Rabu, Februari 13, 2013

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI?

Oleh : MUTALIB M.D



KEBERANIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru di Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai Rumah Terbuka PSY, tidak ubah seperti memasuki kandang 'harimau' yang sedang lapar.

Walaupun beliau tahu bahawa Pulau Pinang dikuasai pembangkang, namun tetap bertegas untuk menghadiri majlis berkenaan sekalipun sudah pasti yakin seratus peratus akan di 'boo' kerana mana mungkin 'Harimau' mengembek seperti kambing.
Dalam keadaan penuh ghairah, rakyat Pulau Pinang (Harimau) sememangnya akan 'mengaum' apabila Najib bertanya "Are You Ready For PSY?"; sebaliknya mereka tidak akan 'mengembek' (bunyi kambing) jika ditanya "Are You Ready For BN?". Logiknya kerana 'Harimau' (hari-hari mau) tidak makan sirih!

Bagi Najib, beliau mungkin telah membuat perhitungan awal bahawa 'Boo' yang beliau bakal terima tidak boleh dijadikan 'Kayu Ukur' ataupun penanda aras politik Pulau Pinang setelah berlaku agitasi kaum, budaya dan politik sejak sekian lama.

Bak kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, jika 6 daripada 10 orang yang suka anda, maka anda sudah memperoleh markah 100 peratus!

Apatah Najib sebagai 'Pemimpin UMNO' dan manusia biasa; sedangkan sukar untuk mencari enam daripada 10 manusia di Malaysia yang benar-benar taat kepada 'Allah' atau 'Tuhan' masing-masing.
30,000 cemuhan ataupun 'Boo' daripada 100,000 orang yang hadir hanyalah 3 daripada 10 orang yang tidak menyukai BN; bermakna Najib telah mendapat markah 100 peratus; sekalipun berita Najib di 'Boo' telah diledakkan di seluruh dunia melalui media massa dan media alternatif.

Persoalannya, mampukah Kerajaan Negeri Pulau Pinang menampan serangan demi serangan BN ketika rakyatnya mula goyah dan merasa tersisih melalui tindakan tidak popular kerajaan negeri yang dikuasai DAP?

Kata pujangga untuk memenangi sesuatu peperangan itu amat mudah, tetapi untuk mempertahankan sesebuah kerajaan itu amat payah kerana musuh sering berada di dalam selimut.
Kita harap jangan nanti seperti bidalan Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai. "Adakah anda bersedia untuk kalah?"


SK



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...