SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didesak memanggil satu sidang Parlimen tergempar untuk memperincikan semula Bajet 2015 yang didakwa tidak bersandarkan kepada sumber pendapatan negara yang sebenar.
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sidang tergempar itu juga perlu memberi ruang kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk hadir dan memberikan pendapatnya.
"Pengalaman beliau menangani krisis kewangan pada 1999 boleh dijadikan panduan sebelum terlambat.
"Rakyat perlu bersatu mendesak kerajaan melakukan sesuatu," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.
Dalam sidang Parlimen tergempar itu, kerajaan perlu memperincikan beberapa perkara berdasarkan kepada suasana ekonomi yang tidak menentu susulan kejatuhan nilai ringgit, harga minyak, bursa saham dan komoditi tempatan.
Antaranya, pengurangan pendapatan Petronas dan sumbangannya kepada kerajaan; penurunan nilai Ringgit dan kesannya pada hutang negara; pengurangan pendapatan daripada sumber eksport sawit dan getah serta langkah-langkah pengurangan kos termasuklah pengurangan lawatan ke luar negara oleh menteri kabinet.
Selain itu, kerajaan juga perlu menjelaskan penggunaan wang subsidi minyak setelah ditarik balik dan menjawab segala pertuduhan mengenai isu 1MDB.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) susulan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
"Kerajaan tidak harus memperjudikan nasib negara dan rakyat di 2015 dengan pelaksanaan GST yang bakal melonjakkan inflasi dalam dua tahun pertama pelaksanaannya sebagaimana yang berlaku di China, Singapura dan juga Australia berdasarkan laporan ‘2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges’.
"Perniagaan dan rakyat perlu diberikan ruang yang lebih selesa dan menentu untuk menghadapi krisis ekonomi yang kian nyata. Solusi jangka pendek boleh diwujud dengan menangguhkan pelaksanaan GST," katanya lagi.
SH