Khamis, Mac 22, 2012

Apa dia reformasi, transformasi Najib?



Selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu pilihan raya Malaysia tidak bebas.

Selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu usaha mencegah dan membasmi rasuah, khususnya di peringkat tinggi kerajaan, akan gagal.

Selagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan badan bebas yang diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) tidak dimansuhkan sama sekali, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi tidak dihapuskan, atau dilonggarkan untuk menggalakkan kebebasan maklumat, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Kebebasan Maklumat tidak dilaksanakan, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas untuk melaporkan dengan berani dan benar.

Selagi lesen dan kebenaran stesen TV dan radio swasta dikawal oleh kerajaan, selagi itu tidak wujud media bebas di negara ini.

Selagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dihapuskan tanpa perlu diganti sebarang akta lain, termasuk mana-mana undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara, selagi itu rakyat Malaysia tidak akan bebas.

Selagi sistem kehakiman takut dan tunduk kepada eksekutif (pembuat keputusan = parti pemerintah = kerajaan), selagi itu keadilan tidak wujud; yang salah boleh bebas dengan wang, yang benar dizalimi kerana tiada wang.

Selagi sistem tender terbuka tidak diamalkan dengan telus dan mengikut undang-undang yang adil, selagi itu diskriminasi, pilih kasih, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah serta kronisme akan terus berleluasa.

Selagi warna kulit sahaja menjadi asas penentu dalam apa-apa bidang, selagi itu rakyat sentiasa curiga dan was-was antara satu sama lain, sama seperti yang telah berlaku sejak lebih 50 tahun lalu.

Selagi sistem politik Barisan Nasional yang berasaskan politik perkauman dan dominasi satu parti, selagi itu rakyat akan terbelenggu dan takut sehingga mencacatkan kreativiti minda, menjadi mandom, lembap dan ‘lebih kurang’ (mediocre).

Ini semua hanya sebahagian kecil daripada masalah yang rakyat hadapi sejak berpuluh tahun lalu. Tak nampak sebarang tanda pemulihan.

Jadi apakah yang Datuk Seri Najib Razak maksudkan dengan reformasi dan transformasi itu? – Roketkini.com


KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...