Rabu, Oktober 08, 2014

KONSPIRASI SEKUTU YAHUDI?

Konspirasi ‘sekutu Yahudi’ selinap dalam PAS, kata Nik Abduh


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan lagi tentang teori konspirasi antarabangsanya yang dikatakan 'sekutu Yahudi' sudah pun menyelinap masuk parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Oktober, 2014. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengulangi pendiriannya tentang konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama dengan mengatakan wujud gerakan konspirasi "sekutu Yahudi" yang menyelinap masuk ke dalam parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, “konspirasi Yahudi” memastikan perjuangan parti tersebut dalam menegakkan syariat Islam di negara ini dilenyapkan secara langsung ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah kelak.

Anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata tanda mudah untuk memahami gerakan itu adalah apabila golongan ulama yang sudah berjaya membawa parti itu sehingga tahap sekarang dan diterima oleh rakyat Malaysia sebagai parti Islam yang progresif, tiba-tiba digugat pertembungan dalaman.



"Sama ada sedar atau tidak sedar itu yang saya tegaskan, ahli PAS mesti mempunyai kesedaran yang tinggi, kadang-kadang kita fikir ini baik, tetapi kita tidak sedar ia dirancang, seperti disebutkan (wujud) gerakan antarabangsa (konspirasi Yahudi) sekiranya dirancang dan diberi sokongan pemikiran seperti ini, jadi ia akan mengubah PAS," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini.
Nik Abduh sebelum ini mendakwa wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Hadi dan Majlis Syura Ulama PAS.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin ketika dihubungi The Malaysian Insider menepis dakwaan Nik Abduh, dan menganggapnya sebagai pandangan peribadi semata-mata.

"Bagi saya itu teori mengarut. Tidak ada konspirasi. Adakah dengan melantik Hadi sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia juga merupakan satu konspirasi antarabangsa?" kata ahli Parlimen Sepang itu.

Hanipa berkata , walaupun pihaknya mengakui sayap ulama parti itu sering menerima "serangan" dan kritikan sejak kebelakangan ini, itu tidak bermakna ia didalangi negara luar untuk menjatuhkan parti Islam itu dan negara Malaysia.

"Saya rasa kuasa besar dunia pun ada banyak benda lain hendak fikir daripada (rancang) konspirasi," katanya.

Mengulas lanjut dakwaan konspirasi terbarunya, Nik Abduh berkata hal ehwal gerakan tersebut sudah lama dibincangkan di peringkat antarabangsa kerana dunia Barat mengetahui gerakan Islam semakin berpengaruh.

Beliau berkata dunia Barat sudah lama berusaha menyekat gerakan Islam tetapi akhirnya gagal kerana umat Islam bangkit kembali.

"Jadi, caranya adalah mereka masuk ke dalam untuk mengubah pemikiran ahli gerakan Islam supaya mereka ini tidak bertembung dengan Barat.

“Dari satu sudut kelihatan bagus kerana Islam akan dilihat tidak bertembung dengan Barat, tetapi kita kena ingat itu adalah racun iaitu akan merosakkan matlamat yang Islam sendiri mahu iaitu ajaran yang dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya yang sering mendapat liputan meluas akhbar milik Umno itu.

Nik Abduh dalam artikelnya "Islam tanpa syariat" yang disiarkan Harakahdaily baru-baru ini mendakwa kuasa besar dunia yang berjaya menjatuhkan negara Islam di Timur Tengah seperti di Syria dan Mesir kini mula mensasarkan serangannya di Malaysia.

Katanya, prinsip PAS yang konsisten berjuang menegakkan agama di dalam negara merimaskan musuh Islam antarabangsa.

Keadaan itu katanya menyebabkan PAS diserang, bermula dengan melemahkan pimpinan utama, sekaligus tidak mahu PAS menjadi parti yang kuat dan mendominasi PR

"Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan Hadi dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, ya," kata anak Mursyidul Am PAS itu. – 8 Oktober, 2014.

themalaysianinsider



1 ulasan:

Sendiri mau ingat...