Serangan sihir ke atas Malaysiakini
Sejak penubuhan, Malaysiakini telah biasa berdepan serangan dalam bentuk kritikan keras, serbuan polis, saman mahkamah, malah wartawannya dilarang daripada menjalankan tugas.
Tetapi serangan Subuh semalam ke atas premis kami semalam merupakan kali pertama cubaan pihak penentang kami menggunakan ilmu hitam.
Selain disimbah cat merah dan 'dipersembah' dengan seekor itik hidup, portal ini turut menerima tiga gambar ahli parlimen DAP Teresa Kok yang dibungkus dalam plastik jernih.
Terdapat juga beberapa genggam beras yang dibungkus, dengan setiap satunya mengandungi jarum dan dibungkus dengan benang merah.
Semua peralatan ini telahpun diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.
Tinjaun dengan mereka yang mempunyai pengetahuan dalam perkara ini menunjukkan beras dan jarum merupakan perkara yang biasa digunakan pengamal ilmu hitam.
Seorang pakar yang enggan dikenali berkata:
"Beras itu mewakili periuk nasi seseorang individu atau organisasi. Dan jarum itu, apa yang berlaku jika ada jarum dalam nasi yang anda makan? Ia boleh membunuh."
"Jadi bungkusan ini bertujuan memusnahkan periuk nasi orang atau syarikat.
"Bagaimanapun dalam perkara ini tidak pasti sama ada orang yang bertanggungjawab mahu memusnahkan periuk nasi mana-mana ahli politik atau Malaysiakini. Mungkin kedua-duanya," tambah beliau.
Kok menjadi sasaran beberapa protes setelah membintangi video satira "Onederful Malaysia" sempena perayaan Tahun Baru Cina.
MK