MH370: 12 hari, 7 teori
Masa semakin suntuk bagi penyiasat untuk mengesan kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines MH370 sebelum baterinya habis dalam masa 18 hari, dan kini debat antara pakar dan mereka yang mengikuti siasatan ini semakin berkisar sekitar tujuh teori yang muncul sejak 12 hari ini.
Ketujuh-tujuh teori tersebut yang disenaraikan oleh akhbar Australia, The Age, termasuklah teori juruterbang MH370 berpatah balik ke Pulau Langkawi kerana kecemasan di dalam kapal terbang hinggalah ke rampasan kapal terbang.
The Age menyenaraikan beberapa teori yang paling menarik perhatian setakat ini:
1. SUMBER: Chris Goodfellow, mendakwa diri seorang juruterbang yang berpengalaman.
TEORINYA: Goodfellow menulis di Google Plus bahawa dia mempercayai juruterbang MH370 mungkin menuju ke arah pulau Langkawi untuk mencari tempat bagi pesawat itu mendarat selepas transponder radar mereka dirosakkan oleh api.
"Arah tuju ke kiri adalah penting di sini. Ini seorang kapten yang sangat berpengalaman dengan jumlah masa penerbangan 18,000." tulisnya.
"Mungkin juruterbang lebih muda yang diwawancara CNN tidak nampak arah tuju ini. Juruterbang lebih senior sentiasa ditetapkan untuk mengetahui lapangan terbang yang manakah paling dekat semasa penerbangan.
"Serta-merta apabila saya nampak hala tuju kiri itu saya tahu dia menuju ke lapangan terbang. Sebenarnya dia mengambil jalan terus ke Pulau Langkawi, mengikut jalur sepanjang 13,000 kaki dengan pendekatan atas air waktu malam tanpa halangan. Dia tidak berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana tahu di sana akan ada rabung 8,000 kaki untuk dilintas. Dia tahu muka bumi di sekitar Langkawi lebih mudah dan pendek.
"Lihat lapangan terbang ini pada Google Earth. Juruterbang ini melakukan semua yang sepatutnya. Dia berjumpa kejadian tidak diingini di dalam kapal terbang yang membuatkannya berpatah balik ke lapangan terbang yang paling dekat.
"Apa yang saya rasa berlaku adalah mereka mungkin dilitupi asap dan pesawat itu terus berjalan menggunakan George (autopilot) sehingga kehabisan minyak, atau api merosakkan papan kawalan sehingga ia terhempas. Saya sudah katakan empat hari lalu anda boleh jumpainya sepanjang jalan itu – mencari pesawat itu di tempat lain membuang masa sahaja.
2. SUMBER: Desmond Ross, juruterbang Australia komersil dan pakar keselamatan penerbangan.
TEORINYA: Ross memberi teori yang hampir sama dengan Goodfellow. Dia berkata pesawat tersebut mungkin kekurangan tekanan selepas sesuatu kejadian, kemungkinan sebuah letupan yang membentuk lubang di kotak fius.
"Para juruterbang menyedari mereka perlu turunkan pesawat tersebut," kata Ross yang pernah menjalankan kajian keselamatan pada Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada tahun 2005.
"Salah satu daripada mereka mula memprogramkan semula sistem penerbangan dan meletakkan altitud yang rendah, dan mulai meletakkan semula program untuk kembali ke Kuala Lumpur... tetapi dia pengsan sebelum dapat memprogramkan semula pesawat tersebut.
"Pesawat itu kemudian berada di luar kawalan kerana letupan awal itu, dan mula jatuh tetapi pada ketinggian 45,000 mulai lambat.
"Ia hilang kawalan untuk sementara pada ketinggian yang ditetapkan juruterbang sebentar tadi, tetapi tidak melengkapkan arahnya ke Kuala Lumpur kerana juruterbangnya tadi hanya sempat memasukkan separuh nombornya sebelum pengsan. Kini ia terbang entah di mana..."
3. SUMBER: Keith Ledgerwood, peminat penerbangan dan 'hobbyist' juruterbang daripada Amerika Syarikat
TEORINYA: Teori ini berdasarkan premis seseorang merampas pesawat tersebut.
Ledgerwood mengatakan MH370 boleh sahaja menutup radar mereka, kemudian secara senyap mengikut belakang pesawat lain – Singapore Airlines dengan nombor penerbangan SQ68 dalam perjalanan dari Singapura ke Barcelona – sebelum mendarat di utara India atau Afghanistan.
Saya percaya MH370 mungkin mengikut di belakang SIA68 melalui ruang udara India dan Afghanistan," tulis Ledgerwood dalam Tumblr.
"Disebabkan MH370 sedang terbang secara tersembunyi tanpa transponder atau keluaran ADS-B, SIA68 tidak akan perasan kehadiran MH370 di mana-mana, dan apabila ia memasuki ruang udara India ia akan muncul sebagai satu blip sahaja pada radar dengan data daripada transponder SIA68 sahaja yang menerangi ATC dan skrin radar tentera."
4. SUMBER: Diterangkan oleh akhbar The Independent.
TEORINYA: Pesawat tersebut kemungkinan dirampas dan diterbangkan ke pengkalan Taliban.
The Independent melaporkan kebenaran diplomatik penuh diperlukan supaya dapat menolak teori yang mengatakan pesawat tersebut mungkin terbang di bawah kawasan radar Afghanistan dan Pakistan yang tidak dikawal kerajaan.
Sebahagian besar kawasan selatan Afghanistan diperintah oleh Taliban, sementara kawasan di utara barat Pakistan berdekatan adengan sempadan Afghanistan yang dikawal oleh Taliban.
Pegawai penerbangan awam Pakistan berkata mereka sudahpun meneliti rakaman radar mereka dan tidak menjumpai pesawat tersebut.
Seorang komando Taliban berkata kumpulannya yang berbelah bahagi itu hanya mampu mimpi sahaja tentang rampasan sebegitu.
"Kami harap sahajalah dapat peluang merampas pesawat seperti itu," katanya kepada Reuters.
5. SUMBER: Penyiasat
TEORINYA: Pihak berkuasa sedang menyiasat samada juruterbang atau penumpang membuat keputusan bunuh diri adalah penjelasan bagi misteri kehilangan pesawat itu.
Adanya contoh bersejarah bagi teori ini.
Pada 1997, penerbangan SilkAir 185 terhempas di Sumatera, membunuh semua 97 penumpang apabila juruterbangnya menjunamkan pesawat itu ke dalam sungai.
Juruterbang membunuh diri juga disyaki dalam penerbangan EgyptAir yang terhempas pada 1999, walaupun ia belum dibuktikan.
Teori ini dapat menjelaskan mengapa tiada serpihan jika MH370 terhempas ke dalam laut. Kapal terbangnya tidak akan bercerai sebelum impak, dan akan tenggelam dengan cepat.
6. SUMBER: Emel kepada wartawan mendakwa daripada Chinese Martyr's Brigade
TEORINYA: Kumpulan dikenali sebagai Chinese Martyr's Brigade mendakwa bertanggungjawab atas kehilangan pesawat MH370 dalam sebuah emel kepada wartawan China.
Emel yang dilindungi itu tertulis, "Anda bunuh salah seorang daripada kami, kami akan bunuh 100 daripada kamu sebagai balas dendam."
Tetapi mesej itu tidak memberi sebab mengapa pesawat itu hilang.
Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau sangsi dengan kenyataan tersebut.
"Tiada asas kukuh atau sebab yang mengesahkan dakwaan mereka," katanya.
7. SUMBER: Polis Malaysia dikatakan sedang menyiasat teori ini
TEORINYA: Letupan mungkin disembunyikan di dalam kargo pesawat itu dalam barangan buah-buahan eksotik.
Pihak berkuasa Malaysia mengatakan satu-satunya kargo di dalam MH370 adalah muatan manggis, buah yang terkenal di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata ada sebanyak 3 ke 4 tan manggis di dalam pesawat itu.
Beliau berkata kargo tersebut sudahpun dikesan semasa rutin sebelum dimasukkan ke dalam pesawat, tetapi pihak berkuasa sedang menyiasat jika letupan boleh dimuatkan bersama buah-buahan tersebut.
"Ini hanya satu lagi teori," seorang polis yang tidak dinamakan memberitahu Daily Mail. "Tetapi kita tidak menolak apa-apa kemungkinan." – 19 Mac, 2014.
TMI