Rabu, Ogos 03, 2011
Najib Tidak Pernah Tawar Stadium Shah Alam - Maria Chin
SHAH ALAM 2 OGOS : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menawarkan Stadium Shah Alam kepada sekretariat Bersih 2.0 untuk mengadakan himpunan aman rakyat menuntut penambahbaikan dalam sistem pilihan raya negara.
Ahli sekretariat Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata Najib jelas mahu kembali meraih kepercayaan rakyat dengan menyatakan beliau menawarkan stadium tersebut tetapi ditolak sekretariat.
"Itu adalah fakta, kalau dia masih nak teruskan dia ada cakap demikian bagi kita buktilah dalam media di mana dia kata (tawar stadium) Shah Alam?," tegas Maria.
Maria mengakui, Najib memang menawarkan himpunan aman tersebut dilakukan didalam stadium, namun beliau tidak sesekali pernah menamakan stadium yang dimaksudkannya, sehinggalah sekretariat berkeputusan mahu menjayakannya di Stadium Merdeka, yang terletak di Kuala Lumpur.
"Saya rasa sangat kecewa apabila beliau (Najib) memutar-belitkan kenyataan sebelum ini yang beliau (ada) tawarkan Stadium Shah Alam, dalam kenyataannya sebelum ini Najib tidak pernah menyebut atau menawarkan mana-mana stadium sehingga kami (penganjur Bersih) memutuskan memilih stadium Merdeka.
Najib harus memberitahu perkara sebenar," kata Maria. Najib semasa merasmikan Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia Summit (MSLS) Kelima kelmarin menyatakan beliau sebenarnya mahu menawarkan Stadium Shah Alam untuk himpunan tersebut, namun ditolak.
“Kita cadangkan stadium tapi tidak diterima, mereka masih mahu turun ke jalan. "Dalam pemikiran saya, saya mahu berikan Stadium Shah Alam tapi mereka tolak,” kata Najib.
Najib juga berkata, beliau menawarkan untuk himpunan aman tersebut diadakan didalam stadium ekoran ia adalah saluran yang betul dan menjamin keselamatan peserta himpunan.
“Kita mahu ia (perhimpunan) dilakukan ikut saluran yang betul, sebab itu kita tawarkan stadium. Mengapa kita tawarkan stadium? Supaya mereka boleh berucap dan tidak turun ke jalanan kerana tiada sesiapa yang boleh jamin perhimpunan di jalan tidak akan timbulkan apa-apa masalah," jelas Najib.
Mengulas kenyataan Najib itu, Maria berkata sebaik sahaja dinasihati Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Mizan Zainal Abidin agar mengadakan himpunan tersebut didalam stadium, sekretariat akur dan memilih Stadium Merdeka.
Namun, tatkala itu Najib mengubah kenyataannya dan berkata, mana- mana pertubuhan yang ingin melakukan himpunan mestilah berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Tindakan 'flip- flop' Najib itu mengundang pelbagai kritikan daripada 62 Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat marhaen.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibarhim sebelum ini menawarkan Stadium Shah Alam untuk menjayakan himpunan tersebut, namun setelah mengambil kira banyak faktor, sekretariat Bersih 2.0 memilih Stadium Merdeka.
tvs
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...