Rabu, Julai 06, 2011

Polis kepung dewan untuk henti program Bersih, engkar titah Agong



KOTA DAMANSARA: Engkar Titah Khas Yang DiPertuan Agong, pasukan polis meneruskan intimidasi terhadap aktivis Bersih apabila bertindak mengepung Dewan MBPJ, Seksyen 7, di sini malam tadi.


Tindakan itu kurang 12 jam selepas Tuanku Mizan Zainal Abidin membenarkan himpunan aman Bersih dilakukan di stadium pada 9 Julai ini.


Pasukan polis dari IPD Petaling Jaya, diketuai ASP Marzukhi Mokhtar mengepung dewan berkenaan sejak jam 7 malam untuk menghentikan taklimat Himpunan Bersih 2.0 dan Bengkel Hak berhimpun.


Program itu anjuran Pakatan Rakyat Subang dan peguam hak asasi Lawyers For Liberty (LFL), yang turut dihadiri pimpinan Pakatan Rakyat peringkat cabang dan bahagian, serta kira-kira 50 peserta.


Sekurang-kurangnya 50 anggota polis dengan dua trak black maria dan dua pacuan empat roda Pasukan Gerak Am dikerah melakukan serbuan.


Polis secara kasar menghalang Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim yang tiba kira-kira jam 9.40 malam untuk masuk ke dalam dewan tersebut dan menggunakan haknya sebagai wakil rakyat kawasan itu.


Beliau dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah kemudian terpaksa menyambung taklimat tersebut di kawasan luar dewan berkenaan, namun diancam ASP Marzuki yang mengumumkan taklimat itu sebagai himpunan haram.


Selepas melakukan perbincangan, pihak berkuasa itu kemudian mengarahkan orang ramai bersurai sejurus Dr Nasir dan Sivarasa memberi taklimat kepada peserta selama beberapa minit.


Bagaimana pun tidak ada tangkapan dilakukan.


Menurut Sivarasa, beliau kecewa dengan tindakan polis yang jelas melanggar Titah Yang Di Pertuan Agong supaya semua pihak melakukan rundingan dalam isu himpunan Bersih.


“Saya merasa kecewa kerana PDRM masih terima arahan politik dari Umno-BN untuk gagalkan himpunan 9 Julai walaupun Agong benarkan himpunan itu diadakan di dalam stadium.


Sementara Dr Nasir pula berkata, beliau kesal kerana kehadiran dua wakil rakyat di kawasan itu seakan tidak dipedulikan pihak berkuasa walaupun mereka mempunyai hak menggunakan dewan berkenaan.


“Harapan kami polis selepas ini akan lebih bertolak ansur dan menggunakan budi bicara,” kata beliau. Sementara itu, polis menahan Ahli Jawatankuasa Cabang KEADILAN Rembau, Norliza Samsudin di Balai polis Alor Gajah, Melaka.


Menurut Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin, dilaman twitternya, Norliza ditahan hanya kerana pihak polis menjumpai lencana Bersih di dalam poket bajunya. Sehingga kini Norliza tidak dibenarkan bertemu dengan sesiapa, termasuk ahli keluarga dan pihak peguam.

KD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

1 ulasan:

Sendiri mau ingat...