Rabu, Julai 06, 2011
BERSIH 2.0 – SPR melatah bagi pihak BN
Oleh: Wan Nik Wan Yussof,
Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan.
Gerakan perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu, 9 Julai nanti sudah dianggap berjaya meskipun belum berhimpun. Ia dikatakan berjaya berikutan semua media, pemimpin, polis, orang awam hinggakan pengurus bas ekspres sudah cukup ringan mulut menyebut “bersih” atau pun “tidak bersih.”
Paling popular ialah komentar bernada risau dan marah terhambur dari mulut pemimpin Umno (tanpa sokongan panas pemimpin parti komponen BN yang lain).
Ia dirancakkan lagi oleh media cetak dan elektronik yang saban waktu menyiarkan kata-kata dan ulasan gusar dan kasar individu berjawatan dalam Umno dan NGO tajaan penguasa Umno-BN.
Merancakkan nilai kejayaan BERSIH 2.0 ialah kenyataan pihak keselamatan (polis) bermula daripada menterinya, pegawai kanan mahu pun OCPD. Paling berjaya lagi, apabila ada kalangan merekja itu mengeluarkan amaran: “sedia melakukan tangkapan awal terhadap pihak penganjur sebagai langkah pencegahan perhimpunan.”
Sesungguhnya, pihak polis telah bertindak proaktif dengan menangkap beberapa individu termasuk pemimpin muda PAS dan KeADILan yang dilihat memakai baju-T berwarna kuning. Ia suatu tindakan yang mengesahkan betapa munculnya banyak papan tanda “senario tertekan” pihak polis kerana melebarnya kegusaran dan kekasaran suara hati peminpin Umno terhadap BERSIH 2.0. Justeru impaknya dirasai berkemungkinan kuasa rakyat bakal menjatuhkan kedudukan mereka ditampuk kuasa.
Senario tertekan
Mencorakkan lagi papan tanda “senario tertekan” itu ialah pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerusi temubual pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (Berita Minggu, 26 Jun 2011, hal. 24) yang mengukirkan ulasan dan respons teruk seorang pengurus kepada badan pengendali demokrasi negara.
Kenapa ia dikatakan teruk? Asasnya BERSIH 2.0 adalah suatu tindakan suara hati jutaan rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan nilai kekotoran perjalanan demokrasi negara yang diacuankan mengikut selera pemimpin Umno-BN. Voting melalui akhbar The Star online sudah cukup tegar untuk menghujahkan betapa rasa bersetuju dengan BERSIH 2.0 meskipun ia dipimpin oleh seorang peguam bukan Islam, Datuk Ambiga. Ia sudah cukup menyinarkan cahaya amaran untuk SPR bercakap dengan nada tertekan!
SPR mengulas
Justeru pihak pengerusi SPR berpendapat perhimpunan BERSIH 2.0 tidak sepatutnya diadakan kerana perbincangan di antara SPR dengan mereka sudah dibuat. Sehubungan itu, pihak pengerusi SPR (berdasarkan temu bual disiar Berita Minggu itu) sudah mengulas sekurang-kurangnya tujuh persoalan yang menjadi agenda BERSIH 2.0.
(Pertama) mengenai umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun. Pengerusi itu menganggap ia isu perlembagaan dan SPR tiada hak mengubah sesuka hati kecuali undang-undang dan perlembagaan dipinda.
(Kedua) mengenai penggunaan dakwat kekal ekoran berlaku lebih dari sekali. Lalu dibalas rancangan SPR untuk menggunakan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari bagi mengenalpasti dan mengesahkan identiti pengundi. Lantas menganggap penggunaan dakwat kekal yang boleh mencetuskan kekecohan.
(Ketiga) mengenai syor pendaftaran sebagai pengundi secara automatik pada umur 21 tahun yang dianggap tidak boleh dilaksanakan kerana perlembagaan menyatakan untuk jadi pengundi memerlukan permohonan dan perlu ditandatangani pemohon. Maka dikatakan ia di luar keupayaan SPR.
(Keempat) mengenai tuntutan media cetak dan elektronik yang lebih seimbang dalam aspek penyampaian maklumat antara parti bukan kerajaan dengan parti kerajaan, secara mudah dikatakan sebagai di luar bidang kuasa SPR.
(Kelima) mengenai berlaku rasuah dalam pilihan raya, dianggapnya sebagai tuduhan dan bukan bidang kuasa SPR sebaliknya tugas SPRM.
(Keenam) mengenai tempoh kempen pilihan raya yang perlu dipanjangkan, maka secara mudah pengerusi SPR itu lebih berminat meraikan tuntutan parti-parti kecil yang kononnya mahu kempen dipendekkan.
(Ketujuh) di sebalik isu undi pos, pengerusi SPR bertegas tidak mahu undi pos dihapuskan atas alasan kerana ramai pengundi mendaftar sebagai pengundi pos. Bagaimanapun, SPR sedia mengurangkan undi pos dengan cara undi awal (advaance voting) iaitu mereka mengundi seperti biasa, tetapi diawalkan kerana anggota keselamatan terpaksa bertugas pada hari pengundian di seluruh negara. SPR sudah menjadi penyelamat kuasa pihak penguasa.
Satu perkara yang tidak dijawab oleh pengerusi SPR itu mengenai tuntutan BERSIH 2.0 ialah mengenai pembersihan daftar pemilih yang begitu kotor dengan pelbagai jenis hantu! Ia semacam memberi peluang kepada penguasa untuk menipulasi.
SPR akui
Apa pun, pengerusi SPR itu sudah mengakui kesemua tuntutan BERSIH 2.0 kali ini adalah memerlukan pindaan perlembagaan (persetujuan dua pertiga ahli parlimen). Atas asas ini persoalannya, kenapa SPR beria-ia dan terkial-kial memberi respons? Sepatutnya pihak pemimpin Umno-BN yang mengulasnya.
Apakah pengerusi SPR sebenarnya melatah bagi pihak Umno-BN? Ia suatu gambaran betapa pemimpin Umno-BN tidak bersedia mengubah status demokrasi yang tempang apa cara sekali pun. Justeru perhimpunan BERSIH 2.0 adalah penangan untuk rakyat Malaysia menilai dan membuat keputusan.
Kejayaan rancangan demonstrasi BERSIH 2.0 juga terserlah, kerana ia telah disokong l;ebih daripada 60 NGO, individu profesional, pensyarah dan aktivis sosial serta politik. Terbaru oleh seorang lagi pensyarah kanan Jabatan Politik dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad (Berita Minggu, 26 Jun 2011, hal. 25). Menurut pensyarah itu, kita perlu hormat dengan pendekatan yang dipilih. Ada rasionalnya perhimpunan ini perlu dibenarkan dan diberikan permit untuk berhimpun.
BERSIH 2.0 rasional
Justeru tuntutan BERSIH 2.0 sudah dilihat rasional. Hanya mereka yang emosional sahaja yang tidak mahu pendemokrasian dan pemulihan demokrasi tempang dilakukan. Maka lapan tuntutan BERSIH 2.0 sebagaimana diumum iaitu menuntut SPR membersihkan senarai daftar pemilih, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Sewajarnya kita bersetuju dengan ulasan Shukur Harun (Harakahdaily, 26 Jun 2011) yang menyifatkan BERSIH 2.0 merupakan sebuah tuntutan yang sangat bersih, murni dan menjadi harapan kepada rakyat berbilang kaum yang cintakan demokrasi.
Demokrasi tempang
Natijahnya demokrasi amalan Malaysia kini masih tempang, maka wajar diperbetulkan. Harapan rakyat Malaysia kepada BERSIH 2.0 supaya status demokrasi yang ditempangkan oleh sang penguasa Umno-BN diperbaiki ke arah mencapai status terbaik––hak dan ruang kebebasan rakyat tidak disekat, dinafi dan diperkosa secara wewenang.
Justeru rakyat hendaklah sepakat bangkit membuktikan kuasa dan rasa pancaindera masing-masing untuk bersama-sama menjayakan perhimpunan BERSIH 2.0. Meskipun masih ada pihak masih mesra dengan ketololan Umno-BN, pentingnya sekarang ketololan Umno-BN harus dinafikan kuasanya agar terus menempangkan demokrasi di Malaysia.
http://warta-utara.blogspot.com/
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
melatah2 t habis kantoi..
BalasPadamBAHANGNYER TERASA !!
LOKASI BERSIH 2.0 DIDEDAHKAN!!
TAMPARAN HEBAT UNTUK UMNO!!