Selasa, April 19, 2011

Liga Perdana: PKNS Ratah Posmen 7-0, Terus Kuasai Liga Perdana


PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- PKNS Selangor melebarkan pungutan mata di persada Liga Perdana apabila membelasah Pos Malaysia 7-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam Isnin.



Keputusan itu membolehkan PKNS memperkukuhkan kedudukan dengan 27 mata, enam mata di hadapan Sime Darby serta mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 11 perlawanan.



PKNS membuka tirai jaringan seawal minit pertama akibat kelekaan barisan pertahanan Pos Malaysia menerusi rembatan mudah Mohd Irme Mat untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Mohd Shahruddin.



PKNS terus menguasai perlawanan dan menambah jaringan menerusi P. Rajesh pada minit ke-10, Mohd Khairul Akhyar (22 & 57), gol sendiri oleh kapten Pos Malaysia, Muhamad Faizal Nasir (31), Ahmad Tarmini Saiban (44) dan Mohd Arif Nasruhaq pada minit ke-48.



Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Sime Darby pula memusnahkan impian pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ingin kekal di tangga kedua liga selepas menang 3-0.



Kemenangan selesa itu melonjakkan Sime Darby ke tangga kedua liga dengan 21 mata sementara ATM turun ke tangga keempat dengan 20 mata. Di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Johor Baharu, Johor menewaskan Sarawak 2-0 dengan hasil jaringan oleh Muhamad Asyraf pada minit ke-40 dan lima kemudian oleh Zulindra Shah Putra.



Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan SDM Navy 3-0.



Gol PDRM dijaringkan oleh Fazuan Abdullah pada minit ke-11, Eddy Gapil (73) dan Muhd Fauzi Abd Majid pada minit ke-89.



Di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang, pasukan kelab Universiti Sains Malaysia (USM FC) tewas 2-3 kepada Majlis Perbandaran (MP) Muar.



Dua gol MP Muar dijaringkan oleh Mohd Fitri Omar pada minit ke-12 dan 64 dan Muhd Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-75 sementara gol USM dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abd Wahid (50) dan Mohd Hafiz Abdul Rahman pada minit ke-84.



Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang berjaya memecah kebuntuan pungutan mata apabila meraih mata pertama dalam 11 perlawanan selepas seri tanpa jaringan dengan Harimau Muda B.



-- BERNAMA





KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...