Ahad, Oktober 09, 2011

Bajet gula-gula politik tidak menyenarai sumber pendapatan kerajaan

Bajet 2012 memperuntukan RM232.8 bilion bagi melaksanakan rancangan pembangunan kerajaan - RM181.6 bilion bagi perbelanjaan dan RM51.2 bilion pula pembangunan yang disifatkan kebanyakan ahli politik sebagai gula-gula politik ke arah memancing untuk pilihanraya

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad berkata, bajet 2012 terarah untuk pilihanraya kerana ia secara jelas menunjukkan beliau berada dalam keadaan tertekan ekoran Belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.
"PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu.

Najib juga hanya menumpukan perbelanjaan pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara.

"Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.

"Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi.

Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan.

"Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta.

"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.

"Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi.

Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi.

Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.

"Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly.


penangdaily

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

1 ulasan:

Sendiri mau ingat...