Rabu, Ogos 03, 2011

Jangan bazir duit rakyat beli plat kenderaan

Ahmad Danial


MELAKA, 2 Ogos: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Muhammad Aizat Baharuddin kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ingin melakukan pembaziran yang besar mengenai pembelian tender nombor pendaftaran kenderaan kerajaan.

Aizat berkata maklumat pembelian tender nombor pendaftaran kereta itu diperoleh dari Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka yang menyatakan bahawa sejumlah RM317,000 tender telah dibuat atas nama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

"Ianya melibatkan perbelanjaan tender nombor pendaftaraan kereta yang bernombor MCC 1 sehingga MCC 15.

"Bayangkan RM317,000 duit rakyat digunakan untuk tender nombor pendaftaran kereta, ianya tidak masuk akal dan ianya suatu pembaziran duit rakyat?" kata Aizat.

Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya dapat membezakan antara keperluan dan kehendak rakyat bukannya membelanjakan duit rakyat sesuka hati.

Katanya, pembelian nombor kenderaan langsung tidak memberi faedah kepada rakyat, lebih-lebih lagi ianya melibatkan kos yang besar.

Tambahnya, kerajaan perlu memikirkan nasib rakyat Melaka yang rata-rata hari ini masih belum berada pada taraf hidup yang memuaskan.

Menurutnya, masih ramai lagi di kawasan luar bandar di Melaka hidup miskin, buktinya dengan program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kerajaan negeri sendiri laksanakan ketika Pilihan Raya Kecil di Merlimau dahulu.

"Rakyat Melaka juga masih terbeban dengan kenaikan harga barang, dan baru-baru ini kerajaan negeri juga telah menaikkan tarif air sebanyak 20%," ujar Aizat lagi.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Melaka menggesa agar kerajaan negeri membatalkan tender untuk mendapatkan nombor plat tersebut kerana ianya tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat, banyak lagi program-program yang menguntungkan rakyat boleh dilaksanakan dengan wang sejumlah RM317,000 tersebut.

Baru-baru kerajaan negeri menukar kereta rasmi kerajaan dari Proton Perdana kepada Nissan Teana.

Kemungkinan besar plat itu akan digunakan oleh kereta rasmi kerajaan tersebut.

HD


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...