Dey Macha

Dey Macha
NAK TERSENGIH SELALU? SILA LIKE BIAQPILA PAGES

Kasi like saja apa ada hal...

Biaqpila on Facebook
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Rabu, November 26, 2008

Kisah babi dan cerita 'pendekar babi' Zhū Wùnéng


Oleh Faizal Riduan

Di dalam Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!).

Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan.

Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu.

Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu.

Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya.

Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Kini isu babi berkisar melarat sehingga ke negeri Kedah yang diperintah oleh Dato’ Seri Azizan Abdul Razak dari Parti Islam Semalaysia (PAS) sehingga Tun Mahathir menyifatkan PAS ditungangi oleh DAP yang hanya mempunyai 1 kerusi sahaja dan tidak boleh bersuara sehingga tidak kedengaran tentang buah mulut negara Islam PAS seperti dahulu lagi.

Persoalannya bukankah semasa zaman Tun Mahathir sendiri ‘babi-babi’ ini masih berkeliaran walaupun beliau mengistiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam?

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam.

Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional.

Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka.

Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam puluh tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur.

Epik Cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar.

Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja.

Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia.

Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya.

Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha.

Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual!

Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, memfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja.

Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!).

Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai.

Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia.

Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!).

Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa.

Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

* Isu babi di Kedah mengulangi sejarah polemik perkauman isu babi di Selangor. Saya lihat isu ini telah dipolitikan. Orang Islam kurang sedar mengenai falsafah di sebalik babi dalam kepercayaan masyarakat cina. Artikel ini adalah sebuah penulsian ilmiah. Sudah lama saya siapkan namun belum pernah diterbitkan. - Penulis


KLPOS

2 ulasan:

  1. samak = membersihkan kulit binatang yang halal dimakan dengan sesuatu bahan pembersih (cth. bahan kimia spt. soda)

    sertu = membersihkan tempat yang terkena najis mughalazah dengan 1x air + tanah dan 6x air mutlak...wallahua'lam

    BalasPadam
  2. KIRA OK LA TU

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive