Isnin, Februari 11, 2013

BN Bakal Letak Calon Payung Terjun Di Wangsa Maju

Oleh Shahbudin Husin

Di antara 222 kerusi Parlimen yang menjadi rebutan antara BN dan PR dalam pilihanraya umum akan datang, Wangsa Maju dikira paling unik kerana ia bukan saja bakal menyaksikan persaingan sengit antara kedua gabungan itu tetapi juga disebabkan perebutan yang tidak sudah-sudah antara UMNO dan MCA di mana masing-masing merasakan layak bertanding di kerusi tersebut.


Oleh kerana MCA telah tewas pada pilihanraya 2008 lalu dengan kekurangan 150 undi, UMNO lantas merasakan kini giliran mereka pula untuk menebus kekalahan itu. Shafie Abdullah yang merupakan Ketua UMNO dan Pengerusi BN Wangsa Maju sedang dinobatkan sebagai calon paling layak untuk mengibarkan panji-panji kemnenangan BN di situ. Kedudukannya sebagai Setpol Najib dijadikan lagi sebagai markah tambahan yang didakwa mampu menambahkan lagi sokongan pengundi kepada BN.

MCA pula tidak mahu mengalah dan merasakan mereka wajar diberi peluang kedua. Yew Teong Look yang kalah 150 undi kepada Wee Choo Keong daripada PKR dalam pilihanraya lalu, ternyata masih bernafsu dan berkeyakinan untuk menebus semula kekalahan itu.

Dalam persaingan itu dan keghairahan masing-masing mahu menunjuk pengaruh serta kekuatan, berlakulah pemulauan, pemboikotan dan monopoli. MCA Wangsa Maju yang diketuai oleh Yew Teong Look tidak pernah menghadiri mesyuarat BN Wangsa Maju yang dipengerusikan oleh Shafie Abdullah serta memulau banyak program anjuran UMNO dan BN.

MCA dan Yew Teong Look seperti memberi isyarat bahawa jika BN memilih Shafie sebagai calon, beliau tidak mungkin menang kerana tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina.

Shafie pula yang ghairah mahu menonjolkan diri sebagai bakal calon di Wangsa Maju, langsung tidak mempedulikan adanya pemulauan dan pemboikotan daripada MCA itu dan cuba mengatur sebanyak mungkin program sampai terbabas sehingga memonopoli semua program penyampaian sumbangan RM100 kepada murid-murid sekolah baru-baru ini, sehinggakan tidak memberi peluang langsung kepada MCA atau Gerakan berbuat demikian. Oleh kerana terdapat agak ramai pengundi Cina di Wangsa Maju dan beberapa sekolah Cina juga terdapat di situ, monopoli Shafie itu telah menyinggung hati MCA.

MCA secara terus terang mengkritik monopoli yang dilakukan oleh Shafie dan dianggap tidak menghormati semangat setiakawan BN.

Sehingga ini, di mana tarikh pilihanraya hanya menunggu detik dan masanya saja, masih tidak terdapat tanda-tanda sengketa antara UMNO dan MCA akan menemui titik perdamaian di Wangsa Maju. BN Pusat juga masih tidak memberi kata putus siapa antara UMNO dan MCA yang bakal bertanding di situ. Maka, selagi itu drama ini bakal menjadi telenovela yang tidak berpenghujung.

Dalam kedudukan BN yang masih bergelut untuk mencapai kemenangan, masalah yang masih berlarutan antara UMNO dan MCA di Wangsa Maju ini sebenarnya cukup memalukan sekali. Lebih-lebih lagi ia juga melibatkan pegawai yang bekerja dengan Najib sendiri.

Sementara Najib sering melaungkan semangat 1Malaysia, mengeratkan perpaduan, memahami semangat setiakawan dan merapatkan jentera untuk menghadapi pilihanraya yang mungkin paling sengit dalam sejarah negara manakala kedudukan Najib juga tidak pasti sama ada kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau beralih ke kerusi Ketua Pembangkang, semangat itu rupa-rupanya gagal difahami oleh mereka yang dekat dan bekerja dengannya sendiri. Keghairahan menjadi calon dan bergelar YB mengatasi segala kepentingan yang lain.

Di atas kertas, selagi sengketa antara UMNO dan MCA ini gagal diselesaikan, harapan BN untuk menang di Wangsa Maju hanyalah fatamorgana saja.

Di kala persaingan antara UMNO dan MCA kekal membahang, kalangan mereka yang dekat dengan UMNO dan Najib sendiri membayangkan bahawa kerusi Wangsa Maju akan terus kekal ditandingi oleh MCA tetapi bukan Yew Teong Look calonnya. Difahamkan seorang pemimpin MCA Pusat akan diletakkan bertanding mewakili BN nanti.

Mereka berhujah bahawa jika kerusi Wangsa Maju yang selama ini milik MCA mahu diberi kepada UMNO, kerusi milik UMNO mana pula yang mahu diserahkan kepada MCA?

Lebih dari itu, dalam pilihanraya kali ini di mana sokongan pengundi Cina begitu penting untuk menjana kemenangan, Najib dikatakan tidak mungkin berani menyinggung hati MCA semata-mata untuk menyediakan laluan kepada Shafie, pegawainya sendiri. Terguris hati MCA dan pengundi Cina di Wangsa Maju, impaknya mungkin merebak ke seluruh negara dan membahayakan kedudukan BN keseluruhannya.

Tetapi terluka hati UMNO Wangsa Maju dan Shafie kerana tidak kesampaian hasrat menjadi calon, demamnya mungkin cuma sehari dua. Diberi panadol pulihlah ia.

Sebagai Pengerusi BN dan Ketua UMNO Wangsa Maju, walaupun tidak terpilih sebagai calon, Shafie tetap akan bekerja kuat memenangkan calon BN demi kelangsungan masa depan Najib dan BN sendiri.

Atas perkiraan ini, mereka yang mengenali stail politik Najib hampir mempercayai bahawa MCA akan kekal lagi bertanding di Wangsa Maju. Cuma calonnya saja yang akan ditukar. Meletakkan calon payung terjun daripada MCA bagi mewakili BN dianggap sebagai jalan tengah paling munasabah bagi meredakan sengketa daripada terus berlarutan.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan MCA Wangsa Maju dan Yew Teong Look juga tidak menolak kemungkinan itu dan berkata, perjuangan beliau di Wangsa Maju selama ini bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi kerana mempertahankan maruah MCA sebagai anggota komponen BN.

Beberapa tokoh MCA Pusat dikatakan menunjukkan minat untuk bertanding di Wangsa Maju kerana dianggap kerusi yang berpotensi untuk dimenangi walaupun menyedari bahawa PR bakal meletakkan Tan Kee Kwong, bekas timbalan menteri dan Naib Presiden Gerakan yang telah menyertai PKR, sebagai calonnya. Bagi MCA kekalahan 150 undi dalam pilihanraya lalu mampu ditebus kali ini melalui gerak kerja yang betul dan bersungguh-sungguh.

DD



1 ulasan:

  1. hahahaha!!
    yg dok cita kalut org kt Wangsa Maju bt apa??
    Datuk Shafie tu hanya penyelaras BN Wangsa Maju ja...

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...