POKOK-POKOK HIJAU HABIS DITEBANG....
INIKAH YANG MPAJ MAHUKAN DALAM RANCANGAN PEMBANGUNANNYA?
Penduduk kecewa, tak puas hati
HIDAYAH HAIROM
30 Oktober 2014
AMPANG - Suasana kawasan kediaman bagi kira-kira 500 penduduk di Taman Pandan Indah, didakwa bakal terjejas dengan kelulusan projek pembinaan tiga blok bangunan rumah bandar yang akan menggunakan kawasan perumahan mereka.
Projek berkenaan pernah mendapat bantahan penduduk pada 2009 disebabkan isu sama namun dibatalkan pada 2011.
Bagaimanapun, tanpa sebarang perbincangan bersama penduduk, projek berkenaan telah diluluskan kembali pada Julai dengan mengguna pakai laluan perumahan sama.
Pengerusi Persatuan Penduduknya, Mahadzir Ibrahim, 45, berkata, kelulusan berkenaan dilihat membelakangkan penduduk tambahan pula ia pernah mendapat bantahan.
Menurutnya, berdasarkan syarat kelulusan, laluan perumahan berkenaan perlu dilebarkan sehingga 50 kaki, sedangkan jarak antara longkang ke longkang di lorong perumahan hanya kira-kira 35 kaki.
“Bagaimana ia boleh diluluskan? Di kawasan sungai juga zon penampan sudah tiada dan boleh menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.
“Selain itu, apabila pelebaran jalan mahu dibuat, pokok-pokok akan ditebang, akan memberi kesan persekitaran di kawasan ini,” katanya.
Tambah Mahadzir, dua laluan utama keluar ke Jalan 1/91 juga amat terhad untuk penduduk, apatah lagi apabila ia digunakan oleh lori-lori projek.
“Laluan keluar terus ke jalan utama, sekarang ini pun ada berlaku kemalangan kecil,” katanya.
Sementara itu, Abdul Samad HM Said, 55, berkata, kepadatan kawasan berkenaan kelak tidak sesuai dengan akses yang ada.
Dia yang tinggal di Jalan Pandan Indah 2 berkata, kebarangkalian untuk lori melalui lorong rumahnya adalah tinggi kerana lebih mudah keluar ke jalan utama.
“Jalan yang ada sudah sempit, dengan keadaan parkir kenderaan penduduk yang terhad. Apabila projek siap nanti juga sudah tentu ia akan menggunakan laluan sama ,”katanya.
Husni Abdul Rahman, 58, pula menyifatkan penggunaan laluan perumahan itu hanya akan mendatangkan kesan negatif kepada penduduk.
Dia yang menetap di situ sejak 20 tahun lalu khuatir perkara itu akan menjejaskan struktur rumah.
“Apabila lori lalu, akan ada gegaran. Jadi kita bimbang rumah tak mampu tampung. Ia juga akan ganggu ketenteraman penduduk ,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Renganathan, 34, pula mencadangkan agar susur khas dibina dengan disambung terus dari Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), tanpa perlu menggunakan laluan perumahan.
Katanya, perkara itu pernah dicadangkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun tiada sebarang tindakan positif sebaliknya laluan perumahan yang diluluskan.
“Sepatutnya pemaju boleh buat susur, untuk pembinaan baru tanpa libatkan penduduk di sini,” katanya.
Projek pembinaan tiga blok kediaman (rumah bandar) itu bermula pada Ogos lalu dan dijangka siap pada Ogos 2016.
Usahakan laluan alternatif
Perbincangan bersama pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pihak-pihak berkaitan akan dibuat minggu hadapan untuk cadangan laluan alternatif berhampiran Stesen LRT Pandan Indah.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau maklum berhubung rasa tidak senang penduduk kawasan itu, namun kelulusan laluan alternatif memerlukan masa.
Menurutnya, sebelum ini MPAJ telah meminta pemaju menurunkan kepadatan projek dan ia telah diturunkan daripada 14 tingkat (242 unit) ke empat tingkat (102 unit).
“Jadi perkara itu telah selesai. Namun berkaitan laluan alternatif, kita perlu minta kebenaran pihak Prasarana untuk menggunakan tanah bagi laluan lori di situ.
“Selain tanah Prasarana yang juga parkir LRT, ada penduduk lima blok perumahan pangsa dan juga kawasan perniagaan pasar. Jadi kita perlu bincang dahulu dengan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Adun Cempaka berkata, untuk sementara waktu lori projek tidak akan menggunakan laluan perumahan itu tetapi menggunakan akses bawah jejambat MRR2.
“Ada juga yang bantah projek berkenaan namun ia tidak boleh dihentikan kerana ia bukan tanah kerajaan negeri, sebaliknya adalah tanah pemaju.
Malah kedua-dua kawasan adalah tanah pembangunan, namun menjadi masalah adalah ia tidak dibangunkan serentak, membuatkan penduduk sedia ada akan terjejas,” katanya.
SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...