Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Selasa, Februari 23, 2010

Salam Maulidur Rasul



Oleh Wan Hamidi Hamid

Empat negeri dilaporkan akan menyambut Maulidur Rasul pada Jumaat ini tanpa mengadakan perarakan sebagaimana yang biasa dianjurkan di kebanyakan negeri lain. Sambutan di negeri-negeri berkenaan akan ditumpukan kepada kuliah dan ceramah agama serta zikir dan berzanji.

Tidak tedengar pula bantahan atau kecaman dari mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri atau Menteri Besar Johor, Pahang dan Perlis yang ditadbir oleh Umno.

Sebaliknya, Kelantan yang dipimpin Pas teruk diseranah Umno dan kumpulan-kumpulan penyokongnya kerana negeri itu akan menyambut Maulidur Rasul dengan syarahan agama dan solat khas di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam Jumaat ini tanpa sebarang perarakan.

Begitu juga kata-kata “anti-Islam”, “cauvinis”, “tidak pedulikan sensitiviti Islam”, “menafikan Islam”, “meniru Singapura” dan “penghinaan besar kepada umat Islam” telah dilemparkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dituduh mahu membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mempertikaikan kewibawaan kerajaan negeri Pulau Pinang apabila merpersoalkan: “Saya mahu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang khususnya Guan Eng. Adakah dia mahu menunjukkan satu sikap baru bahawa dia tidak lagi bersama mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam di negeri berkenaan?”

Kecaman Muhyiddin terhadap Guan Eng dibuatnya berdasarkan laporan tidak lengkap yang berbau fitnah yang telah disebarkan oleh kumpulan-kumpulan pro-Umno termasuk Utusan Malaysia.

Telah dijelaskan bahawa isu “pembatalan” perarakan itu timbul apabila salah satu dari beberapa kertas cadangan awal yang sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Negeri baru-baru ini telah tersebar kepada umum. Sedangkan keputusan muktamadnya ialah menganjurkan perarakan di samping beberapa acara lain selama tiga hari berturut-turut.

Pada Khamis malam Jumaat ini, majlis bacaan Yasin dan tahlil akan berkumandang di semua masjid di seluruh Pulau Pinang. Pada pagi Jumaat pula, satu perarakan Maulidur Rasul pimpinan Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman akan diadakan di mana kemuncaknya ialah perhimpunan ummah di Dewan Sri Pinang.

Pada Sabtu dan Ahad ini, umat Islam dijemput menyertai majlis bacaan Kitab Sirah Rasulullah SAW di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Kassim dilaporkan berkata kerajaan negeri turut menganjurkan pameran Tamadun Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Mufti Pulau Pinang di ruang legar Dewan Sri Pinang.

Dalam pada itu, apabila Guan Eng menjemput Muhyiddin dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku bekas Perdana Menteri yang turut mengkritik “pembatalan” perarakan itu untuk menyertainya Jumaat ini, kenyataannya itu tidak pula diberikan liputan meluas dalam media arus perdana.

Guan Eng turut dipetik oleh media alternatif sebagai berkata: “Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu.”

Difahamkan pada tahun-tahun 2003, 2004 dan 2005, tiada perarakan rasmi Maulidur Rasul dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Sebaliknya hari kesyukuran itu diisi dengan program-program agama yang diadakan dalam premis dewan-dewan sekolah dan dewan orang ramai.

Abdullah Badawi pun lupa agaknya tentang sambutan tanpa perarakan itu di negeri kelahirannya kerana sibuk dengan tugas-tugas sebagai Perdana Menteri, walau pun Maulidur Rasul pada masa itu disambut di sekitar Seberang Prai, tidak jauh dari kawasan Parlimen Kepala Batas.

Pada masa itu tidak pula timbul soal Umno dan Gerakan yang menerajui Pulau Pinang menghina Islam atau berfikiran sempit kerana tidak menganjurkan perarakan.

Semua ini telah terdedah di merata pelusuk alam maya. Banyak blog telah mengemuka dan menyebarkan butir-butir tentang perkara ini sejak seminggu yang lalu walau pun media arus perdana tidak mempedulikan fakta-fakta yang ada.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh portal berita internet, pimpinan jabatan dan hal-ehwal Islam di Johor, Pahang dan Perlis menyatakan bahawa perarakan Maulidur Rasul tidak perlu diadakan kerana ia lebih afdal disambut melalui ceramah agama, majlis berzanji dan aktiviti lain yang dianggap lebih bermanfaat.

Memang tidak manis, malah biadap jika ada mana-mana pihak mahu menuduh kerajaan negeri Johor, Pahang dan Perlis sebagai “anti-Islam”, “cauvinis”, “tidak pedulikan sensitiviti Islam”, “menafikan Islam”, “meniru Singapura” dan “penghinaan besar kepada umat Islam” kerana tidak akan menganjurkan perarakan hari kesyukuran itu.

Cuma kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan serta badan-badan hal-ehwal Islam negeri berkenaan perlu banyak bersabar dan beristiqamah dengan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka berhubung isu sambutan Maulidur Rasul tahun ini.M/I

detikdaily





KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive