“Kapal terbang tersebut ditembak jatuh. Ada yang menyatakan ia satu kemalangan, tapi saya tidak mempercayainya. Kapal terbang itu ditembak dengan pengetahuan sepenuhnya apa yang dilakukan,” kata Clark dalam satu temu bual bersama wartawan Andreas Spaeth yang diterbitkan di Sydney Morning Herald.
“Pihak Belanda menyatakan bahawa insiden ini adalah satu tindakan jenayah dan pelakunya perlu dibicarakan di mahkamah antarabangsa.
"Ia memang jenayah. Saya menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai yang dirancang dan dalang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.”
Tambahnya, kejadian MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai lalu menjadi satu ‘game changer’ kepada industri penerbangan di mana perlu ada perkongsian maklumat yang lebih baik supaya syarikat penerbangan boleh memilih laluan penerbangan yang selamat.
“Komuniti syarikat penerbangan kadang-kadang perlu melalui zon-zon konflik dan ada yang terus mengelakkan kawasan tersebut. Setakat ini, kami telah hentikan penerbangan ke Erbil, Damsyik dan Tripoli.
"Terbaru kami hentikan penerbangan ke Sana’a dan kami masih menimbangkan kemungkinan penghentian penerbangan ke atas Peshawar, Pakistan juga.
"Pengurusan penerbangan perlu mengimbangi perkara sebegini sepanjang masa. Jadi, kerja ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika kami mendapat lebih maklumat.”
Emirates telah menghentikan penerbangan menerusi ruang udara Iraq semenjak kejadian MH17.
Keputusan itu, kata Clark, dibuat bukan berdasarkan maklumat yang kukuh tetapi berdasarkan pengurusan ‘penimbangan risiko’.
“Kami mengambil keputusan untuk tidak terbang di atas ruang udara Iraq. Orang ramai bertanyakan sama ada kami mendapat maklumat. Saya sebenarnya tidak mendapat apa-apa. Langkah itu berdasarkan penimbangan risiko.”
Walaupun terdapat agensi yang bertanggungjawab untuk mengawal selia penerbangan awam seperti Persekutuan Pentadbiran Penerbangan (FAA) Amerika Syarikat dan Eurocontrol, Clark menggesa agar agensi-agensi kawalan trafik udara dan kerajaan tempatan lebih berkesan dalam menyalurkan maklumat supaya syarikat penerbangan dan negara-negara dapat membuat penimbangan risiko dengan lebih baik untuk mengelakkan insiden MH17 daripada berulang.
“Syarikat penerbangan tidak membuat segala keputusan. Kami selalunya mengadakan dialog bersama agensi penyeliaan penerbangan awam dan pihak-pihak lain. Walaupun demikian, syarikat penerbangan kadang-kadang mendapat lebih maklumat daripada agensi penyeliaan penerbangan awam.”
Emirates, tambahnya, tidak mendapat maklumat mengenai potensi bahaya mengenai wilayah bergolak timur Ukraine ketika kejadian MH17.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan kita perlu mempunyai bertanyakan sama ada kita pasti bahawa kerajaan Ukraine mempunyai kawalan ke atas ruang udara yang kami lalui. Adakah kita pasti tidak akan diserang?”
“Walaupun mereka berkata penerbangan melalui di atas laluan yang dibenarkan, tapi kita perlu pastikan kami tidak meletak penumpang, kru dan pesawat dalam risiko.”
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pesawat Boeing 777 yang ditembak jatuh itu terbang di laluan yang dibenarkan.
"MH17 tidak pernah tersasar daripada laluan. Ia mengikut arahan menara kawalan trafik dan sebelum ini ruang udara tersebut adalah dibenarkan mengikut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa," kata Liow.
Sementara itu, apabila ditanya tentang ‘survival’ MAS, Clark berkata setakat ini tiada syarikat penerbangan yang mendepani dua tragedi berturut-turut dalam tempoh beberapa bulan.
MAS, katanya, mungkin perlu menilai semula modal perniagaan mereka dan mempertimbang untuk menjenamakan semula syarikat.
“Malaysia Airlines melambangkan jenama Malaysia. Ia merupakan duta perniagaan (Malaysia). Sememangnya amat sukar untuk mendepani stigma. MAS perlu menilai semula modal perniagaan dan penjenamaan semula.”
“Industri penerbangan tidak harus duduk dan melihat (MAS) ‘hilang’ berikutan dua insiden tersebut. Kami perlu cuba menolong mereka mendepani masalah-masalah yang dihadapi.”
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.
astroawani
Dapat 14,000 berkali-kali,di lubuk rahsia EMGOLDEX! klik sini