Ahad, Mac 13, 2011

RM888 bilion lesap: Najib membisu takut disamakan dengan Mubarak


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus enggan menjawab pendedahan mengenai pengaliran wang haram bernilai RM888 bilion ke luar negara dalam tempoh sembilan tahun kerana tidak mahu rakyat tahu penyelewengan itu.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau membangkitkan isu mengenai wang haram itu yang didedah badan kewangan antarabangsa, Global Financial Integrity (GFI) baru-baru ini, hampir setiap hari tetapi Najib gagal untuk memberi sebarang jawapan.
“Ada jawapan dari Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan? Tidak ada. Sudah sebulan setengah, setiap hari, saya serang dia dari Perlis hingga ke Sarawak. Tapi, tidak ada jawapan. Sebab apa? Sebab mereka fikir rakyat tidak tahu.
“Wang haram adalah wang rasuah, kedua, wang jualan dadah bernilai berbilion ringgit dan ketiga, wang yang dikumpulkan pembesar dan tauke-tauke besar. Ini dijelaskan dalam laporan GFI,” katanya pada ucapan perasmian dalam konvensyen KEADILAN Sabah di Kinarut, Papar di sini, hari ini.
Anwar juga menyatakan, jumlah wang haram yang dilarikan ke luar negara pada 2008 sahaja sama dengan kekayaan Hosni Mubarak yang dibawa keluar dari negara itu, sebaik sahaja bekas Presiden Mesir itu digulingkan rakyat.
“Lonjakan wang haram di bank Switzerland, tahun 2008 Malaysia mencatatkan kedudukan paling tinggi iaitu RM200 bilion. Kekayaan Mubarak sama dengan wang yang dibawa keluar. Apa bezanya Malaysia dengan Mesir,” katanya.
Anwar turut menimbulkan kontrak bernilai RM23 bilion kepada tiga syarikat milik kroni Umno Barisan Nasional (BN) termasuk syarikat milik anak Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Datuk Mokhzani Mahathir melalui Kenchana Petroleum.
“Dia individu melayu terkaya di Malaysia. Ini pemimpin (Umno) yang bicara soal rakyat. Keris Melayu, darah Melayu tetapi hisap darah Melayu,” katanya yang mengingatkan rakyat Sabah, Petronas berkait rapat dengan negeri itu, selaku pengeluar utama minyak dan gas di Malaysia.
Kata Anwar, cara pentadbiran Najib berbeza dengan dasar Pakatan Rakyat yang membawa tatakelola baik bagi menghapus dan mengawal segala bentuk penyelewengan bagi mengembalikan wang itu kepada rakyat, termasuk memberi semula subsidi minyak.
“Saya bincang Lim Kit Siang dan Ustaz Hadi (Awang). hari ini pilihan raya, esok jika menang saya umum atas nama kerajaan rakyat malaysia, saya dengan ini mengisytiharkan berkuatkuasa sekarang, harga minyak di seluruh negara turun serta merta,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau juga menyentuh tentang tindakan Umno BN yang akan menggunakan segala cara bagi mengheretnya ke penjara mellaui pertuduhan kes Fitnah II terhadapnya.

keadilandaily

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...