Dey Macha

IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, Disember 21, 2009

Perlembagaan dan pemijak lembu

— Syahredzan Johan (loyarburok.com)

DIS 21 — Saya ingin membuat pengakuan; saya mempunyai hobi yang sedikit luar biasa. Hobi saya adalah menulis rencana yang mengkritik mereka yang kononnya “mempertahankan Melayu dan Islam”. Saya ceburi hobi ini kerana sudah rimas dengan sesetengah pihak yang gemar memberi amaran supaya jangan mencabar hak-hak Melayu dan agama Islam.

Kita tidak boleh mengekang kebebasan mereka untuk bersuara. Tetapi apa yang kita boleh buat adalah melawan hujah mereka dengan hujah kita sendiri, berlandaskan fakta dan undang-undang. Sebab itu saya gemar menulis rencana yang mengkritik mereka.

Oleh itu, apabila segerombolan manusia yang memanggil diri mereka Barisan Bertindak Penyatuan Ummah hadir di sebuah balai polis untuk membuat laporan terhadap seorang ahli Parlimen yang dikatakan telah mempersoalkan ketuanan Melayu, saya terus mendapat inspirasi untuk menulis rencana ini. Apatah lagi apabila saya mendengar apa yang mereka katakan.

Rakaman video peristiwa tersebut boleh didapati di internet. Saya merujuk kepada video tersebut dalam menulis rencana ini.

“Saya mahu kerajaan Malaysia hari ini bertindak tegas terhadap N. Kulasegaran dengan secara terang mempertikaikan Perlembagaan Malaysia pada hari ini,” kata seorang daripada gerombolan tersebut.

Saya tidak ingat namanya, jadi untuk rencana ini saya akan panggil beliau “Pemijak Kepala Lembu 1”.

“Yang mana Perlembagaan Malaysia memperuntukan bahawa hak keistimewaan orang Melayu itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu bermakna mempertikaikan ketuanan Sultan,” sambung Pemijak Kepala Lembu 1.

“Saya mahu Menteri Dalam Negara tangkap N. Kulasegaran ini di bawah ISA dan tarik balik kerakyatan dia.“

Wah, yakin sungguh Pemijak Kepala Lembu 1 ini. Beliau tanpa segan silu menggunakan Perlembagaan Persekutuan di dalam hujahnya. Malangnya, amatlah terang lagi bersuluh bahawa beliau tidak tahu tentang apa yang sebenarnya terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau telah menyarankan kerajaan untuk “menarik balik” kerakyatan ahli Parlimen tersebut. Jika beliau tahu tentang apa yang terkandung di dalam Perlembagaan, beliau akan sedar bahawa sebenarnya kerajaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menarik balik kewarganegaraan sesiapa. Malah, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan sebahagian besar rakyat Malaysia selain sekiranya individu tersebut telah mendapatkan kewarganegaraan negara lain.

Mungkin beliau patut membaca rencana saya yang terdahulu, “Kewarganegaraan: Antara retorik dan realiti Perlembagaan” di dalam bahagian I dan II.

Taktik Pemijak Kepala Lembu 1 dalam “merujuk” kepada Perlembagaan Persekutuan ini sering digunakan oleh mereka yang sewaktu dengannya. Mungkin mereka mendapat inspirasi daripada seorang menteri kabinet yang tidak lama dahulu begitu yakin membuat kenyataan bahawa perpindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu-Islam adalah “tidak menepati dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.

“Kita bagi dia dua minggu!” sambung Pemijak Kepala Lembu 1. Dua minggu ini adalah supaya N. Kulasegaran ini memohon maaf di atas kenyataannya.

“Eh, dua puluh empat jam sahaja bagi!” seorang lagi daripada gerombolan itu menyampuk. Untuk tujuan rencana ini kita gelar beliau “Pemijak Kepala Lembu 2”. Di kala itu, Pemijak Kepala Lembu 1 menyatakan bahawa dua puluh empat jam terlalu singkat. Akhirnya mereka bersetuju untuk memberikan tempoh masa dua minggu.

Kemudian, Pemijak Kepala Lembu 2 pula mengambil tempat Pemijak Kepala Lembu 1.

Katanya “Apa yang kami kesal di sini adalah kenapa ketuanan Melayu harus dipertikaikan?“.

Saya sebenarnya tidak berapa faham konsep ketuanan Melayu ini. Saya selalu juga membelek Perlembagaan Persekutuan (versi Bahasa Melayu), tetapi tidak pula saya menjumpai istilah ini di dalamnya. Memanglah, saya tahu ada peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi, peranan dan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tetapi tidak pula dinyatakan bahawa ada satu bangsa di Malaysia ini yang menjadi tuan. Malahan, Ketua Pemuda Umno sendiri telah menyatakan bahawa “ketuanan Melayu” tidak harus digunapakai lagi.

“Sehingga hari ini, orang Melayu terlalu banyak bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain.“

“Jadi kita memberi amaran sekeras-kerasnya kepada mereka dan sesiapa jua yang mempertikaikan hak keistimewaan Melayu, yang mempertikaikan tentang ketuanan Melayu.“

Saya selalu mendengar hujah ini. Di dalam blog-blog dan juga sesetengah media arus perdana. Skrip yang sama selalu diulang semula. Kadang-kadang saya terfikir juga, adakah mereka semua mempunyai buku “Malay Ultra for Dummies” yang digunakan berulang kali? Saya harap selepas ini gerombolan-gerombolan ini jadi lebih kreatif. Jangan terlalu mengikut buku. Bosan sungguh.

“Negara ini asalnya Tanah Melayu,” ujar Pemijak Kepala Lembu lagi, memperagakan pengetahuannya di dalam sejarah negara ini.

“Dan mereka-mereka ini boleh kita kategorikan warganegara kelas dua.“

Sebelum apa-apa, saya ingin mengulas tentang penggunaan bahasa Melayu Pemijak Kepala Lembu 2 ini. Istilah “mereka-mereka” itu adalah tidak tepat, kerana “mereka” sudahpun merujuk kepada bilangan lebih dari satu. Sebagai seorang yang ingin dilihat sebagai hero Melayu, beliau harus memastikan bahawa penggunaan bahasanya betul. Bahasa berterabur, tetapi ada hati ingin menjadi hero. Seperti kata watak dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, “Piiirrraaaahhhh!!!“.

Sambung Pemijak Kepala Lembu 2, “Warganegara kelas satu adalah orang-orang Melayu.“

Seperti saudara seangkatannya, Pemijak Kepala Lembu 1, Pemijak Kepala Lembu 2 juga begitu yakin dengan apa yang dikatakannya. Tetapi setahu saya, Perkara 8(1) memperuntukan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama rata di sisi undang-undang. Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan kewarganegaraan juga tidak menyatakan ada perbezaan kelas di antara warganegara Malaysia yang berbilang bangsa. Saya tidak tahu dari mana Pemijak Kepala Lembu 2 petik hujahnya itu. Mungkin dari buku “Malay Ultra for Dummies” juga.

“Jangan kerana politik, jangan kerana parti, sanggup mempergadaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu,” sambung Pemijak Kepala Lembu 2.

Ah, sekali lagi beliau membuktikan kepada seluruh negara betapa cetek pengetahuannya tentang “hak-hak keistimewaan orang Melayu”. Jika beliau ada membaca Perlembagaan Persekutuan, beliau akan sedar bahawa Perkara 153 yang memperuntukan tentang kedudukan istimewa orang Melayu tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sekiranya tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Jadi, walaupun Parlimen meluluskan untuk meminda atau memansuhkan Perkara tersebut, ia tidak akan berlaku sekiranya tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Hujah bahawa sesetengah pihak mahu memansuhkan Perkara 153 ini merupakan pembohongan nombor wahid di negara ini dan adalah sebuah momok yang digunakan untuk menakut-nakutkan sesetengah orang Melayu.

“Satu ketika waktu kita tidak mahu sejarah 16 Mei berulang lagi, sorry, 13 Mei berulang lagi.“

Apa yang begitu ironis adalah selepas mengeluarkan begitu banyak kenyataan yang berbaur perkauman, mereka semua kemudiannya menuding jari ke atas sebagai simbol “1 Malaysia”. Saya rasa, jika Perdana Menteri melihat bagaimana konsep 1 Malaysia yang dipeloporinya diputar dan dibelit oleh gerombolan ini, beliau tentu kecewa. Jika saya menjadi beliau, saya akan mencari buku Perlembagaan Persekutuan yang paling besar dan keras dan saya akan lemparkan buku tersebut tepat di muka setiap satu daripada mereka. Tetapi saya bukanlah Perdana Menteri, jadi perkara itu tidak akan berlaku.

Secara jujurnya, saya rasa kita tidak perlulah bazir tenaga untuk berasa marah terhadap kelakuan mereka. Biarlah juak-juak ini memuaskan hati mereka sendiri, biarlah mereka bergelumang di dalam rekaan mereka. Kita boleh ketawakan mereka, sebab mereka begitu yakin dengan dongeng mereka, tetapi saya rasa lebih baik kita kasihani mereka. Kita sebenarnya tidak patut marah terhadap orang-orang yang bodoh lagi jahil.

Namun demikian, saya juga rasa kita tidak boleh biarkan mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan nama Melayu dan Islam serta merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memberi justifikasi terhadap tindakan mereka yang melampau. Untuk itu, kita harus mematahkan hujah mereka dengan menggunakan fakta dan undang-undang. Beri kesedaran kepada mereka di luar sana, yang mungkin percaya dengan kata-kata mereka.

Dongeng kita patahkan dengan fakta. Penipuan kita patahkan dengan kebenaran. Kejahilan kita patahkan dengan ilmu.

Seperti Martin Luther King, saya juga punya sebuah impian. Impian saya adalah supaya gerombolan tersebut membaca rencana ini. Kemudian mereka membelek pula Perlembagaan Persekutuan (atau mendapatkan Buku Panduan Rakyat kempen PerlembagaanKu/MyConstitution daripada Majlis Peguam) dan membaca dengan sendiri peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya harap di kala itu, mereka akan sedar betapa jauhnya tersasar hujah mereka pada hari itu.


loyarburok.com



Menambahkan Pendapatan Dengan Team Kami
Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Komen

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive