Jumaat, November 25, 2011

UMNO TERUS KETAGIH TIPU RAKYAT



Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac tahun depan tetap mempunyai ciri-ciri penahanan tanpa bicara bagi menangani aktiviti militan dan keganasan yang mengancam negara.

Menurutnya lagi dua akta itu akan mempunyai persamaan dengan pendekatan dalam Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan United Kingdom dan Akta Antikeganasan Australia yang dikuatkuasakan di negara-negara yang terkenal dengan perjuangan hak asasi manusia itu.

Inilah masalah Umno. Mereka masih anggap rakyat negara ini hidup dalam zaman Raja Bersiung –yang mudah untuk ditipu. Umno tipu rakyat dengan permainan istilah. Nama ISA tidak lagi digunakan tapi dua Akta yang masih mempunyai roh dan jasad seperti ISA akan diperkenalkan untuk terus menerus menzalimi rakyat.

Untuk Umno dan Hishamuddin kita ingin mengatakan bahawa rakyat menentang ISA bukan kerana namanya. ISA ditentang kerana isi kandungan Akta tersebut. ISA ditentang kerana ia membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.

Penahanan tanpa bicara adalah mekanisme yang subur kepada penyalahgunaan kuasa. Penahanan tanpa bicara menutup rapat pintu Mahkamah sehingga keadilan tidak dibenarkan masuk. Penahanan tanpa bicara melanggar prinsip asas dalam undang-undang yang diterima secara universal iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah.

Bagaimana Kerajaaan boleh membuktikan seseorang itu bersalah jika orang itu tidak dibicarakan dan bagaimana seseorang itu boleh mencabar bahawa beliau tidak bersalah jika ia tidak dibenarkan untuk pergi ke Mahkamah untuk dibicarakan.

Apa guna ISA dimansuhkan jika roh ISA iaitu penahanan tanpa bicara diserap pula ke dalam dua Akta yang akan digubal oleh Umno nanti. Dalam bahasa Inggeris tindakan Umno ini dipanggil “ old wine in a new bottle” ( arak yang lama di dalam botol yang baru” ). Maknanya dua Akta yang akan menggantikan ISA adalah benda yang sama yang dihiasi dengan “make up” yang baru bagi menutup wajah asalnya yang hodoh.

Hishamuddin menyatakan Akta yang akan menggantikan ISA nanti akan akan mempunyai persamaan dengan Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan United Kingdom dan Akta Antikeganasan.

Kita ingin menjawab begini. Mengapa kita harus meniru negara lain dalam menggubal undang-undang yang melanggar prinsip keadilan. Jika Umno ketagih ingin meniru Amerika sebagai contoh kenapa tidak tiru aspek positif demokrasi negara tersebut. Mengapa sebagai contoh Umno tidak tiru budaya perdebatan terbuka yang disiarkan secara terbuka di media massa calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan Presiden Amerika. Mengapa tiru benda yang tidak baik dan tidak tiru benda yang baik.

Keduanya adakah Umno dan Hishamuddin sedar bahawa Patriot Act di Amerika tidak digunakan ke atas rakyat Amerika. Ia hanya digunakan ke atas bukan warganegara Amerika khususnya orang Islam yang sering dilabel sebagai Pengganas oleh Amerika.

Hishamuddin juga menyatakan bahawa dua akta baru yang masih dikaji itu dijangka menerapkan beberapa perubahan seperti dalam soal tempoh tahanan, notis kepada keluarga yang ditahan dan keperluan untuk mereka membuat rayuan.

Ini muslihat halus Umno untuk mengelirukan rakyat. Nampak jelas Umno tidak faham atau sengaja tidak faham asas penentangan kepada ISA. Seperti yang kita katakan asas penentangan ISA adalah ia membenarkan penahanan tanpa bicara bukan kerana isu tempoh penahanan atau notis kepada keluarga. Ini bermakna jika pun Akta yang baru mungkin menghadkan tempoh tahanan atau keluarga tahanan wajib diberitahu sedangkan dalam masa yang sama Kerajaan masih boleh menahan seseorang tanpa bicara Akta baru tersebut tidak akan membawa apa-apa perubahan. Sebaliknya ia satu penipuan.

Hishamuddin menyatakan terdapat rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo tanpa melalui perbicaraan oleh itu beliau menyatakan jangan bersikap pilih bulu dan hipokrit. Apalah malang rakyat Malaysia dapat Menteri seperti ini. Sejak bila pula kita setuju Amerika tahan orang tanpa bicara dan diletakkan di Guantanamo Bay ? Kerana kita tidak setuju Amerika dan Guantanamo Bay sebab itulah kita menentang ISA dan mana-mana Akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Bagi kita Guantanamo Bay dan Kem Kemunting adalah kembar siam yang berpuaka- kedua-duanya kita tentang !

peguampas

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...