Rabu, November 28, 2012

MUHYIDDIN SI LEBAI MALANG

PAS si lebai malang, melukut tepi gantang' dalam Pakatan - TPM

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat umpama "lebai malang dan melukut di tepi gantang".

Dakwanya, PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR, malah kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh pemimpin dari kedua-dua parti itu.

"Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. Betul atau tidak? PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR.

"Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas.

"PAS berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa," katanya.

Mengimbau senario parti Islam itu di tiga negeri Pakatan - Kedah, Pulau Pinang dan Selangor - calon PAS tidak diberi kuasa yang sepatutnya disandang mereka atau dasar Islam mereka tidak dipersetujui rakan gabungan.

Sebagai contoh di Pulau Pinang, Muhyiddin berkata DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS, walaupun parti itu mempunyai satu kerusi dalam DUN dan wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

"DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal,sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS," kata Muhyiddin.

Manakala di Kedah pula, kata Muhyiddin, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan exco kerajaan negeri yang dikuasai PAS dan apabila kerajaan PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP.

"Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS.

"Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan.

"Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil alih oleh menteri Besar dari PKR," kata Muhyiddin.

Timbalan perdana menteri itu mendakwa PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama dan sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik.

Katanya, pertarungan sesama sendiri antara PAS dan DAP adalah "melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan BN."

"Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza," katanya.

Muhyiddin turut menempelak PAS dan DAP yang didakwanya sebagai "puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik."

"PAS sebagai contoh pernah menuduh Umno sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.

"Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian Umno dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama Umno.

"Malah, DAP menuduh Umno sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Sebenarnya, dakwa Muhyiddin, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka.

"PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci Umno dan menyokong mereka.

DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka.

"Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, dakwa Muhyiddin, pada hakikatnya parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman "didalangi oleh PAS dan DAP", bukannya Umno, MCA, MIC atau parti komponen BN yang lain.

"Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang Umno tidak halal, solat berimamkan orang Umno tidak sah.

"Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang Umno yang merupakan saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian," katanya.

MK


3 ulasan:

  1. akibat pas tolak rayuan bersekongkol dgn mereka... lolololol... punya banyak lol.. wakaka

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Mahyudon....mahyudin semaking banyak ia bercakap semaking jelas nampak kebodohannya.

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...