Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Ahad, April 26, 2009

One Umno:Pemimpin Rasuah Didahulukan, Tokoh Kalah Diutamakan



Melihat kepada senarai lantikan jawatan yang diumumkan oleh presiden Umno, Najib Razak Jumaat lalu, hanya satu kesimpulan boleh dibuat iaitu parti tersebut sudah ketandusan pemimpin yang berwibawa, bersih dan telus.

Disebabkan ketiadaan pemimpin yang dilihat rakyat sebagai bersih daripada rasuah dan politik wang, Najib tidak mempunyai pilihan lain selain mengitar semula tokoh-tokoh lama dan yang secara terang-terangan bergelumang dalam budaya rasuah.

Umpamanya duabelas ahli Majlis Tertinggi menyenaraikan antara lain nama-nama kontroversi yang bakal menyusahkan lagi penyakit rasuah yang dihidapi Umno.

Dua daripadanya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Rafidah Aziz dikaitkan dengan kes rasuah. Ali yang disekat bertanding jawatan timbalan presiden Umno oleh Lembaga Disiplin parti kerana didapati bersalah berhubung politik wang dilantik sebagai ahli MT malah mengepalai badan perhubungan Umno Melaka.

Lantikan Ali menjadi tanda tanya dikalangan ahli Umno sendiri dan rakyat sama ada Najib benar-benar serius untuk memerangi rasuah dalam partinya atau ini hanya satu lagi slogan kosong untuk mengabui mata rakyat.

Mungkin ini balasan Najib kepada Ali yang bersetuju akur kepada keputusan parti untuk menghalang beliau daripada bertanding.

Begitu juga Rafidah yang sudah di "reject" oleh Pergerakan Wanita Umno apabila beliau kalah kepada Senator Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pemilihan parti Mach lalu dibawa masuk kembali kononnya atas alasan pengalaman berguna kepada parti yang ada pada beliau.

Beliau juga tidak kurang hebat daripada segi kontroversi kes penyelewengan AP semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi

Selain Rafidah ramai lagi pemimpin yang sama ada tidak bertanding atau kalah dalam pertandingan MT dilantik kejawatan tinggi Umno.

Nama yang agak mengejutkan ialah Datuk Aziz Sheikh Fadzir, seorang tokoh yang telah dilabel sebagai mengapi-apikan sentimen perkauman.

Siapa yang tidak ingat insiden pada 1999 apabila selaku Naib Ketua Pemuda Umno ketika itu bersama-sama gerombolan pemudanya telah memanjat pagar Dewan Perhimpunan China Selangor dan apabila mengertak untuk membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor ketika memuncaknya kes tuntutan 17 poin Suqiu.

Satu lagi nama yang mungkin menambahkan kemarahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib ialah Datuk Seri Mohd Nazri Aziz .

Walaupun Nazri antara empat menteri yang didesak supaya tidak dipertimbangkan untuk jawatan Kabinet namun Najib tetap melantik beliau.

Kini selaku presiden parti beliau telah menambah luka pada hati Dr Mahathir apabila melantik Nazri sebagai ahli MT.

Mungkin ini satu isyarat Najib mahu tunjukkan kepada mentornya bahawa beliau mampu membuat keputusan sendiri tanpa celahan bekas bosnya.

Selaku presiden baru Umno, Najib telah melakukan rombakan besar-besaran dengan hanya mengekalkan lima pengerusi perhubungan negeri dan mengugurkan seramai lapan orang.

Ramai daripada pengerusi badan perhubungan Umno yang baru bukan berasal dari negeri yang mereka terajui. Ini mungkin boleh membangkitkan sentimen kenegerian di kalangan penyokong tokoh negeri yang tidak dilantik ke jawatan tersebut.

Antara yang tidak dilantik semula ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini dibelenggu oleh krisis pemberontakan daripada kalangan ahli dewan undangan negeri yang tidak menyokong kepimpinan beliau.

Tindakan Najib dilihat sebagai tidak merestui Ahmad menerajui Umno Terengganu sekali gus menghantar mesej supaya beliau meletakkan jawatan.

Sebagai timbalan sudah pasti Ahmad dan penyokong-penyokongnya akan memberi masalah kepada sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilantik menjadi pengerusi baru badan perhubungan Umno Terengganu.

Najib melepaskan Perak untuk mengambil Selangor dengan mengenepikan Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden.

Menteri Besar kudeta, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerajui Umno Perak dalam keadaan kedudukan beliau dari segi perundangan masih terumbang-ambing dan tidak mungkin ini membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya memulihkan Umno negeri itu.

Di Kedah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengambilalih daripada Datuk Seri Mahadzir Mohd Khalid, sesuatu yang agak janggal memandangkan beliau adalah orang Sabah dan mana mungkin memahami politik Umno Kedah walaupun isterinya dari negeri tersebut.

Kedah diperintah kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan ia adalah antara kubu kuat PAS. Aagak meragukan sama ada Shafie mampu mempamerkan ilmu keislamannya bagi menandingi ustaz-uztaz PAS Kedah.


Umno Kelantan di bawah Datuk Mustapa Mohamed agak payah untuk mengoyahkan pengaruh kerajaan negeri Pakatan Rakyat bawah naungan PAS kerana beliau dilihatv sebagai orang yangh lebih sesuai dalam dunia akademik dan tidak boleh bertahan lama dengan sepak terajang politik Umno negeri itu yang memperlihatkan pengerusi badan perhubungan Umno negeri sering bersilih ganti.

Ketua Penerangan Umno yang baru, Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian adalah orang muda yang dilihat belum dicukup matang berhadapan dengan cabaran politik yang sudah dan bakal melanda Umno dan Barisan Nasional sejak kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Mampukah beliau mengemudi dan merangka startegi biro penerangan parti bagi menghadapi PRU 13 nanti akan menjadi persoalan besar dalam penilaian prestasinya kelak.

Najib juga terus memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebagai setiausaha agung Umno, tokoh politik yang dikaitkan dengan kes klip video VK Lingam berhubung perlantikan hakim.

Hanya melihat kepada senarai nama yang diumumkan Najib sudah cukup memberi indikasi bahawa konsep Satu Malaysia yang dicanang beliau saban hari hanyalah satu fatamorgana yang bertujuan mendahulukan pemimpin yang rasuah dan menyeleweng dan mengutamakan tokoh yang tidak berwibawa dan bermasalah. - TVA

tvantara
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive