PKR mendakwa pihaknya terpaksa menangguhkan ceramah pada bulan lalu di Rembau kepada hari ini selepas sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mengugut untuk 'mandi darah' semasa persiapannya.
Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, dalam insiden pada 6 Februari lalu, berlaku kekecohan sehingga mengundang kedatangan polis ke tempat itu di Pekan Kuala Sawah.
"Selepas bercakap dengan ketua penyerang, anggota polis terus beredar. Kemudian PKR membuat laporan polis mengenai serangan dan ugutan bersenjata namun polis gagal mengambil tindakan hanya kerana dia ketua kampung yang dilantik menteri besar Negeri Sembilan.
"Serangan bukan sahaja bersifat bersenjata tetapi juga bersifat perkauman apabila ketua kampung itu mencarut dan memaki hamun petugas berbangsa India yang ada bersama dan mengugut untuk 'mandi darah'," dakwa Badrul dalam blognya.
Sehubungan itu, Badrul berkata, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, penganjur menangguhkan ceramah tersebut dan turut mengubah lokasinya.
"Sejak semalam, telah disebarkan SMS dari ketua kampung itu dan memanggil orang Umno untuk berkumpul bagi 'menghancurkan' program pembangkang di kawasan menteri besar (DUN Rantau)," dakwanya lagi.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard turut melahirkan rasa dengan pihak polis yang didakwanya lemah dalam menjamin ketenteraman dan akur dengan "gangsterisme" Umno.
"Umno sebenarnya makin lemah. Mereka panik apabila makin ramai rakyat mengetahui maklumat sebenarnya kerana makin sedar.
"Mereka makin gagal guna otak untuk berhujah maka mereka terpaksa bergantung guna otot pula. Umno membawa politik negara menjadi politik rimba," katanya.
Lokasi ceramah kini diubah ke hadapan pejabat PKR di pekan Rantau.
Ceramah malam ini akan dihadiri oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani dan Badrul sendiri.-MK
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...