Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, November 27, 2010

Maxis diminta prihatin penyebaran gambar lucah


Oleh: Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 26 Nov: Syarikat telekomunikasi negara, Maxis diminta lebih bertanggungjawab kepada orang ramai dengan melakukan pemantauan lebih rapi terhadap syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatannya untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Beberapa orang pengguna Maxis memberitahu, keprihatinan Maxis dalam perkara itu amat diperlukan oleh orang ramai berikutan terdapat syarikat-syarikat tertentu yang kini semakin giat menggunakan saluran syarikat tersebut untuk menyebarkan gambar-gambar lucah kepada para pengguna.

Bagaimanapun mereka mendakwa, mereka amat kesal kerana syarikat telekomunikasi itu seperti sengaja memejamkan mata berhubung perkara itu, dengan membiarkan syarikat-syarikat tertentu yang menjadi pelanggannya terus berbuat demikian sehingga boleh memberikan kesan amat buruk kepada orang ramai, khususnya kepada para pelanggan Maxis itu sendiri.

Seorang pengguna, Nasir Nawi yang tinggal di Bukit Sentosa 3, Rawang, Selangor memberitahu, beliau sendiri turut menjadi mangsa berhubung perkara itu, apabila turut terperangkap dengan pihak (syarikat) tertentu yang sering menghantar mesej kepadanya untuk menjadi pelanggan mereka.

Menurut beliau, seperti mesej-mesej yang dihantar kepada orang lain juga, mesej yang dihantar kepadanya itu jika mahu menjadi pelanggan kepada syarikat yang membekalkan gambar-gambar seperti itu, individu terbabit hanya perlu menghantar mesej balas dengan perkataan ‘On”.

Sekiranya telah menjadi pelanggan dan mahu berhenti dari menjadi pelanggannya, individu terbabit hanya perlu menghantar perkataan ‘Stop” kepada nombor yang telah dinyatakan menerusi mesej itu.

“Setelah acap kali menerima mesej itu, akhirnya saya mengambil keputusan untuk turut menjadi pelanggannya. Tujuan saya hanya sekadar ingin tahu apa gambar yang akan dihantar atau yang dimaksudkan itu.

“Selepas itu, saya amat terkejut apabila mendapati syarikat tersebut menghantar beberapa keping gambar wanita bertelanjang dalam pelbagai keadaan yang mengghairahkan termasuk gambar perempuan bertelanjang yang sedang mandi.

“Pada saya, cukuplah hanya sekadar mengetahui gambar itu. Selepas saya menerima beberapa keping gambar itu, dua tiga hari kemudian, saya terus menghantar mesej “Stop” kepada syarikat terbabit dengan maksud sudah tidakmahu menjadi pelanggannya lagi.

“Tempoh saya menjadi pelanggan kepada saya terbabit hanya sekitar seminggu sahaja. Dalam tempoh itu, saya juga menerima penghantaran gambar-gambar berkenaan sekitar 10 keping sahaja.

“Pada sangkaan saya, dengan itu, habislah ceritanya. Tetapi rupa-rupanya tidak. Sebaliknya, saya amat terkejut apabila mendapati bil hand phone saya untuk bulan Oktober lalu sehingga RM300.

“Memanglah bil RM300 itu bukan hanya untuk bayaran itu sahaja. Ia turut membabitkan bayaran penggunaan saya yang lain termasuk panggilan yang saya buat kepada pihak-pihak tertentu. Tetapi saya sendiri dapat kesan, penggunaan untuk panggilan dan sms yang saya buat tidaklah sehingga RM300. Paling tinggi pun RM100 lebih. Jadi maknanya selebihnya lagi sehingga RM300 itu adalah bayaran yang dicajkan untuk bayaran bagi penghantaran gambar-gambar itu.

“Dengan apa yang berlaku itu, ternyata walaupun saya dah menghantar mesej “Stop” kepada syarikat itu untuk tidak menjadi pelanggannya lagi, saya seperti tidak berbuat seperti yang diarahkan, tetapi seperti terus menjadi pelanggannya, tetapi yang peliknya dalam masa yang sama, mereka sudah tidak lagi menghantar gambar-gambar itu kepada saya. Inilah yang menjadi kemusykilan kepada saya,” katanya.

Beliau yang cukup kesal dengan kejadian itu kemudiannya terus menghubungi pihak Maxis bagi memaklumkan kejadian itu, sebaik sahaja menerima bil daripada pihak Maxis bagi bulan Oktober lalu.

Selain itu, beliau juga turut mendesak pihak Maxis agar prihatin dengan perkembangan itu, dengan melakukan pemantau lebih rapi terhadap syarikat-syarikat yang menjadi pelanggannya supaya menyekat syarikat yang menjalankan perniagaan seperti itu dari terus menjadi pelanggannya.

“Memanglah dengan apa yang berlaku itu, ternyata bukan Maxis yang menjalankan perniagaan menyebarkan gambar-gambar yang tidak senonoh itu. Memanglah syarikat lain yang menjalankannya. Tetapi mereka melakukannya dengan menggunakan saluran Maxis. Jadi pihak Maxislah yang boleh menyekatnya.

“Dengan melakukan tindakan itu, kita pun tahu, Maxis akan kehilangan sebahagian pelanggannya. Tetapi jika Maxis tidak menyekatnya, apakah Maxis tidak akan menanggung kerugian lebih besar?

“Jika pihak Maxis terus memejamkan mata dengan perkembangan itu, pasti banyak pelanggan Maxis yang akan kecewa dengan perkhidmatannya kepada orang ramai dan dengan itu, tidak mustahillah jika banyak pula pelanggan Maxis yang akan berhenti dari terus menjadi pelanggannya agar tidak menjadi mangsa,” tegasnya.

Selain itu, katanya, yang lebih parah lagi, jika perkembangan itu dibiarkan, pasti menimbulkan banyak keburukan kepada orang ramai. Penyebaran gambar-gambar seperti itu amat buruk kesannya terutama kepada kanak-kanak dan golongan remaja. Jadi, ia pasti akan turut membiakkan lagi kes-kes gejala sosial di negara kita.

“Sedangkan pengguna Maxis bukan hanya golongan dewasa yang sudah beristeri dan beranak pinak seperti saya sahaja. Sebaliknya, ia melibatkan pelbagai golongan dan usia termasuk kanak-kanak, lelaki dan perempuan. Jadi, perkara seperti itu bukanlah perkara kecil kepada masyarakat,” jelasnya.

Namun beliau amat kesal, setelah hampir sebulan beliau memaklumkan perkara itu kepada pihak Maxis, syarikat terbabit masih juga bermaharajela dengan perniagaannya itu hingga kini yang sekali gus menggambarkan pihak Maxis masih juga belum melakukan sebarang tindakan bagi menyekat perbuatan itu.

Seorang pengguna lain, Kamariah Shamsuddin dari Shah Alam, Selangor yang kini sudah bersuami dan mempunyai 4 orang anak, mengakui turut menerima mesej dari syarikat terbabit berkali-kali dengan menawarkan kepada beliau menjadi pelanggannya untuk mendapatkan gambar-gambar lucah.

Namun, beliau tidak pernah melayannya. Sebaliknya, beliau terus delate mesej terbabit setiap kali menerimanya. Tetapi tindakan syarikat terbabit yang menawarkan perkhidmatan seperti itu kepada orang ramai amat dikesalinya.

Beliau berharap agar pihak Maxis tidak lagi memberikan laluan kepada syarikat terbabit kerana ia bukan sahaja boleh merosakkan akhlak dan moral orang ramai terutama pengguna-pengguna Maxis, tetapi juga diyakini turut mempunyai unsur-unsur penipuan kepada orang ramai untuk mengaut keuntungan dengan cara haram.

Manakala beberapa orang pengguna Maxis lain turut sependapat dengan beliau. Mereka berharap agar pihak Maxis dapat melakukan sesuatu tindakanyang berkesan bagi kepentingan akhlak dan moral orang ramai dengan tidak bersekongkol dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak terbabit.

HD

1 ulasan:

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive