Selasa, Disember 13, 2011

Skandal NFC: Dedah agenda Muhyiddin guling Najib?



KOMENTAR Hingga ke saat ini, Ketua Wanita Umno merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak menyatakan pendirian berhubung desakan perletakan jawatan beliau sebagai menteri.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus membisu berhubung kemelut yang membelenggu parti pimpinannya yang disabitkan dengan Shahrizat.

Projek NFC iaitu sebuah projek RM250 juta kerajaan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik keluarga Sharizat semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi pada tahun 2007 benar-benar meletakkan Najib dalam keadaan paling tertekan.

Najib perlu siasat Muhyiddin

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media pada 10 November lalu di lobI parlimen meminta Najib menyiasat Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan itu.

Kata Saifuddin, Muhyiddin perlu disiasat selaku kedudukannya sebagai menteri pertanian yang meluluskan projek dan pinjaman kepada keluarga Ketua Wanita Umno untuk projek feedlot berkenaan sebelum ini.

Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Shahsul Iskandar Mohd Akin pula menganggap pemberian projek NFC kepada keluarga Shahrizat merupakan agenda sulit Muhyiddin untuk menyingkirkan Najib.

Manakala pemberian projek ternakan lembu tersebut kepada keluarga Ketua Wanita Umno tersebut bertujuan menagih sokongan Wanita untuk membantu Muhyiddin menewaskan Najib dalam pemilihan ketika perhimpunan Agung Umno nanti.

Shamsul memberikan alasan tersebut berdasarkan sehingga ke saat ini pemilihan Agung Umno masih belum dilaksanakan walaupun telah beberapa kali berlangsungnya perhimpunan Agung diadakan.

Menurut Shamsul keputusan Presiden Umno untuk tidak membuat pemilihan disebabkan Najib menyedari gerakan kesepakatan timbalan beliau untuk menyingkirkan beliau.

Dilema Najib

Ibarat ditelan mati emak, di luah mati anak, Najib terus berdiam diri sesuai dengan jolokan sikap 'play safe' beliau sebelum ini.

Apa yang pasti, Najib sedang diapit dengan pelbagai delima berhubung masa depan parti pimpinannya apatah lagi saat menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang beliau sahaja tahu tarikhnya.

Lepaskan atau menghukum Shahrizat akan menyebabkan sayap kiri Umno bukan sahaja akan patah malah tidak mampu lagi untuk terbang. Sedangkan dalam mana-mana PRU jentera perayu undi wanita merupakan gerakan utama kemenangan.

Tambahan pula dalam wanita Umno tidak ada tokoh wibawa yang mampu membawa 'aura' Umno selain Shahrizat. Najib atau perwakilan Umno amat yakin bahawa tanpa skandal yang terpalit pada Shahrizat, Wanita Umno akan menjadi kuat dan mampu meraih banyak undi atas pagar. Itulah kekuatan Shahrizat sebelum ini.

Di atas kekuatan itulah juga Najib sanggup menjemput Shahrizat meyertai kabinet walaupun beliau kalah dalam PRU 2008 di Lembah pantai kepada anak Anwar Ibrahim, Nurul Izzah.

Kekuatan Shahrizat jadi rebutan

Najib dikira agak lewat melihat kekuatan Shahrizat berbanding Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Atau mungkin Najib mungkin baru sedar setelah melihat senario bagaimana pemberian projek NFC tersebut boleh diperoleh oleh Keluarga Shahrizat. Sedangkan syarikat tersebut langsung tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang ternakan lembu.

Namun sebagai veteran politik dan melihat projek RM250 juta diberikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno, tidak salah kiranya Najib menghidu sesuatu yang tidak kena dengan 'cerita' disebalik agenda pemberian tersebut.

Ketika skandal penyelewengan NFC dipapar di media, para wartawan menyerbu Muhyiddin dan bertanyakan respon berhubung penyelewengan tersebut.

Media sedar pemberian projek kerajaan bernialai RM250 juta tersebut diberikan kepada keluarga Shahrizat ketika Muhyiddin menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani.

Dalam kata lainnya, apabila melibatkan projek kerajaan bernilai berjuta ringgit maka keputusannya akan ditentu dan diputus oleh pihak menteri.

Justeru sebagai Menteri Pertanian, setentunya diatas 'perkenan' Muhyiddinlah projek NFC tersebut di serahkan kepada syarikat milik suami Shahrizat.

Pakatan Muhyiddin- Shahrizat?

Kenyataan Muhyiddin kepada media sejurus soalan tersebut dimajukan kepada beliau serta tindakan menyerahkan kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani, Noh Omar untuk menjawabnya, tersisip sesuatu yang tidak kena.

Muhyiddin sedar tindakan 'melayan' pertanyaan media akan menyebabkan isu melibatkan Ketua Wanita Umno tersebut akan berpaling kepada beliau.

Berdasarkan bacaan asas politik, pemberian projek NFC oleh Muyiddin kepada syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno tersebut setentunya mempunyai hubung kait dengan sesuatu kepentingan yang bersifat sokongan.

Kalau Najib pernah mengungkap bidalan "I help you, you help me' kepada pengundi di Sarawak, tidak mustahil Muhyiddin juga lebih dahulu menggunakan madah yang sama untuk 'mengayat' Shahrizat.

Dalam survival politik, sokongan dari pergerakan wanita amat besar maknanya. Justeru Muhyiddin membuat perkiraan dengan 'menambat' kepalanya, akan mudahlah untuk di urus ekornya.

Persaingan Muhyiddin-Najib

Pertembungan antara Najib-Muhyiddin ketika era Abdullah Badawi menjadi perdana Menteri bukanlah hal yang tersembunyi. Malah kebanyakan ahli-ahli Umno disemua peringkat lebih maklum.

Abdullah Badawi pula terpaksa mengambil masa hampir empat bulan untuk melantik timbalannya sejurus dilantik menggantikan Tun Dr Mahathir pada 2003.

Dua calon yang dilihat paling layak untuk mengisi jawatan timbalan beliau adalah Muhyiddin Yassin dan Najib Razak.

Dalam falsafah politk pula, sang ketua akan cuba melantik pembantunya yang lebih lemah berbanding pembantunya yang kuat kerana dalam status Quo Umno hanya timbalan yang mampu mencabar presiden.

Abdullah juga sedar sekiranya Najib dipilih akan membawa kepada usia jawatan beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lebih pendek disebabkan Najib mendapat dokongan dari bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir.

Lantaran desakan dari team Najib terlalu kuat selain tekanan dari Dr Mahathir, Abdullah cuba menenangkan keadaan dengan melantik Ahli Parlimen Pekan itu sebagai pembantu beliau.

Walaupun akur dengan perlantikan Najib sebagai timbalan beliau, Abdullah perlu membuat 'check and balance' bagi menghalang kebangkitan Najib bersama teamnya.

Maka tidak ada calon yang lebih layak untuk memastikan Najib tidak 'besar kepala' selain Muhyiddin.

Peranan Muhyiddin

Strategi Abdullah meletakkan Muhyiddin dalam kementerian Pertanian yang kemudiannya dinamakan Kementerian Pertanian dan Asas Tani dilihat sebagai strategi untuk 'menyembunyikan' Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Manakala Najib pula dibiarkan terus untuk menguasai skuad pasukan beragam negara bersama skandal pembelian kapal selam Scorpion yang masih menghantui Najib dan kementerian Pertahanan.

Abdullah membiarkan Muhyidddin menguasai ahli akar umbi Umno yang kebanyakannya terdiri dari golongan petani, penternak dan nelayan.

Dalam masa yang sama Abdullah cuba komersilkan sektor pertanian sebagai sebuah industri yang berdaya maju. Lalu Abdullah menjadikan moto 'Pertanian sebagai sebuah Industri' bagi kempen menaikkan bidang pertanian dibawah naungan kementerian Muhyiddin.

Tujuannya supaya peranan Muhyidddin lebih menonjol dikalangan ahli-ahli Umno dengan dibekalkan peruntukan yang besar. Dengan peruntukan besar tersebut akan lebih 'memesrakan' Muhyiddin dengan akar umbi.

Keluarga Shahrizat dapat NFC

Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) merupakan salah satu dari projek ternak lembu yang selama ini diberikan kepada petani bersekala kecil tetapi cuba di komersilkan sebagai projek perintis dengan menelan belanja RM250 juta.

Kelebihan NFC yang berada dibawah program perintis Kementerian dibawah Muhyiddin ini antara lainnya mempunyai beberapa kelonggaran termasuk terma pembayaran balik yang tidak ada tempohnya.

Persoalannya..... kepada siapakah projek bernilai RM250 juta ini akan diserahkan?.

Andai dalam setiap kali berlangsung pemilihan dalam perhimpunan agung Umno, isu politik wang atau rasuah politik bernilai jutaan ringgit telah menjadi amalan biasa dalam Umno.

Muhyiddin yang juga seorang Naib Presiden Umno boleh melihat ruang dan peluang besar dengan wang berjuta ringgit tanpa menggunakan wang dari kocek sendiri.

Dengan tanda tangan kecil diatas sebuah dokumen tidak memerlukan beliau untuk turun berkempen di akar umbi bagi mendapatkan sokongan.

Pakatan Abdullah- Muhyiddin

Muhyiddin juga sedar peranan yang diberikan oleh Abdullah bagi meneruskan kerjaya Abdullah sebagai pemimpin tertinggi negara.

Dalam masa yang sama beliau juga akan turut 'menuai' keuntungan besar sekiranya misi 'menggulingkan' seteru politik beliau berhasil.

Malah Muhyiddin tidak perlu risau sokongan pemuda Umno memandangkan Khairy Jamaluddin yang digelar Dr Mahathir sebagai 'budak nakal tingkat empat' itu adalah menantu Abdullah.

Justeru Muhyiddin hanya memerlukan sokongan dari pergerakan Wanita untuk memastikan sokongan 'solid' terhadap beliau dan Abdullah.

Berdasarkan kronologi tersebut tidak menghairankan sekiranya keluarga Shahrizat mendapat habuan mengendalikan projek perintis Kementerian dibawah Muhyiddin tersebut.

Dengan projek yang dipersetujui berasaskan konsep 'I help you, You help me ' itu diharap akan melengkapkan sokongan dua sayap Umno terhadap Muhyiddin.

Khairy Bersubahat?

Ramai terperanjat apabila Ketua Pemuda Umno merangkap menantu Abdullah, melenting dan 'menjawab' bagi pihak Shahrizat apabila isu pembelian kondo mewah di Bangsar di dedahkan oleh Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Kenyataan Khairy menerusi blok beliau rembau.net turut menjelaskan secara terperinci berhubung penglibatan syarikat National Livestock and Meat Corporation (NLMC) yang juga syarikat milik Shahrizat dengan NFC berhubung penyelewengan pembelian kondo mewah di Bangsar bernilai RM9.8 juta juga menjadi tanda tanya.

Mulanya ramai berfikir mungkin Khairy ingin membela Shahrizat atas kapasiti beliau sebagai ketua sayap pemuda bertujuan mengurangkan tekanan ke atas Shahrizat yang juga ketua wanita Umno.

Namun setelah melihat secara menyeluruh. Mungkin juga ada kebenaran kata-kata Dr Mahathir bahawa kabinet Abdullah sebelum ini ditentukan oleh keputusan dari tingkat empat.

Begitu juga tindakan Khairy yang sering memberikan pelbagai alasan untuk mengelak dari berdebat dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memperlihatkan kebimbangan Ketua Pemuda Umno tersebut berhubung pembongkaran lebih besar disebalik projek NFC tersebut.

Muhyiddin tertewas

Muhyiddin hakikatnya telah pun tewas di pusiang pertama ekoran penyingkiran Abdullah dari menerajui negara.

Muhyiddin merupakan pemimpin pertama Umno yang memberi tekanan dan menyaran Abdullah menyegerakan proses peralihan kuasa ke tangan Najib sejurus selepas BN menerima kekalahan teruk dalam PRU 2008 lalu.

Apakah tujuannya bagi menutup isu 'pakatan sulit' beliau?.

Manakala ketewasan yang lebih teruk adalah berhubung isu NFC yang semungkinnya telah dapat di hidu oleh Najib yang kini menjadi bos beliau.

Dalam politik, musuh harus dipangkas dari mata tunasnya sekiranya mahukan survivalnya lebih cemerlang dan berpanjangan.

Najib juga mungkin lebih sedar sekarang bahawa musuh yang lebih merbahaya yang beliau sedang hadapi adalah 'pembantu' yang selalu berhadapan dengannya. Bukannya pembangkang.

TVS


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...