Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Ahad, Oktober 31, 2010

Nafsu terbantut


PETALING JAYA – Demi nafsu, seorang pemandu lori sanggup menempuh perjalanan yang jauh dari Gerik Perak, semata-mata mahu memadu asrama bersama kekasih tercinta yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Shah Alam.

Walau bagaimanapun, hasrat itu terbantut apabila bilik hotel mereka diserbu sepasukan pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di PJS 8, semalam.

Terdahulu penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum pasangan terbabit membuka pintu.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan yang sah dan dikenakan tindakan kerana disyaki berkhalwat.

Ketika disoal siasat gadis berkenaan memberi alasan mahu berehat selepas sehari suntuk berjalan sebelum dihantar pulang oleh kekasihnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais Mohd Haffizi Mohd Roslan berkata, kedua-dua pasangan ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya pasangan itu akan menjalani tempoh jaminan dan ibu bapa mereka akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

“Mereka akan dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 (1) Enakmen jenayah syariah Selangor 9/95 kerana berdua-duaan tanpa ikatan sah.

Dalam serbuan lain di lokasi yang sama tiga lelaki dan enam wanita Islam berusia awal 20-an ditahan ketika bersukaria di sebuah kelab malam.

“Ketiga-tiga lelaki dikenakan kerana didapati minum minuman keras manakala wanita dikenakan tindakan kerana berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata.

Katanya, kedua-dua wanita terbabit ditahan untuk diambil butiran diri dan akan dipanggil semula untuk sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pihak Jais.

Tindakan diambil di bawah Seksyen 18 dan Sekysen 10 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM 3000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SH

PAS: Kami bukan mungkir janji, tapi memang ‘ditendang’ BN keluar

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


GUA MUSANG, 31 Okt — Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Halim Abdul Rahman menegaskan, parti itu “ditendang” keluar dari Barisan Nasional (BN) penghujung 1970-an selepas tidak mendapat kata sepakat dalam beberapa perkara termasuk tidak bersetuju dengan perintah darurat dikeluarkan ketika itu.

Justeru Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu mempertahankan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan Pengerusi Majlis Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Isohak sebagai “buta sejarah.”

“Memang PAS ditendang, jadi betul apa yang Datuk Nik Aziz katakan. Dulu PAS memang bekerjasama dengan Umno semasa bergabung dalam BN.

“Tapi ada beberapa perkara yang kita tidak setuju semasa berada dalam BN terutamanya ketika BN mengumumkan darurat di Kelantan ketika itu.

“PAS tidak setuju, kita menentang rancangan itu, sebab itu kita ditendang keluar dari BN. “Saya rasa orang yang bercakap PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno ketika itu tidak tahu sejarah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Rozali menyangkal kenyataan Nik Aziz bahawa PAS telah “ditendang” keluar dari BN sekitar 1970-an dan bukannya PAS yang tidak mahu berkerjasama dengan Umno ketika itu.

Beliau berkata sebenarnya PAS mungkir dengan janjinya untuk tidak menubuhkan cawangan mereka di kawasan yang dikuasai oleh Umno semasa bergabung dalam BN.

“PAS juga berbalah sesama sendiri, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Mageran iaitu Majlis Keselamatan Negara di Kelantan dan dengan keadaan itu menyebabkan pemimpin Umno merasai PAS tidak perlu bersama BN lagi,” katanya.

Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang dari satu aspek menyebut bahawa parti itu telah ditendang dari BN pada tahun 70-an selepas dipelawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bukannya PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Nik Aziz dalam ulasannya seperti yang tersiar dalam laman portal Harakah Daily yang diberi tajuk “Fatwa `Ikut Suka PAS’’: Umno Keliru dan Terus Keliru” yang antara lain menyebut bahawa PAS dengan ikhlas menyambut ajakan masuk bergabung ke dalam BN oleh Tun Razak pada 1973 yang kemudiannya menjadi perangkap bagi PAS.

PAS, katanya, bergabung dengan Umno membentuk BN demi perpaduan, namun hasilnya PAS khususnya di Kelantan berpecah kepada empat iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS menurut Menteri Besar Kelantan itu hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut dan seterusnya membawa kepada peristiwa PAS ditendang daripada BN dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.

Tambah Halim, PAS tidak mungkir janji kepada BN ketika itu dan menegaskan, parti Islam itu tetap akan keluar kerana sudah tidak mempunyai kesefahaman lagi.

“Kalau tidak ditendang pun kita memang akan keluar dari BN kerana sudah tidak tahan lagi berada dalam BN.

“Kita sudah perit dengan BN,” kata beliau mengulas isu ini yang muncul semula ketika berlangsungnya pilihan raya kecil kerusi DUN Galas sekarang.

Kempen pilihan raya bermula Selasa lalu dan pengundian dijadualkan 4 November ini. Isu ini timbul ketika ada pandangan supaya PAS dan Umno mengadakan semula perpaduan politik.

Bagaimanapun Nik Aziz menegaskan kemungkinan itu tidak boleh menjadi kenyataan berdasarkan pengalaman tahun 1970-an.

TMI

Bekas calon BN maki hamun Tok Guru

(GAMBAR: Mohd Nor Idris memaki rombongan MB Kelantan di rumah bekas Adun Galas)

(Gambar: Bekas Adun Galas, Haji Omar (baju batek biru) menyambut Nik Aziz dan rombongan dengan mesra tetapi Mohd Nor yang ada di situ memaki orang)



GUA MUSANG, 30 Okt: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Nor Idris memaki hamun Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Mohamad, sebentar tadi.

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarah bekas wakil rakyat Dun Galas dari Semangat 46 di Kampung RPT Sungai Terah selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Gua Musang.

Rombongan Menteri Besar yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sebaik sahaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz tiba, Haji Omar yang berada di dalam rumah keluar menyambut mesra kehadiran Menteri Besar dan rombongannya.

Kemudian tuan rumah mempersilakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masuk dan diikuti anggota rombongan. Bagaimanapun ketika tiba di ruang tamu Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya enggan bersalam dengan Menteri Besar.

Sebaliknya beliau terus menengking dengan mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.
“Ana tidak mahu bersalam dengan anta selagi PAS berkawan dengan DAP,” kata Nor dengan suara nyaring.

Dengan suara yang keras dengan dilaungkan sekuat hati beliau mengajak Mursyidul Am PAS berdebat.

Ekoran itu Mohd Amar cuba menenangkan keadaan dan meminta Ustaz Nor bertenang, namun pada awalnya beliau enggan dan terus menegangkan urat lehernya.

Beliau yang memakai baju kameja biru tertera gambar 1Malaysia enggan mendengar nasihat anggota Exco terbabit sehingga menyebabkan anggota rombongan lain cuba menangkan keadaan.

Sebagai tetamu kita hendaklah menghormat tuan rumah. Kita sama-sama tetamu. Saya datang bukan hendak berbahas dengan sesiapa cuma hendak menziarahi tuan rumah,” kata Menteri Besar.

Ustaz Nor terus menengking dengan mengatakan semuanya hendak berpolitik.
Ketika tuan rumah mengangkat air, Menteri Besar meminta Ustaz Nor minum air dahulu bagi menyejukkan emosinya.

Haji Omar hanya memerhati telatah Ustaz Nor yang dianggap boleh mencemarkan imejnya sebagai tuan rumah kerana menengking Menteri Besar yang datang ke rumahnya.

Beliau merupakan bekas Adun Semangat 46 Dun Galas dua penggal pada 1990 dan 1995. Bagaimanapun kerusi itu dirampas semula BN pada pilihan raya 1999 dan 2004 melalui Mohd Saufi Deraman.

Ustaz Nor pernah bertanding di kerusi parlimen Pengkalan Chepa menentang Mohd Amar.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui kemudian melahirkan rasa di atas sikap pemimpin Umno terbabit yang langsung tidak menghormati tetamu yang berkunjung.

“Beliau bukannya tuan rumah untuk menengking tetamu yang datang. Tuan rumah tidak ada masalah cuma Ustaz Nor yang tidak ada kaitan dengan tuan rumah tiba-tiba tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Seorang pegawai Yik menyifatkan orang yang waras tidak mungkin menengking orang lain tak tentu pasal.

Aksiden yang berlaku itu menambah lagi koleksi ketempangan kempen Umno. Ia secara langsung mencemarkan moral Umno yang masih terkial-kial mencari arah.

-harakahdaily




Nampak kepala rakan tercabut di hadapan mata


BENTONG – Nasib tidak menyebelahi 44 belia dari Persatuan Belia 4B Kampung Baru,Siong, Baling apabila terlibat dalam kemalangan yang berlaku lewat petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur apabila rombongan terbabit bersama seorang pemandu bas dan pemandu kedua dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin.

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak.

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur.

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain.

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya.

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan.

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata.

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku.

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands.

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih.

Saiful yang cedera di bahagian kaki berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di Baling.

SH


Lawak Ahad: LAWAN



Murid : Selamat pagi, Cikgu.
Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?
Murid : Selamat pagi, petang dan malam Cikgu!
Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna.Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.
Murid : Selamat sejahtera Cikgu!
Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini Cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila Cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?

Murid : Faham, Cikgu!
Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid : (senyap)
Cikgu : Pandai!
Murid : Bo-doh!
Cikgu : Tinggi!
Murid : Rendah!
Cikgu : Jauh!
Murid : Dekat!
Cikgu : Keadilan!
Murid : UMNO!
Cikgu : Kelantan
Cikgu : Negeri Sembilan
Cikgu : Salah!
Murid : Betul!
Cikgu : Bo-doh!
Murid : Pandai!
Cikgu : Bukan!
Murid : Ya!
Cikgu : Oh Tuhan!
Murid : Oh Hamba!
Cikgu : Dengar ini!
Murid : Dengar itu!
Cikgu : Diam!
Murid : Bising!
Cikgu : Itu bukan pertanyaan, bo-doh!
Murid : Ini ialah jawapan, pandai!
Cikgu : Mati aku!
Murid : Hidup kami!
Cikgu : Rotan baru tau!
Murid : Akar lama tak tau!
Cikgu : Malas aku ajar kamu!
Murid : Rajin kami belajar Cikgu!
Cikgu : Kamu gila!
Murid : Kami siuman!
Cikgu : Cukup! Cukup!
Murid : Kurang! Kurang!
Cikgu : Sudah! Sudah!
Murid : Belum! Belum!
Cikgu : Mengapa kamu semua bo-doh sangat?
Murid : Sebab saya seorang pandai!
Cikgu : Oh! Melawan!
Murid : Oh! Mengalah!
Cikgu : Kurang ajar!
Murid : Cukup ajar!
Cikgu : Habis aku!
Murid : Kekal kami!
Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!
Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!
Cikgu : Sudah, bo-doh!
Murid : Belum, pandai!
Cikgu : Berdiri!
Murid : Duduk!
Cikgu : Saya kata UMNO salah!
Murid : Kami dengar KeADILan betul!
Cikgu : Bengap kamu ni!
Murid : Cerdik kami tu!
Cikgu : Rosak!
Murid : Baik!
Cikgu : Kamu semua ditahan tengah hari ini!
Murid : Dilepaskan tengah malam itu!
Cikgu : (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar.)


7 dikebumikan dalam satu liang lahad.

Kesemua tujuh yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di KM38 Genting Sempah dekat sini malam tadi telah dibawa pulang ke kampung masing-masing di Baling, Kedah pagi ini.

Mereka terdiri daripada ketua rombongan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, yang merupakan seorang guru agama, yang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang semalam.

Sementara enam lagi terdiri daripada Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13, Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14, Mohamad Yussof Akhil, 16, Mohamed Firdaus Rosedi, 16, Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Mohd Ridzuan Husin, 17 yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut jurucakap Hospital Sungai Buloh jenazah kesemua mereka telah dituntut oleh keluarga masing-masing pada pukul 7.45 pagi tadi untuk dibawa pulang ke Baling dengan tujuh kereta jenazah.

Kesemua mereka terdiri daripada 44 anggota rombongan belia Kampung Baru Siong, Baling, Kedah yang dalam acara lawatan ke Genting Highlands sejak Khamis lepas.

Di Baling, kesemua tujuh jenazah selamat diturunkan ke dalam satu liang lahad sebaik tiba dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru Siong di sini petang ini.


Tragedi bas pelancongan: JPJ sahkan pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu

KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

"Pemandu bas itu sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Husin berkata, pemandu itu yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu itu mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan berkenaan.

"Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar," katanya.

Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada 7.50 malam tadi.

Bas itut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.

Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada jam 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada 8 pagi semalam.

Pada 7 malam tadi, rombongan itu bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.-Bernama

Gambar ehsan Bernama.











greenboc

Sabtu, Oktober 30, 2010

Kelantan Juara Piala Malaysia



KUALA LUMPUR 30/10/10:
Dendam perlawanan akhir tahun lepas akhirnya terbalas malam ini.Kelantan menewaskan juara bertahan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan Akhir Piala Malaysia edisi 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Gol-gol dijaringkan oleh:

NEGERI SEMBILAN
Minit 14: Shahurain Abu Samah (Penalti)

KELANTAN
Minit 57: Hairuddin omar
Minit 65: Mohd Badri Radzi


Tahniah kepada skuad Kelantan yang berjaya menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama.Ini merupakan hadiah buat seluruh rakyat Kelantan.

Kepada pemain dan penyokong Negeri Sembilan,syabas dan cuba lagi di musim depan.

Terima kasih juga kepada semua pengunjung blog ini yang mendapatkan kemaskini keputusan setiap perlawanan TM Liga Malaysia musim ini.Jumpa lagi di musim depan.
Insya-Allah.

Majulah Sukan Untuk Malaysia

Live: Final Piala Malaysia


KELANTAN VS NEGERI SEMBILAN
30 OKTOBER 2010 8:45 PM
DARI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL

LIVE RTM TV1



Nak makan daging Kijang atau Rusa malam ni?



Pertarungan merebut Piala Malaysia bakal berlangsung malam ini.Lagi sekali pertembungan antara Kelantan dan Negeri Sembilan.Ibarat ulangan perlawanan akhir 2009.

Kelantan yang dikenali sebagai skuad kijang,manakala lawan yang bakal digomonya pula digelar skuad rusa.Sama cantik sama padan pertemuan ini,bagai sirih pulang ke gagang,bagai sms pulang ke handphone.

Antara kijang dan rusa,yang mana bakal rebah dan dikorbankan malam ini? Jika yang kalah akan dijadikan gulai,semestinya ribuan penonton menanti penuh debar samada mereka akan merasa gulai daging kijang atau rusa pada malam ini.Kedua-duanya sedap dan menyelerakan.

Undian blog ini menunjukkan kijang menjadi pilihan untuk menang berdasarkan pungutan undi 78% memilih Kelantan.Namun bagi penulis pula,skuad yang diramalkan kalah pada malam ini ialah kijang.Bukan kerana penulis seorang penyokong skuad rusa dan bukan juga kerana daging kijang lebih sedap daripada rusa tetapi berdasarkan rekod perlawanan samada dalam liga ataupun sepanjang peringkat awal Piala Malaysia.Skuad rusa lebih konsisten.Selain dari itu,rusa juga mempunyai tanduk yang berbisa berbanding kijang. kehkehkeh!!!Namun untuk merealisasikan ramalan ini rusa harus sentiasa berwaspada kerana kijang mempunyai otak yang cerdik dan mampu mengelak daripada digulai.


Penyokong pasukan masing-masing sudah memenuhi perkarangan Stadium Bukit Jalil sejak awal pagi tadi.

WAYANG KULIT DI GALAS,OPERA CINA DI BATU SAPI





Hari ini hari ketiga kempen di Galas dan Batu Sapi.Setakat ini,kempen di Batu Sapi masih belum panas.Tapi bahang kepanasannya sudah ada terutama apabila ada ketua-ketua kampung yang cuba menghalang petugas Pakatan Rakyat berkempen di kampung-kampung.Selain itu,cabaran debat yang dikemukakan Ansari bersama dua lagi calon bakal mewarnai cerita di Batu Sapi.Pun begitu,Yong Teck Lee calon SAPP lebih gemar debat antara Anwar,Musa Aman dan beliau.Seterusnya,drama tidak diduga Ansari yang jatuh ke dalam air akibat jeti roboh sedikit sebanyak membawa ole-ole khabar dari Batu Sapi untuk diceritakan kepada kita di semenanjung.



Apapun,Batu Sapi sebenarnya membawa pertembungan unik antara dua nama besar di Sabah,Yong dan Ansari.Siapa tidak kenal Ansari di Sabah?Kalau di Semenanjung,tarafnya seperti Karpal Singh.Malah,penulis merasakan bahawa calon BN,Datin Linda dilihat menjadi calon "underdog".Tatkala PKR boleh menampilkan hampir tujuh nama sebagai calon,BN-PBS seolah ketandusan calon dengan mengambil balu mendiang Batu Sapi yang masih berkabung.Malah,jika hendak dibandingkan soal kelayakan akademik,calon BN adalah graduan dalam bidang muzik.Adakah sudah tidak ada calon BN lainkah yang layak di Sabah?



+  +  +



WAYANG KULIT DI GALAS



Suasana pilihanraya kecil Galas adalah lebih hangat jika hendak dibandingkan dengan Batu Sapi.Hal ini kerana pertembungan Pas-UMNO sememangnya sebuah pertembungan tradisi yang menarik perhatian.Tatkala tempoh berkempen mula masuk hari ketiga,sketsa wayang kulit mula dimainkan di Galas.


Kebiasaannya,dalam cerita wayang kulit ini,pasti ada irama dan dalangnya.Namun siapa yang menjadi Tok Dalangnya itu,tidak pula penulis ketahui.Alkisah cerita wayang ini bermula dengan kisah calon Pas,Dr.Zulkefli ditangkap khalwat bersama isterinya,Ramelah Mat Jusoh puluhan tahun lalu.Tapi mungkin kerana dalangnya sudah nyanyuk,terbongkar juga cerita rekaannya apabila dia tersalah tulis nama isteri Dr.Zul di mana nama sebenarnya adalah Zainab Jalar.Nampak gayanya Dr.Zul ini telah berkhalwat bersama ibu beliau sendiri.Inilah fitnah ter"kurang cerdik" yang penulis pernah dengar sepanjang hidup penulis.





Adakah wanita bertudung labuh sebegini

kita mahu tuduh berkhalwat?masyaallah...





Gaya hidup sederhana Dr.Zul.Bagaimana agaknya

rumah Aziz Limau?


Setelah fitnah itu reda sedikit,calon UMNO pun diumumkan.Namanya Abdul Aziz Yusof@Aziz Limau.Dalam mereka sibuk memburukkan wibawa calon Pas,calon mereka sendiri sudah rendah wibawanya.Rupa-rupanya beliau cuma ada sijil SPM,Sijil Penjihad Melayu.Ingatkah lagi kita kisah di Manek Urai dahulu?Calon Pas Abang Uji dihina dan diejek-ejek sebagai peraih ikan,tidak mampu menjadi wakil rakyat.Kini,ejekan mereka sudah kena ke batang hidung mereka sendiri.Adakah UMNO kata layak seorang pemegang sijil SPM menjadi ADUN sekiranya kelayakan ikhtisas menjadi sandaran UMNO selama ini?Bagi menutup kelemahan tersebut,mereka cuba menutup kelemahan tersebut dengan membawa imej Aziz Limau sebagai seorang yang dekat dengan rakyat.Tetapi,bagi penulis,ianya bukan satu kelebihan buat beliau kerana kalau hendak diikutkan,Dr.Zulkifli lebih dekat dengan rakyat.Kliniknya di Chiku sentiasa terbuka dan beliau secara tidak langsung lebih kerap bertemu penduduk di Galas berbanding Aziz Limau yang bekerja di dalam pejabat KESEDAR.


Oleh itu,UMNO telah mencari jalan lain untuk memburukkan calon Pas.Terbaru,beliau diejek sebagai gemuk dan obes.Tindakan calon UMNO itu sendiri seperti seorang budak sekolah yang mengejek bentuk fizikal dan nama ayah,langsung tidak menunjukkan kematangan.Adakah beliau ini layak menjadi seorang Adun dengan  mentaliti SPM sebegitu berbanding Dr.Zul pelajar lepasan Universiti Malaya?Sekurang-kurang Abe Uji peraih ikan pun,beliau memiliki ilmu agama,dan Aziz Limau ini,apa kelebihan ilmunya?Perkara ini sepatutnya perlu diperhatikan oleh pengundi di Galas dalam memilih calon terbaik selepas ini.


Semua orang tahu bahawa UMNO Gua Musang berkrisis dalam memilih calon.Aziz Limau adalah bayangan Ku Li di Galas.Bagi menutup kelemahan mereka di sana,maka sebab itulah mereka cuba menyerang Pas.Terbaru,isu bunting yang memburukkan Pas dan DAP yang ditulis sebagai kafir harbi di mana mempersoal kerjasama Pas dengan DAP yang dituduh anti Islam.Tiada pihak yang bertanggungjawab atas bunting tersebut seperti yang dipersyaratkan SPR dalam kempen pilihanraya,namun penulis blog UMNO sendiri mengatakan bahawa ianya ditulis oleh UMNO Selangor.Nampaknya,adalah tidak benar sama sekali hasrat Ku Li yang mengatakan bahawa pertandingan di Galas bersikap setempat di mana isu nasional turut dibawa bersama.Inilah apa yang dikatakan sebagai mengata dulang paku serpih,mengata orang dia yang lebih.




Ketika penamaan calon baru-baru ini,Ku Li dikatakan hilang ketika pengumuman calon dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya.Ketiadaan beliau menimbulkan desas-desus bahawa Ku Li mungkin tidak merestui Aziz Limau tetapi beliau kemudiannya menafikannya.Penulis juga tidak bersetuju dakwaan tersebut.Mana mungkin Ku Li hendak memboikot orang kuat beliau sendiri.Ingat Setiausaha Bahagian adalah lantikan Ketua Bahagian,dan kita perlu ingat Aziz adalah setiausaha dan Ku Li adalah ketua.Sudah tentu Aziz akan bersetia dan berusaha kepada Ku Li.Malah,penulis berani kerat kuku jari sekiranya Ku Li akan kekal menjadi pengarah pilihanraya jika Aziz Limau tidak bertanding.Perletakan Aziz sebenarnya mencerminkan sikap Ku Li yang takut untuk bertanding.Beliau takut tewas.Oleh itu,untuk mengambil jalan selamat,beliau meletakkan ayam sabungnya di Galas.Mengenai dakwaan Ku Li menghilang,penulis rasa bukan soal merajuk tetapi meluat dengan Tok Empat UMNO,Mustapha Mohamad yang hipokrit di Kelantan.Malah,kita semua tahu bagaimana Ku Li dan Mustapha adalah dingin termasuk dalam soal isu royalti di Kelantan.Malah,bagi Mustapha,Ku Li adalah musuh politik beliau.Hal ini kerana,jika Ku Li menguasai UMNO Kelantan,Mustapa sudah lama ditendang keluar.





Para Puteri UMNO bakal keluar parti dan

tidak menyokong Aziz Limau.Mereka tidak mahu UMNO,

mereka mahukan parti Ku Li.Parti Ku Li

bukankah SEMANGAT 46?







Pergolakan UMNO di Galas bermula seawal perlantikan Ku Li sebagai pengarah pilihanraya.Muhyiddin Yassin sudah cuci tangan dalam PRK Galas di mana sekiranya UMNO tewas,nama Ku Li yang bakal buruk, bukannya namanya.Malah,semasa penamaan calon tempoh hari,Muhyiddin lebih rela mengiringi calon PBS di Batu Sapi daripada mengiringi Aziz Limau walhal yang bertanding di Galas adalah parti beliau sendiri iaitu UMNO.Malikul sembab ini Timbalan Presiden UMNO atau PBS?Itu perlu pencerahan.


SKETSA MEE SEGERA 1 GALAS


UMNO kata tiada projek mee segera,tiada projek jambatan di Galas. Kalau ada itu kebetulan.Projek telah lama diluluskan,cuma tunggu Allahyarham Che Hashim meninggal baru diumumkan.Hari ini projek masih dan sedang ditawar menawar.Setakat ini projek rumah rakyat dan Kampung Wifi sudah diluluskan.Ini belum dikira projek semerta yang lain.Sekarang,para pemuda Galas bersungut kurang tempat untuk beriadah.Tunggulah empat lima hari lagi,adalah nanti kampit-kampit simen dan pasir di padang untuk dibuat gelanggang futsal.Ternyata Ku Li sudah dikencing-kencing oleh UMNO sendiri.Signal beliau supaya ditiadakan projek segera dihina-hina semula oleh pemimpin UMNO.Mungkin bagi UMNO,strategi Ku Li itu mahu melingkupkan peluang mereka di Galas sahaja.






Selain isu pembangunan mee segera,isu-isu menyerang Pas mula dimainkan.Isunya adalah mengenai Projek Ladang Rakyat di mana kerajaan Kelantan didakwa merampas tanah penduduk dan diberikan kepada syarikat swasta.Malah,mereka sanggup mengaibkan Allayarham Chek Hashim yang dikatakan telah menipu tanah penduduk di Galas.Begitulah jahatnya mereka menabur fitnah terhadap Pas.





Ini tanah yang didakwa dirampas Chek Hashim.Mana

bukti?Sekadar tanah kosong,penulis pun boleh

gunakan gambar ini mengatakan Aziz Limau merampas

tanah penulis.







UMNO mendakwa projek Ladang Rakyat tersebut telah mencemarkan alam sekitar,merampas tanah orang asli dan mengeruhkan keadaan sungai di Galas,Malah perkataan "towkay China" digunakan bagi membangkitkan sentimen perkauman dalam pengundian kali ini.Sebenarnya,bagi penulis bukan isu alam sekitar yang membimbangkan mereka,tetapi lebih daripada itu,mereka bimbang pembangunan berterusan di Galas akan mencabar kedudukan Cameron Highlands sebagai pusat penanaman sayur di Malaysia.Kalau benar isu ladang rakyat zalim,Pas sudah ditolak di Galas tahun 2008 yang lalu,bukannya sekarang.Apapun, nama pun UMNO,memburukkan Pas adalah wajib bagi mereka.Tapi apa yang pelik,dalam masa yang sama, masih ada hati mahu melaksanakan agenda perpaduan Melayu.



Inilah yang dinamakan perangai loklak,makngal dan sedor.




propartiislammalaysia.blogspot.com

Piala Malaysia: Mampukah NS Kekang Kelantan?


Kapten pasukan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) dan rakan sejawatannya dari Kelantan, Indra Putra Mahyuddin sudah bersedia untuk bertarung habis-habisan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan ZAZALI JAMIAN

KUALA LUMPUR – Kelantan berasa mereka telah matang dengan pengajaran musim lalu manakala Negeri Sembilan percaya seluruh pemainnya mampu menampung kelemahan jentera serangan apabila kedua-duanya mengulangi perhitungan akhir bola sepak Piala Malaysia, malam ini.

Edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil turut membuka peluang terbaik Wira Merah menghadiahkan Sultan Muhammed V atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan.

Sedangkan Si Rusa mengidam gelaran berganda musim ini selepas menjulang Piala FA.

Inilah kemaraan keempat Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia (termasuk Piala Malaya) selepas 1955, 1970 dan tahun lalu yang kesemuanya dihampakan Singapura, Perak dan Negeri Sembilan sementara lawan turut pernah menjuarainya pada 1948 selain bergelar naib juara 2000 dan 2006.

Namun, musibah kecederaan melanda pasukan masing-masing dengan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan terpaksa melupakan khidmat Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam manakala Rezal Zambery Yahya mungkin sekadar di bangku simpanan Negeri Sembilan dan Rahman Zabul sah diketepikan Wan Jamak Wan Hassan.

“Kami lebih bersedia kali ini dan telah belajar daripada pengalaman tahun lalu. Kami harap dapat menunjukkan apa yang kami pelajari itu kali ini dengan barisan pemain lebih berpengalaman tetapi biarlah label pasukan pilihan itu bukan ditujukan pada kami,” kata Sathianthan.

Wan Jamak pula berkata: “Akibat kecederaan (Rahman, Rezal dan Zaquan Adha Radzak), kami terpaksa mengubah banyak posisi tetapi saya percaya kesebelasan pemain di padang (malam ini) mampu menjaringkan gol termasuk mereka yang baru kali pertama bermain perlawanan akhir Piala Malaysia.”

Sathianathan yang memburu gelaran sulung tempatan dalam karier kejurulatihan berharap tuah kali ini menyebelahinya.

”Saya harap nasib bukan lagi menentang saya seperti tahun lalu kerana setiap kali memasuki perlawanan akhir, anda akan berasa mampu menang sedangkan Negeri Sembilan juga sebuah pasukan hebat. Tuah jelas mampu memainkan peranan,” ujar Sathianathan.

Bagaimanapun Wan Jamak berkata: ”Memang mudah bercakap daripada membuat dan ramai yang berkata lebih banyak tekanan pasti berpihak kepada kami selaku juara bertahan tetapi bagi saya hidup ini sebenarnya satu tekanan. Kalau tiada tekanan langsung, tidak mungkin kita mampu memperbaiki diri.”

Dalam pada itu Sathianathan menegaskan, jika Negeri Sembilan dikatakan tiada penyerang utama atau penjaring gol tetap, bagaimana mereka mampu ke perlawanan akhir?

”Adakah dengan hanya seri 0-0? Kami juga bimbang dengan kecederaan terbaru Akmal Rizal Rakhli walaupun saya harap dia mampu pulih cepat,” ujarnya.

Sambil mengetepikan perbandingan pencapaian peringkat Kumpulan A Piala Malaysia yang menyebelahi Si Rusa, Wan Jamak turut menyifatkan suasana perlawanan bakal banyak membawa kelainan.

Jelasnya, keputusan malam ini juga bergantung kepada sejauh mana kemampuan sesebuah pasukan itu menangani tekanan dan cuba mengurangkan kesilapan di tengah padang.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan menang 1-0 di Kota Bharu dan seri 2-2 dengan Kelantan di Paroi dalam perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia dari September hingga awal bulan ini.

Namun, lawan tampak lebih menyerlah sepanjang dua pusingan dan selaku naib juara Liga Super musim ini dengan memenanginya 1-0 dan 3-1.

UM



7 tahun dicabul bapa

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.

KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.


“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.


“Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.


Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.


“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.


“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.


Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.


Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.


“Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.


“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.

HM



Dakwaan pakatan sulit: PAS sifatkan Zulkifli Noordin ‘joker’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


GUA MUSANG, 29 Okt — Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan Zulkifli Noordin sebagai “joker” ekoran dakwaannya bahawa PKR dan DAP mengadakan “kontrak rahsia” bagi memastikan dominasi Cina jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.

Semalam, Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu itu, bekas wakil rakyat PKR, mendakwa PAS juga tidak sedar tentang kewujudan kontrak tersebut.

Ketiga-tiga parti itu menganggotai Pakatan Rakyat (PR) sejak pilihan raya umum 2008.

“Saya tak berminat nak beri respons terhadap dakwaan beliau (Zulkifli).

“Beliau ini ‘joker’, sebab itu saya malas nak respons apa jua yang beliau cakap,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen PAS kerusi Kota Baru pada sidang media harian di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.

Pemimpin dari Kelantan ini juga menegaskan, dakwaan yang dibuat Zulkifli tidak akan menjejaskan kempen pilihan raya parti Islam itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

“Tidak terjejas apa-apa pun,” katanya.

Pengundian diadakan 4 November ini.

“Kontrak ini menjanjikan bahawa pemimpin-pemimpin Cina dalam DAP akan diberikan autonomi di Pulau Pinang (jika PR memerintah),” kata Zulkifli ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam.

Wakil rakyat Bebas ini, yang satu ketika dahulu rapat dengan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam DAP dengan menyifatkan parti itu sebagai “parti dijangkiti elemen cauvinis” dan mendakwa ia bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969.

“(Sekiranya PR mengambil alih kuasa) calon-calon Melayu akan diletakkan di Negeri Sembilan dan Perak. Dan, jika mereka menang (di negeri-negeri ini), mereka akan melantik menteri besar kalangan DAP untuk mengetuai negeri-negeri ini,” kata beliau lagi.

Namun pemimpin PKR dan DAP menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan itu bahawa mereka mengadakan pakatan rahsia dengan mengetepikan PAS bagi menjamin dominasi kepimpinan Cina jika PR menguasai Putrajaya.

Kepimpinan PKR dan DAP membidas Zulkifli yang keluar PKR awal tahun ini, sebagai pembohong yang memutarbelitkan cerita untuk ‘berkhidmat’ kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

TMI


MP Sg. Siput saman kerajaan, Najib

Hazayani Zakaria



KUALA LUMPUR, 29 Okt: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj hari ini memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas keengganan memberikan peruntukan pembangunan kepada kawasannya.

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman Srinivasan & Co di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi tadi.

Menurut Jeyakumar, pada 29 Mei tahun lepas, beliau telah mengemukakan permohonan bertulis agar sebahagian daripada Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi tahun 2009 untuk kawasan Sungai siput digunakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang disyorkan beliau sebagai ahli parlimen kawasan itu.

Namun ujarnya, permohonan itu ditolak sedangkan Dalam Dewan rakyat ada dinyatakan bahawa sejumlah antara RM 1 juta hingga 2 juta diperuntukkan setiap tahun untuk projek-projek kecil bagi setiap kawasan.

"Oleh sebab itu saya failkan satu kes. Kita mengatakan cara mereka mengagihkan peruntukan itu tidak betul. Kerajaan mesti telus, mesti bagi kepada semua ahli Parlimen melalui prosedur yang betul dan ada satu senarai bagaimana duit ini digunakan di setiap kawasan supaya semua ahli Parlimen," kata beliau kepada pemberita di luar mahkamah.

Beliau juga memberitahu, awal tahun ini beliau mendapat satu surat daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri perak mengatakan bahawa mereka meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.7 juta untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Shing Chung, PIBG Methodist dan Asrama Anak yatim Nurul Ihsan, Talang Tengah.

Namun katanya, pihak terbabit mekalumkan kepada beliau bahawa mereka tidak pernah menerima peruntukan yang dinyatakan tersebut.

"Jadi ke mana wang ini? Oleh kerana tidak jelas ke mana wang itu disalurkan, kemungkinan ada pihak menyalahgunakan peruntukan ini," katanya yang merupakan ahli parlimen dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sehubungan itu beliau mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pihak kerajaan yang ejals mengamalkan 'double standard' terhadap ahli parlimen pembangkang.

HD


Jumaat, Oktober 29, 2010

6 maut,21 cedera bas terbabas di Genting Sempah

Bas Pelancongan Terbabas: Enam Maut, 21 Cedera

Enam maut manakala 21 lagi dilaporkan cedera selepas sebuah bas pelancongan yang membawa para belia terbabas lalu terbalik di Km38 Genting Sempah dekat sini kira-kira 7.50 malam ini.

Kemalangan yang melibatkan bas yang membawa 44 penumpang yang terdiri daripada ahli Belia 4B Mukim Siong, Baling dan dua pemandu bas berlaku ketika kenderaan itu menuruni Genting Highlands.

Bas tersebut yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan, demikian menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail.

Penumpang bas berkenaan bermalam di Genting Highlands semalam.

Beliau berkata bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.51 malam daripada bomba Bentong yang memaklumkan mengenai insiden itu.

Tujuh jentera bomba termasuk dari Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Taman Melawati berada di tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa antaranya yang mautkerana tersepit di bawah bas.

Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

Berikut ialah senarai enam penumpang bas ekspres yang membawa ahli Belia 4B dari Mukim Siong, Baling, Kedah yang maut dalam kemalangan di Km 38 Genting Sempah dekat sini pada 7.05 malam ini.

Mereka dikenali sebagai:-

Mohamad Khairy Mohamad Mazuki, 14;
Mohd Amirul Muhamat Isa, 13;
Mohamad Firdaus Rosedi, 16;
Mohammad Yussof A. Akhit, 16;
Mohd Ridzuan Husin, 17;
Muhd Fahmi Abdul Mustaffa, 17.- BERNAMA
















greenboc

1 maut, 2 motosikal berkuasa tinggi hangus terbakar

Peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi terbunuh dirempuh rakan


Kedua-dua buah motosikal tersebut hangus terbakar dalam kejadian itu.

IPOH: Seorang peniaga yang menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi terbunuh apabila dirempuh rakan, selepas jentera yang dipacunya terbabas akibat bergesel dengan sebuah lori di Km 262.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Terowong Menora, di sini hari ini.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, Robert Lim Boon Huat, 52 dari Taman Desa, Kuala Lumpur maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Rakannya yang dikenali Cheng Teng Siong, 38, dari Puchong, Selangor hanya cedera ringan dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, katanya ketika dihubungi di sini.


Mengulas lanjut, Mohd Rodzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang berada di hadapan Lim secara tiba-tiba memasuki laluan memotong di sebelah kanan.


"Ia menyebabkan motosikal yang ditunggang Lim bergesel dengan lori itu sebelum terjatuh, manakala Cheng yang mengekori tidak sempat mengelak dan merempuh Lim," katanya.


Kejadian itu juga menyebabkan kedua-dua buah motosikal tersebut hangus terbakar.


Mohd Rodzi berkata, kedua-dua mereka bersama sembilan lagi rakan dalam perjalanan balik ke ibu kota selepas melawat Betong, Thailand.


"Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu telah membuat aduan dan memberi keterangan kepada polis," katanya.-Bernama

MESEJ:

PEMANDU-PEMANDU LORI DAN KENDERAAN BESAR YANG LAIN DINASIHATKAN SUPAYA LEBIH BERHEMAH DI JALANRAYA. KITA SERING MELIHAT LORI-LORI DI LEBUHRAYA DENGAN SELAMBA MEMASUKI LORONG MEMOTONG DI SEBELAH KANAN SECARA TIBA-TIBA TANPA MELIHAT KENDERAAN DI BELAKANG.HORMATILAH PENGGUNA LAIN.


Tiga remaja ditahan disyaki liwat kanak-kanak


PULAU PINANG 28 Okt. - Polis menahan tiga remaja berusia 13 tahun kelmarin, setelah disyaki meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah pangsa di Bukit Gambir di sini, Ogos lalu.

Penahanan itu ekoran satu laporan yang dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Jelutong, di sini kelmarin.

Kejadian tersebut terbongkar setelah keluarga mangsa menyaksikan satu rakaman klip video aksi seks luar tabii itu yang tersebar di kalangan remaja di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.

Klip video selama kira-kira 30 saat itu dipercayai dibuat di kawasan kaki lima sebuah rumah pangsa oleh salah seorang rakan remaja lelaki terbabit menggunakan telefon bimbit milik seorang lagi rakannya.

Semua remaja itu yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C iaitu kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang dilakukan tanpa kerelaan, secara paksa atau dengan ugutan," katanya.

UM

Bertunang lima gadis

KULIM - Hebat sungguh jejaka ini.

Dia sering kelihatan mewah dan bergaya, membuatkan ramai gadis tergoda. Apabila umpan sudah mengena, dia lantas mengatur majlis pertunangan yang cukup meriah.

Bukan seorang, tetapi lima gadis menjadi tunangnya sekali gus.

Namun, jauh di lubuk hati jejaka itu, tiada siapa tahu, dia sebenarnya langsung tiada niat mahu menikahi mereka.

“Ini hanya taktik licik untuk dia memperdaya ‘tunang-tunangnya’ itu,” kata jurucakap polis di sini mengenai taktik menipu seorang lelaki yang memperdaya wanita sehingga kerugian beratus-ratus ribu ringgit.

Selepas bertunang, katanya, lelaki itu akan mempengaruhi mangsa untuk membuat pinjaman peribadi sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit setiap seorang yang dikatakan bertujuan untuk persediaan majlis perkahwinan dan juga perniagaan yang akan mereka jalankan bersama setelah berkahwin kelak.

"Mangsa yang terpedaya, akan mudah dipengaruhi. Apa lagi dia sering berlagak seperti ahli perniagaan yang berjaya serta punya wang yang banyak. Ini meyakinkan mereka untuk melabur dalam perniagaan khayalan itu tanpa sebarang rasa ragu," katanya.

Bagaimanapun katanya, helah lelaki itu hanya terbongkar apabila selepas mendapat wang mangsa, jejaka itu pun hilang khabar berita.

"Setakat ini, kita sudah terima laporan daripada lima mangsa yang kesemuanya mengaku tunang lelaki itu. Mereka berusia antara 23 hingga 30 tahun dan kebanyakannya berstatus eksekutif," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa mengadu ditipu dengan modus operandi yang hampir sama, sekali gus meyakinkan pelakunya juga adalah orang yang sama.

"Kita sedang berusaha menjejak lelaki itu dan jika ada lagi 'tunangnya' yang lain di luar sana, mereka diminta buat laporan untuk kita siasat," katanya.

SH

Pemuda PAS dakwa Zambry teruskan amalan syirik

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kecewa dengan tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang didakwanya masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dua minggu lalu.


Dalam majlis perasmian itu, Dr Zamri didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya. DUN Manong terletak dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan mendakwa upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

NONEZawawi memberitahu demikian ketika ditanya mengenai langkah dewan itu menghantar memorandum bantahan mereka kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 22 Oktober lalu berhubung perkara itu.

Katanya, dewan itu hari ini turut menghantar bantahan yang sama kepada kesemua mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, meminta penjelasan mengikut hukum Islam berhubung perkara ini.

Zawawi berharap para mufti dapat mengeluarkan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru.

NONEMenurutnya, gambar dan rakaman video ucapara tersebut boleh dilayari dalam lamanweb mereka dan Youtube.

Zawawi berkata, rombongan 15 orang anggota Pemuda PAS Perak menemui Harussani pada 22 Oktober lalu untuk menyampaikan memorandum bantahan tersebut.

Dalam pertemuan di pejabat tokoh agama itu, katanya, Pemuda PAS meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu.

Zawawi mendakwa mufti perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya.
MK

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive