Jumaat, Januari 13, 2012

Jika pentadbiran Najib rayu keputusan mahkamah…


KUALA LUMPUR, 12 JAN – Setelah mendakwa kononnya keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat sebagai bukti tiada konspirasi politik, pihak kerajaan Barisan Nasional sedang mencari jalan untuk merayu semula keputusan kes itu.

Justeru, segala program tranformasi dan reformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal nazak jika pihak pendakwa “berjaya” merayu kes Anwar itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, cadangan pihak pendakwa kes Anwar mendesak Peguam Negara untuk merayu adalah sangat pelik dan janggal.

“(Ia) adalah kes pertama apabila pasukan pendakwa membuat kenyataan terang-terangan kepada masyarakat untuk melobi dan memberi tekanan kepada Peguam Negara untuk memohon rayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, jelas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, pemerintahan Najib selama 33 bulan membuktikan konsep 1Malaysia semakin parah kerana ia penuh denga retorika politik tanpa pelaksanaan.

“Malah, dari awal-awal lagi konsep 1Malaysia yang kononnya bertujuan mencipta sebuah negara di mana rakyat mengangkat diri sebagai bangsa Malaysia telah dibakulsampahkan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri yang mengaku diri sebagai ‘kaum Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian’,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang disiarkan di TV3 semalam di mana telah dipetik sebagai berkata, pihak pendakwa akan mencadangkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail supaya meneliti semula kes dan menimbangkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu ke Mahkamah Rayuan.

Justeru Kit Siang berkata, jika adanya rayuan terhadap kes Anwar yang sudah selesai itu, ia akan menenggelamkan Malaysia kembali ke dalam kancah besar politik longkang dan merampas institusi kebebasan, integriti dan legitimasi. – Roketkini.com




KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...