PROPAGANDA BN SEMAKIN HODOH DAN BODOH..
Sekurang-kurangnya mulai sekarang sehingga berakhirnya bulan Oktober, ia menjadi masa yang tidak munasabah untuk diadakan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13). Faktor utamanya ialah musim haji. Namun senario politik semasa dalam negara seolah-olah Parlimen sangat hampir untuk dibubarkan. Setiap hari rakyat menatap dada akhbar, skrin televisyen dan suara radio yang dikumandangkan ia sarat dengan propaganda politik UMNO/BN sedang berkempen. Kempen politik di negara 1Malaysia ini sangatlah hodoh kerana ia hanya propaganda sebelah pihak tetapi kejelikan itulah yang berlangsung sejak 55 tahun mencapai kemerdekaan hingga ke saat ini. Tidak ada barang satu hari dalam sejarah Malaysia, media utama negara merdeka dari dijajah oleh BN. Semua media tersebut terpaksa tunduk dan patuh kepada arahan penguasa politik BN seperti lembu yang dicucuk hidung.
Permainan propaganda politik menjadi lebih hodoh di zaman langit terbuka ini kerana sewaktu mereka cuba memperbodohkan rakyat seluruhnya, bahan serangan balas tersebar dengan lumayannya di alam maya.
Apabila media BN mencanangkan ‘kebiadapan’ segelintir peserta himpunan Janji Bersih menghina foto Perdana Menteri lalu diambil tindakan, pihak lawan mereka punya menyiarkan foto bagaimana gambar Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin-pemimpin utama Pakatan dipijak, dikencing dan dibakar tetapi tidak diambil apa-apa tindakan oleh polis.
Selepas media BN mendedahkan penunjuk punggung terhadap gambar Perdana Menteri akan diambil tindakan, pihak lawan mereka pula mendedahkan kelucahan Pemuda UMNO beraksi ala liwat, Puteri UMNO menonggeng punggung, senaman punggung di hadapan rumah Datuk Ambiga dan aksi simbol lucah oleh seorang Menteri Besar BN; semuanya tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis.
Sebaik media BN mengecam kerajaan Selangor kerana tidak mengundang Sultan di majlis sambutan ambang merdeka, pihak lawannya juga mendedahkan kebiadapan kerajaan BN Pusat yang tidak mengundang Yang DiPertuan Agong di sambutan ambang merdeka yang diadakan di Stadium Bukit Jalil.
Apabila media BN menceritakan bahawa kumpulan anti Anwar diserang di hadapan ibu pejabat KeADILan, pihak lawannya mendedahkan dengan bukti audio video bahawa kumpulan tersebut yang mula mencetuskan provokasi dan membuat kacau secara agresif.
Selepas media BN mengecam Anwar kerana berucap dalam masjid (kononnya memperalatkan masjid untuk politik) maka media maya menyiarkan foto semua pemimpin-pemimpin BN yang berucap dalam masjid, termasuk juga Rosmah bersama sebahagian Puteri UMNO yang tidak menutup aurat mengadakan program politik dan berucap dalam masjid.
Semua pantun bersambut, semua soalan berjawab. Langit terbuka menjadi masalah besar BN melakukan propaganda sehingga media-media utama yang mereka kuasai kelihatan betul-betul bodoh kerana hanya bergantung nyawa dengan khalayak yang berfikir tidak menggunakan akal serta tiada maklumat kedua lalu menelan bulat-bulat setiap propaganda yang ditaburkan. Lagi masalah besar bagi BN ialah golongan yang jahil isu semasa ini makin mengecil dalam masyarakat.
Cabaran kedua yang dihadapi BN ialah ketidakupayaan menyembunyikan sesuatu yang merugikan mereka. Apabila Perkasa dan UMNO menyerang masjid, mengganggu tazkiroh dan didakwa membaling selipar ke dalam masjid, tiada satu pun siaran media utama negara berani menyiarkan insiden tersebut. Tetapi video keganasan kumpulan itu tersebar seantero dunia melalui You Tube. Semua golongan rasional yang menyaksikan video itu dipasak kebencian yang meluap-luap menyaksikan kebiadapan kumpulan itu menyerang masjid.
Sewaktu bas Jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan dicurah cat oleh kumpulan samseng anti Pakatan, tidak ada juga media utama yang menjadi perkakas BN berani menyiarkan insiden itu. Peristiwa itu cuba disembunyikan namun di alam maya ia tersebar sepantas kilat seluas-luasnya. Tiba-tiba insiden tersebut menjadi pemangkin melonjakkan kehadiran orang ramai ke setiap ceramah Anwar yang sedang menjelajah ke seluruh negara.
Tidak ada sebuah pun media utama dalam negara yang menyiarkan walaupun satu sudut yang terpencil Himpunan Hijau anti Lynas yang diadakan di Raub, Pahang namun media maya menyiarkan himpunan yang dihadiri puluhan ribu manusia itu. Begitu juga dengan semua himpunan besar anjuran kerajaan negeri Pakatan dan parti-parti komponen Pakatan sama ada jamuan Aidil Fitri atau ceramah umum.
Kejatuhan saham FGVH, kenaikan harga minyak Petrol Ron 97, pertambahan indeks jenayah, pergolakan di Sabah dan Sarawak, pertelingkahan dalaman UMNO serta seribu satu keburukan yang membabitkan BN dan kerajaannya yang disembunyikan semuanya terdedah di media maya.
Kebijakan dalam membuat propaganda ialah sehingga orang ramai terkesan tetapintidak tahu itu propaganda. Malangnya BN, semua propaganda mereka yang dimainkan oleh media terserlah sangat bahawa ianya fitnah, pembohongan, putarbelit, penggelapan dan manipulasi. Maka ia adalah propaganda yang gagal.
Rakyat nampak BN mengada-ngada apabila; ada yang dipaksa untuk berterima kasih, isu kecil dibesarkan, laporan polis terhadap spekulasi dibuat, eksploitasi racisme dalam menonjolan isu bahkan pemberian bahkan sumbangan untuk rakyat jelata juga sangat mudah difahami bahawa ‘ianya rasuah politik!’ justeru hilang rasa terima kasih.
Setiap hari apabila Buletin Utama TV3 atau RTM menyiarkan laporan versi sebelah pihak dalam beritanya, hakikatnya ia sedang membakar perasaan jutaan rakyat negara ini yang sedang menyaksikan propaganda bodoh yang sungguh menyakitkan hati itu. Mereka berjaya menyemarakkan kebencian di kalangan pengikut tegar mereka di samping menyemarakkan kebencian sebahagian besar rakyat terhadap mereka sendiri iaitu BN dan media propagandanya.
Sumber : Warta Utara
kopitarikkaw2
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Penawar Kanser Dan Pelbagai Penyakit Kronik.. Ia BUKAN UBAT, Tetapi Semulajadi & Terbaik Untuk Semua
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...