Selasa, Januari 03, 2012

Umno/BN Ibarat Telur Di hujung Tanduk Lembu

PETALING JAYA, 2 JAN: Umno/BN yang semakin terdesak ekoran penolakan rakyat memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menggunakan pelbagai fitnah dan penipuan serta memperbodoh rakyat di saat Pilihanraya Umum ke-13 kian hampir.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya berkata strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan Umno/BN dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan Negara.

"Keterdesakan Umno/BN di bawah Najib semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi. Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah, serta pada keseluruhan parti usang Umno/BN." ujar beliau.

Katanya tindakan media milik Umno yang membesarkan kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) menunjukkan betapa media tersebut ketandusan idea selain membesarkan isu lapok.



"Umum tidak harus lupa bahawa Raja Petra Kamaruddin, yang kini semakin diketahui sebagai ‘blogger upahan UMNO' juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu lagi, ketakutan Najib dan Rosmah berhubung sokongan terhadap Anwar ekoran ramai penyokong yang akan turun memberi sokongan ketika 9 Januari nanti dianggap sebagi cubaan untuk menghuru-harakan negara.

"Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR. Sebagai seorang pemimpin politik, tentunya beliau mempunyai pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota Parti bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara.

"Dari nada pimpinan UMNO dan media milik UMNO berhubung perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa UMNO sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut. Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong Parti untuk berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap UMNO dan Barisan Nasional yang ingin menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita." kata beliau.

Tambah beliau, kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat serta kebangkitan rakyat memaksa kepimpinan Najib melakukan pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Umno/BN kini umpama ‘telur di hujung tanduk'. Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa kerajaan telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memimpin negara dan membela nasib mereka.

"Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya.

"Malah dalam kes syarikat Fidlot Nasional, rakyat masih terus dibohong apabila siasatan dan pertuduhan hanya dibuat terhadap lelaki yang disyaki menipu suami kepada Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat itu sendiri dan tidak terhadap pengarah-pengarah syarikat, yang terdiri dari anak-anak mereka mahu pun Shahrizat sendiri.

"Pendedahan penyalahgunaan wang zakat oleh Ketua Audit Negara oleh Menteri Jamil Khir terus dipertahan.

"Kezaliman dan penindasan terhadap peneroka-peneroka dalam merebut kekayaan FELDA oleh pemimpin tertentu UMNO terus dipertingkat dan digalakkan.

"Kebangkitan mahasiswa menuntut penghapusan AUKU dan hak dan kebebasan bersuara serta menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional segera ditentang dengan kekejaman dan kekerasan Polis.

"Dalam pada itu, usaha memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini masih dileluasakan." tegas beliau

Sehubungan itu beliau menyeru supaya seluruh rakyat berbilang kaum serta para pengundi menolak Umno/BN dalam pilihanraya akan datang yang disifatkan semakin terdesak dan melampau.

tvs



KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...