Darby dan mereka kata tidak ada masalah atau isu dengan kita tetapi ditekan daripada beberapa pihak.
"Kita telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilih Raya tetapi mereka kata tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah tanah persendirian,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin BN dilaporkan sibuk berkempen di estet-estet berkenaan.
MK
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...