Selasa, Disember 28, 2010

Stadium Gelora Bung Karno Tetap Jadi Venue - AFF


JAKARTA, 27 Dis (Bernama) -- Perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki di antara Malaysia dan Indonesia pada Rabu ini tetap berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di sini, selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberi 'lampu hijau' Isnin.



Keputusan itu dinyatakan Naib Presiden AFF Rafi Khyk selepas melakukan pemeriksaan ke atas stadium tersebut yang mengalami kerosakan pada rumput dan kemudahan lain, angkara sekumpulan penyokong Indonesia yang merusuh petang semalam kerana tidak mendapat tiket ke perlawanan berkenaan.



"Padang ini layak digunakan untuk pertandingan 29 Dis nanti, tetapi dalam dua hari ini masih tidak boleh digunakan untuk latihan," kata Khyk.



AFF juga memutuskan semua kemudahan termasuk pagar pemisah penonton dan ruang untuk warga media boleh digunakan.



Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Nugraha Besoes berkata usaha pemulihan stadium tersebut akan terus dijalankan dalam masa dua hari ini, terutamanya pada rumput yang kini ditanam semula.



Berikutan kejadian rusuhan itu, AFF mengancam untuk memindahkan perlawanan tersebut ke tempat neutral jika keadaan stadium tidak lagi sesuai.



Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, Malaysia menewaskan Indonesia 3-0.



-- BERNAMA



KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...