KUALA LUMPUR 9 Oktober: KEADILAN menggesa seluruh rakyat termasuk anggota parti hadir beramai-ramai ke Konsert Bersih 8 Tuntutan (8T), Sabtu ini.
Naib Presidennya, Tian Chua berkata, pelbagai alasan dan dolak-dalik diberi untuk tidak melaksanakan lapan tuntutan tersebut, sekaligus memberi persepsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seakan-akan tiada kemahuan untuk melaksanakan reformasi sistem pilihan raya.
“Oleh itu, KEADILAN menyokong penuh usaha kumpulan NGO yang mengadakan konsert tersebut, demi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia betapa pentingnya pilihan raya yang bebas dan bersih,” katanya dalam kenyataan.
Konsert itu dijadual bermula 4.00 petang hingga 11.30 malam di Stadium Kelana Jaya dan masuk dengan derma minimum.
Antara artis-artis yang akan mengambil bahagian dalam Konsert 8T itu ialah Ito Mohd atau lebih dikenali dengan nama besarnya – Ito Blues Geng, Julian Mokhtar and The Geng, Republic of Brickfields, kumpulan Dum Dum Tak, kumpulan Hui Se De Dai dan Ray Cheong.
“Marilah kita bersama-sama menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menuntut pilihan raya yang bebas dan bersih,” kata Ahli Parlimen Batu itu lagi.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 juga akan mendendangkan satu lagu istimewa. Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0 turut membaca sebuah sajak khusus untuk konsert ini.
Konsert ini adalah untuk bersantai, bergembira sambil mengingatkan pemimpin kerajaan tentang tanggungjawab yang mendesak agar mereka melakukan reformasi penambahbaik sistem pilihan raya.
KD
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK