Ahad, Oktober 14, 2012

DASAR & JANJI MENJAHANAMKAN EKONOMI






Pada mulanya, saya memang tidak bercadang mengulas mengenai Belanjawan 2013 kerana, secara ikhlas, saya kurang yakin kemampuan saya memahaminya.Ini mungkin kerana kefahaman dan pengetahuan saya mengenai belanjawan dan ekonomi tidak cukup mendalam atau kerana dokumen itu canggih dan kompleks.

Manakala saya mengalu-alukan langkah mengurangkan defisit belanjawan (daripada 4.5 peratus kepada 4 peratus) dan menjanjikan pembahagian sumber yang berkesan dan saksama seperti mengembalikan rancangan rumah murah. Namun saya kurang selesa dengan pemberian tunai yang berterusan kepada pihak itu dan ini.

Saya tergerak untuk menulis mengenai belanjawan secara umum hanyalah setelah mendengar pandangan dua orang bekas menteri kanan yang saya tahu pernah menjadi penyokong tegar dan mentor Perdana Menteri, Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Seorang bercakap secara terbuka kepada khalayak. Beliau menyatakan kehairanannya mengenai dari mana Najib mendapat begitu banyak wang untuk ditaburkan. “Macam keluar dari hidung,” kata beliau. Tetapi maklum sajalah kalau kenyataan itu tidak mendapat liputan media tradisional.

Seorang lagi bercakap di belakang tabir. Kedua-dua mereka keliru dan bimbang mengenai keghairahan Perdana Menteri memberikan duit kepada pihak itu dan ini, yang terakhir dalam bentuk bonus sebulan setengah kepada kakitangan awam.

Malangnya, dalam usaha mencari populariti jangka pendek menjelang pilihan raya umum itu, kedua-dua belah pihak — kerajaan dan pembangkang — nampaknya mengabaikan apa yang dalam dunia kewangan disebut sebagai “financial prudence”.

Kerajaan memberikan berbagai macam pemberian tunai dan peruntukan luar belanjawan. Pembangkang pula, antara lain, memberikan air percuma dan menjanjikan kereta murah dan memiliknegarakan semula bekalan air.

Orang ramai keliru

Masalahnya, orang ramai yang kurang arif atau jahil mengenai perjalanan ekonomi dan pengurusan kewangan mungkin ternakan janji-janji itu dan membuat pilihan yang akhirnya memufliskan negara.

Saya tidak menentang usaha mana-mana pihak membahagikan kekayaan dan sumber ekonomi negara secara meluas dan saksama. Itulah pun landasan Dasar Ekonomi Baru yang menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan pembahagian kekayaan.

Walaupun DEB tidak berjaya seratus peratus, tetapi ia berjaya mengurangkan kemiskinan, memperbesarkan bilangan anggota kelas menengah dan sedikit sebanyak menyusun semula masyarakat.

Tetapi, yang perlu atau wajib dielakkan ialah memberi subsidi untuk kepenggunaan iaitu memberi wang kepada orang ramai untuk berbelanja.

Ada ungkapan mengatakan, lebih baik memberi alat menangkap ikan kepada seorang yang lapar daripada memberikannya ikan. Beri ikan, dia makan. Esok kena bagi sekali lagi. Tetapi kalau kita berikan alat menangkap ikan dan mengajarnya menangkap ikan, insya-Allah dia boleh mencari makan sendiri.

Utamakan subsidi pengeluaran

Kita beri bantuan dan subsidi untuk tujuan menambah dan menaikkan produktiviti dan bukan untuk kepenggunaan.

Jadi, saya sokong cadangan mengurangkan subsidi gula yang memudaratkan dan tidak adil. Mudarat di segi kesihatan kerana gula murah menyebabkan merebaknya penyakit kencing manis dan tidak adil kerana syarikat raksasa yang mengeluarkan minuman dan makanan pun dapat gula subsidi.

Harga mungkin naik, tetapi kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negara, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna cekap, tahap kenaikan boleh dikawal dan bekalan dijamin.

Penjimatan subsidi itu boleh disalurkan kepada kegiatan yang produktif seperti menaikkan taraf sistem pengairan dan perparitan di kawasan-kawasan tanaman padi, memulihkan sawah yang keracunan dan melatih petani amalan pertanian terkini.

Tidak guna kereta murah seperti yang dijanjikan oleh pembangkang kalau jalan raya makin sesak dan tidak diselia dengan baik kerana pembangkang juga bercadang menghapuskan tol.

Saya pun tidak tahu daripada mana kerajaan dan pembangkang — kalau ia menang — hendak mendapatkan hasil bagi menampung perbelanjaan negara kerana pada masa yang sama mereka berjanji mengurangkan cukai itu dan ini.

Yang kita dengar, Petronas pun secara terbuka sudah berkata ia tidak akan membayar dividen yang tinggi lagi kepada kerajaan kerana ia perlu membuat pelaburan baru yang banyak.

Sementara itu, syarikat swasta, termasuk yang berkait dengan kerajaan (GLC) pula sedang ditekan oleh krisis ekonomi dunia. Serentak dengan itu, harga minyak kelapa sawit dan getah juga semakin menurun.

Daripada 100 buah syarikat terbesar di Bursa Malaysia mengikut nilai pasaran, 10 mengalami kerugian dan 34 menderita kemerosotan keuntungan pada tahun kewangan semasa berbanding tahun sebelumnya. Yang rugi tidak akan bayar cukai dan yang kurang keuntungan akan bayar cukai yang lebih rendah.

Jangan sedap cakap saja

Saya rasa, kerajaan dan pembangkang hendaklah realistik dan berterus terang dengan rakyat jelata, khasnya pengundi. Realitinya, dunia sedang melalui krisis ekonomi paling getir selepas Perang Dunia Kedua.

Ekonomi Amerika runtuh pada tahun 2008. Kini giliran Eropah pula. Greece sudah muflis dan Sepanyol bernyawa ikan. Pertumbuhan ekonomi China dan India mula menurun dan Jepun terumbang-ambing. Sebagai negara perdagangan, naik-turun ekonomi dunia memberi kesan langsung kepada kita.

Pakar-pakar ekonomi meramalkan yang kemelesetan tahun 2008 itu akan mengambil masa 10 tahun untuk diatasi dan pakar-pakar antarabangsa meramalkan sehingga 100 juta penduduk dunia akan mati kebuluran menjelang 2030.

Saya mula membuat laporan ekonomi pada tahun 1972 dan terbabit sedikit sebanyak dengan perniagaan. Saya melalui kemelesetan ekonomi tahun 1973/74, 1985/86 dan 1997/98.

Orang yang berniaga, bekerja dengan sektor swasta atau bekerja sendiri tahulah pahit getirnya. Banyak yang muflis atau kena buang kerja. Orang yang makan gaji dengan kerajaan mungkin tidak tahu atau tidak peduli.

Melihatkan keadaan hari ini, saya sangat bimbang. Dan dua orang bekas menteri yang memberikan pandangan mengenai Belanjawan 2013 dan cara Najib berbelanja adalah dua pakar ekonomi terulung di Malaysia dan di dunia. Kalau cakap mereka tidak boleh dipakai, saya tidak tahu cakap siapa lagi saya boleh dipercayai. Wallahualam.

— kadirjasin.blogspot.com

kl-today


KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Masalah Tak Mampu Nak Tahan Lama? Selesai Serta Merta Dengan Hanya Libido Gel

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...