Mohd Hamidi Mad Tap, 37, berkata, dia bersama dua rakannya ketika itu dalam tugasan untuk membuat pemotongan bekalan elektrik di warung berkenaan.
Sementara melaksanakan tugasan itu, dia memesan tiga jenis minuman iaitu teh ais, milo ais dan teh O, di warung tempat proses pemotongan bekalan utiliti dibuat.
“Saya ke warung itu adalah untuk memotong bekalan elektrik yang tertunggak sejak tujuh bulan lalu. Sementara menunggu urusan selesai, saya dan rakan memesan tiga jenis air untuk diminum.
“Kami hanya minum sahaja dan tidak memesan sebarang makanan, atau apa sahaja yang ‘special’ di situ. Bagaimanapun kami terkejut dengan jumlah bayaran iaitu sebanyak RM15 untuk setiap jenis air.
“Lebih menyakitkan hati saya, apabila baki sebanyak RM5 setelah saya menghulurkan wang RM50 itu dipulangkan dengan wang syiling,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Hamidi tidak menolak kemungkinan peniaga terbabit bengang dengannya yang bertindak memotong bekalan elektrik di warung tersebut.
“Apa pun alasannya, perkara ini tidak patut terjadi kerana kami juga sebagai pelanggan di warung terbabit, dan saya meminta resit bagi setiap air yang telah kami pesan.
“Saya juga memerhatikan, warung berkenaan juga tidak mempunyai papan tanda harga yang sepatutnya menjadi garis panduan buat pelanggan seperti saya ini,” katanya.
Menurut Hamidi, dia meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya menyiasat dan mengambil tindakan yang tegas.
Selain itu katanya, peniaga warung berkenaan juga hanya mengeluarkan resit biasa sahaja yang ditulis dengan tangan, selain tidak mempunyai nama atau alamat warung berkenaan.
Dakwanya lagi, jika ia benar-benar istimewa, ia perlu mempunyai resit yang dicetak menggunakan komputer, sebagaimana restoran makanan segera.
“Peniaga terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya sebagai memberi pengajaran kepadanya serta peniaga lain dan tidak melakukan kesalahan dengan menindas pelanggan lain pula,” katanya.
Sinar Harian kemudiannya, melakukan tinjauan di warung berkenaan dan cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik warung berkenaan, namun dia enggan mengulas lanjut insiden terbabit.
SH
RUANG IKLAN TEKS RM10 SEBULAN
NAK TAU CARA CAJ HANDPHONE DI MANA SAJA ANDA BERADA?
RUANG IKLAN TEKS RM10 SEBULAN
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan(Iklan Banner),RM10(Iklan Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...