Oleh Ismail Hashim Yahaya
Pertama, salam takziah kepada semua penumpang dan kru MH17.Kedua, dua minggu lepas saya dan tiga rakan lain menaiki penerbangan MAS MH17 dari Amsterdam ke KLIA menggunakan laluan yang sama.
Saya membayangkan bagaimanakah keadaan penumpang semasa tidur, menonton filem, sedang menyantap hidangan dan berbual secara tiba-tiba terkejut diserangi peluru berpandu.
Ketiga, selamat datang ke dunia yang menggerunkan. Dunia yang silih berganti menampakkan wajahnya berbeza kepada manusia; kekadang wajah kemajuan tiba-tiba wajah kemiskinan, kekadang kemegahan pembangunan selepas itu tragedi kehancuran.
Kebangkitan dan kejatuhan seolah-olah sudah menjadi sebahagian penting daripada proses sejarah bangsa-bangsa; seolah-olah kemajuan dan kesengsaraan menyatu dalam perjalanan hidup manusia.
Tetapi jika dunia menampakkan wajah hodohnya, maka yang dibimbangi kegerunan itu akan mewarnai tubuh negara ini. Bayangkan dalam tempoh empat bulan dua penerbangan MAS berdepan insiden pelik; yang pertama hilang tanpa dikesan dan yang kedua didakwa ditembak pejuang pemisah.
Apa yang berlaku seolah-olah menunjukkan lorong gelap yang menakutkan, hutan rimba yang menyeramkan dan ruang turbulensi yang mengerikan.
Memasuki dunia yang penuh dengan ketakutan itu, kita seolah-olah meraba-raba ke sana ke mari, namun apa yang kita dapati dalam kes misteri kehilangan MH370 hanya kegelapan atas kegelapan dan kita menggapai seperti hilang pedoman.
Kita umpama kapal kosong muatan dan penumpang, yang terumbang-ambing dihentam badai dan gelora kuasa besar dengan kekesaran yang mengganas.
Ke manapun kita memandangkan yang kita temui hanya raksaksa yang mengerunkan, dajal-dajal yang menggerikan, hantu kelapan darah, parasit jahat dan virus ganas yang bergentayangan menjarah, menghisap, menelan dan menghancurkan sedikit-sedikit tubuh negara ini. Kita umpamanya rumput dipijak-pijak gajah yang sedang bertarung.
Dunia yang kita amati dan hidup sekarang tidak ubahnya sebuah mesin menggerunkan, menonjolkan berjuta kekerasan, berjuta lakonan yang munafik penuh pembohongan. Lihat kepada manipuasi dan jutaan longgokan maklumat yang menghempas badai.
Ia menjadi sebuah citra atau imej besar, mesin yang berjaya membungkus citra kerakusan dan kegerunan itu dengan pelbagai topeng, selubung atau penuh tanda seperti misteri kehilangan MH370 dengan seribu pertanyaan dan persoalan.
Dunia menggerunkan (dua insiden penerbangan MAS) yang sehari-hari kita saksikan melibatkan keseluruhan emosi, perasaan dan kejiwaan. Insiden menakutkan ini hanya dapat difahami dan dijiwai melalui penuh perasaan dan imaginasi yang tidak boleh dipertimbangkan melalui rasio dan logika.
Dunia ngeri ini tidak sahaja melibatkan emosi, perasaan dan kejiwaan akan tetapi juga melibatkan bahasa, kata, frasa, gaya dan metafora.
Mungkin juga apa yang sedang kita saksikan berdasarkan dua insiden yang berlaku dalan empat bulan ini ialah suatu panorama iaitu kekuasaan zalim yang sedang didekonstrusikan, suatu tirani yang ditelanjani. Kekuasaan yang menuju ke arah ‘chaos’ iaitu kecelaruan atau situasi kacau-bilau.
Chaos yang dijelaskan oleh James Gleick dalam bukunya Chaos: Making a New Science adalah sesuatu yang terdapat di mana-mana, tetapi sukar dijelaskan, suatu situasi ketidakbenturan, kecelaruan atau kacau-bilau yang sukar diramalkan, secara liar seperti arus air bergerak secara liar, kedatangan puting beliung dan taufan secara tidak menentu, gelora Tsunami menghempas badai, situasi ekonomi berubah-ubah, kejatuhan kewangan tidak dapat dikawal, peperangan merebak dan tidak dapat dikawal atau hubungan boleh diputuskan pada bila-bila tanpa sebarang dialog atau rundingan.
Chaos boleh berlaku dalam insiden peperangan, malapetaka, dua insiden penerbangan MAS misalnya, tingkah laku politik yang membawa pepecahan di mana ketiadaan keharmonian, kerusuhan sosial, tingkah laku undang-undang dengan hukuman yang tidak dapat diramal dan seumpamanya.
Kita mengharapkan situasi kekacauan dan ketidakpastian yang sedang melanda dunia antarabangsa sekarang ini tidak merebak ke negara ini.
Chaos boleh saja merebak memasuki hampir setiap sempadan berdaulat dan berbangsa: chaos politik, adalah situasi yang pola-polanya sukar diramalkan disebabkan besar goncangan dan perseteruan politiknya;
Chaos ekonomi adalah situasi turun naik nilai matawang dan prestasi ekonomi yang tidak menentu dan tidak dapat diatasi disebabkan inflasi, defisit, perbelanjaan yang tidak memberikan pulangan atau pembaziran, beban hutang yang menjejaskan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi;
Chaos sosial adalah situasi berbagai lapisan masyarakat tidak dapat dikendali atau dikawal, penyakit sosial yang tidak dapat dicegah, pepecahan dalam pelbagai lapisan masyarakat, keretakan hubungan dalam institusi keluarga dan pepecahan instituisi keluarga, sistem pendidikan hanyut dan bercelaru tidak mendidik manusia tetapi hanya sekadar mendapatkan pekerjaaan;
Chaos undang-undang di mana keunggulan undang-undang sudah tidak dihormati dan ditegakkan, jenayah berleluasa di mana penegakan undang-undang sudah tidak bermakna lagi;
Dan Chaos budaya di mana nilai murni sudah dilupai dan nilai keterlaluan dan melampau menjadi tumpuan dan semakin sukar difahami.
Apa yang dibimbangkan kekejaman yang berlaku secara berulang dalam jangka masa yang pendek (4 bulan) ini akan dapat menimbulkan trauma kepada ahli keluarga atau sahabat handai mereka yang terkorban.
Trauma itu akan lebih hebat pengaruhnya apabila kesadisan dan kekejaman tersebut terjadi dengan impak besar serta intensiti yang tinggi.
Daripada perspektif budaya, keganasan terjadi secara berulang-ulang, apa yag kita bimbangi seperti yang disebut Julia Kristeva dalam bukunya Powers of Horror - ia akan menjadi suatu kebiasaan, suatu ritual dan sebahagian daripada kebudayaan iaitu budaya keganasan.
Dua insiden mengerun dan mengerikan yang mewarnai negara kita ini tidak dapat dipisahkan daripada peranan citra besar di dalamnya. Seolah-olah terdapat atau wujudnya kekuatan yang tidak dapat atau aktor tidak dikenali yang bergerak di sebalik insiden ini dalam skala sejagat.
Citra besar itu adalah kekuatan mengerunkan dilengkapi mesinnya yang mencetuskan citra dunia menggerunkan dan paranoia. Kekuatan menakutkan ini mampu menyebarkan kekerasan, keganasan, ancaman, histeria, kepanikan dan kegilaan.
Dunia sejagat ini berada di bawah kekuasaan dan citra besar kerakusan dan keganasan dikaitkan dengan ketenteraan dan peperangan. Seolah-olah tiada siapapun yang dapat membebaskan daripada cengkaman dan genggamannya.
Sekali lagi selamat datang ke dunia yang menggerunkan.
DD