Oleh AZIZ MUDA
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini diseru bangkit menjadikan PRU-13 tidak lama lagi sebagai gelanggang terbaik untuk menukar Kerajaan Umno-BN kepada Pakatan Rakyat yang lebih prihatin, adil, telus dan mesra rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, ketakutan Umno terhadap jatuhnya mereka dalam PRU-13 telah digambarkan dengan jelas oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dalam Ucapan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno ke-66 di PWTC, 29 Nov lalu.
Najib ketika berucap meminta rakyat tidak cuba-cuba bereksperimen untuk menukarkan kerajaan dalam PRU-13 kerana Umno-BN merupakan parti yang terbukti relevan sepanjang zaman sebagai pilihan utama.
"Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
"Lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur," kata Najib mempengaruhi ahli Umno dan rakyat negara ini agar tidak memilih Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, telahan Najib itu seperti orang tidak bertamadun kerana dalam demokrasi sememangnya diizinkan kepada rakyat untuk menukar kerajaan.
Malah katanya lagi, ia adalah perkara biasa dalam demokrasi serta sering dilakukan oleh rakyat di negara-negara demokrasi lain di seluruh dunia termasuk antara lain di Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun.
"Itu juga merupakan satu gertakan untuk menakutkan rakyat. Gertakan seperti itu memang sudah lazim dilakukan oleh para pemimpin Umno-BN tahun 60-an," katanya.
Kenyataan kononnya hanya Umno-BN sahaja yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat perlu mengekalkan BN dalam PRU-13, adalah kenyataan dangkal seolah-olah Pakatan Rakyat tidak upaya memakmurkan negara.
Terbukti katanya, empat negeri yang ditadbir Pakatan - Kedah, kelantan, Selangaor dan Pulau Pinang - mendapat pujian daripada Ketua Adit Negara kerana pentabiran yang baik berbanding negeri-negeri yang dikuasai BN.
"Apakah rosak binasa negeri-negeri ini sepanjang ditadbir Pakatan?" soal beliau.
"Kalau Pakatan memerintah negara akan jahanam hanya kenyataan ugutan bagi Umno pertahankan kuasa. Kalau BN tumbang, yang rugi Perdana Menteri, isterinya, para pemimpin Umno-BN kerana mereka tidak lagi berpeluang untuk mengaut habuan untuk kepentingan peribadi dan kroni-kroni mereka," katanya.
Mohamad Sabu yakin, rakyat negara ini cerdik dalam berpolitik, mereka akan menukar semula kepada Kerajaan Umno-BN dalam PRU-14 jika didapati Pakatan Rakyat menyelewengan dan tidak adil.
"Yang penting, kerajaan BN mesti ditukar oleh rakyat pada PRU-13 nanti. Lepas itu lihatlah hasilnya. Bukannya lama, hanya lima tahun sahaja untuk seluruh rakyat negara ini melihat hasilnya," tegas beliau.
DD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...