Ahad, Januari 12, 2020

JPJ SIASAT KEJADIAN PUKUL PENUNGGANG MOTOSIKAL YANG TULAR.



KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan berhubung video tular melalui WhatsApp yang memaparkan penunggang motosikal dipukul pegawai jabatan itu dalam kejadian yang berlaku semalam.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan di peringkat ibu Pejabat JPJ berhubung isu berkenaan.

"Pihak Pengurusan Tertinggi JPJ memandang serius isu-isu berkaitan integriti dan tidak sesekali akan berkomporomi terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati bersalah melakukan kesalahan tingkah laku.


Kata kenyataan itu lagi, tindakan tatatertib yang lebih tegas termasuk menamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati bersalah melanggar undang-undang negara dan peraturan jabatan.

Semalam, satu video berdurasi 45 saat tular melalui WhatsApp dengan memaparkan seorang penunggang motosikal berada di kawasan rumput di tepi jalan raya.

Video itu turut menunjukkan dua individu turun dari kenderaan JPJ yang melintang di tengah jalan raya berdekatan penunggang motosikal.

Dua individu itu kemudiannya menuju ke arah penunggang motosikal dan seorang daripada mereka dilihat memukul penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkannya jatuh terduduk.



Kejadian terbabit dipercayai berlaku di Jalan Sandakan-Lahad Datu.