Isnin, Oktober 10, 2011
MTUC berpiket seluruh negara
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dijangka meluluskan syor agar diadakan piket di seluruh negara ekoran tindakan kerajaan meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 Khamis lalu.
“Keputusan jawatankuasa kerja (yang bermesyuarat petang Jumaat lalu) ialah mengesyorkan kepada majlis am (MTUC) membuat pertimbangan agar diadakan satu piket di seluruh.
“Terpulang kepada majlis am sama ada meluluskan syor ini... hanya satu syor ini yang dibuat untuk pertimbangan majlis am. Majlis am boleh membuat keputusan lain jika perlu dan yang sesuai,” kata seorang pemimpin kanan.
Majlis am MTUC jika meluluskan syor itu akan membuat mekanisme dan tarikh ia akan diadakan. MTUC mempunyai bahagian di setiap negeri.
Pemimpin itu yang namanya tidak mahu dipetik berkata, jawatankuasa kerja kecewa dengan pendirian kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia yang enggan bertolak ansur, sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan Akta Kerja.
Timbalan Presiden MTUC Jaafar Majid ketika dihubungi pula berkata majlis am sebagai badan tertinggi dalam MTUC akan membuat keputusan dan pendirian akhir dalam isu semasa ini.
“Terserah kepada majlis am, anggota majlis am akan memberikan keputusan mereka,” kata beliau ketika ditanya tentang opsyen yang bakal diputuskan esok.
Sumber juga memberitahu bahawa jawatankuasa kerja telah menghalusi perkembangan sepanjang minggu lalu termasuk tindakan piket yang diadakan di pekarangan Parlimen pada Isnin lalu.
“Begitu juga surat yang diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr S Subramaniam) ketika mesyuarat NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan) sebelum piket diadakan Isnin lalu,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 malam Khamis lalu setelah membahaskannya selama lima jam.
Perkembangan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan sebahagian pemimpin MTUC.
MTUC telah meminta Kementerian Sumber Manusia agar Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 ditarik balik dan ditangguhkan, serta diadakan perbincangan susulan di peringkat NLAC.
Bagaimanapun kementerian bertegas mahu meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sehingga mengejutkan sebahagian besar kepimpinan MTUC.
Kementerian Sumber Manusia berkata pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
Selain itu, kementerian juga akan mempunyai rekod komprehensif pekerja bagi memudahkan urusan pemantauan.
Bagaimanapun MTUC membantah peruntukan tersebut dan mendakwa syor tambahan yang dikemukakan juga tidak dimasukkan dalam pindaan kali ini.
Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 akan dibawa ke Dewan Negara selepas ini.
Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, namun ditarik balik pada sesi Parlimen 12 Oktober 2010 bagi mengambil kira pandangan saat akhir daripada pelbagai pihak termasuk MTUC mengenai pentakrifan subkontraktor untuk tenaga kerja kepada kontraktor bagi tenaga kerja di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.
“Kita dah bincang perkara ini sudah 18 kali, bukan sekali dua dan pandangan mereka diterima, sekarang di saat-saat akhir mereka membuat demikian (piket), tapi niat kita ialah untuk memberi perlindungan kepada pekerja bukan untuk buka ruang ‘outsourcing’ seperti yang dituduh mereka,” jelas Subramaniam di Parlimen Khamis lalu.
penangdaily
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...