Oleh SUBKY LATIF
ADAKAH Tengku Adnan Mansur, Menteri Wilayah Persekutuan anak jantan? Jika sebenarnya dia anak jantan, dia mesti tangkap semua aktivis NGO yang mencabarnya menyediakan sup dapur bagi mengalas perut warga gelandangan di sekitar radius dua kilometer pusat sesak Kuala Lumpur.
Mulai minggu ini sekalian warga gelandangan itu mesti dibersihkan dari pusat bandar itu kerana pelancong sentiasa ramai dan aib negara justeru keberadaan gelandangan dan jamuan sup dapur.
Tidak kira ia disukai oleh sekalian orang merempat, NGO berperikemanusiaan, baik Perdana Menteri Najib dan KJ, Ku Nan mesti tegas, bersihkan Kuala Lumpur daripada anasir yang menyemakkan mata kementeriannya.
Jadilah macam PM Najib, semua yang siuman kata GST itu biawak hidup yang membebankan pengguna, kerana dia anak jantan – bukan pondan – dia jalan terus sekali pun GST menjadikannya digetik semua. Jadilah sekeras Mahathir, semua kata lebuh raya bertol membebankan rakyat dan menghidupkan lintah darat, sikit dia tidak peduli.
Ku Adnan nak keras dan tegas macam itu, tapi dia sudah jadi lebih lembut dari pondan hingga bercadang meletakkan kelemahannya kepada petugas laman sosial yang memutar belit niat dan kenyataan yang mulia.
Seminggu ini Ku Adnan jadi menteri jantan yang masyhur, mahu membuang gelandangan dari Kuala Lumpur dan memenuhkan penjara Kajang dan Sungai Buloh dengan simpatisan si miskin dan pengemis. Dia mahu menyenangkan hati pelancong dari seluruh dunia mengusir rakyat dan warga yang tidak bernasib baik, supaya pelancong merasakan Malaysia penuh dengan orang senang seperti Tengku Adnan.
Atas tulang dan keringat siapa Ku Adnan jadi menteri dan pembesar Umno? Atas susah payah ahli Umno dan rakyat yang bangsat. Mereka mendengar cakap pemimpin untuk membela nasib buruk mereka. Tiba-tiba kerana hendak duit para pelancong kaya dunia, sekalian yang miskin yang tidak tentu makan itu dihambat dari wilayah kekuasaan si Ku Adnan.
Hati menteri itu digambarkan dunia ini tiada tempat bagi orang susah dan dia hendak hidup dengan orang-orang senang saja. Biar Qarun yang menutup pintu zakat kepada rakyat merempat Mesir purba, kerana dunia yang dia hidup adalah bersama Firaun dan Haman saja. Jangan ada dalam Umno dan zaman merdeka ini orang berhati mustakbirin seperti itu
Gerangan apa wujudnya orang bangsat di Kuala Lumpur? Kerana sistem dan kegagalan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional. Lim Guan Eng pun tahu dua tahun saja pentadbiran Umar Abdul Aziz, tiada yang miskin dan tiada yang layak menerima zakat di wilayahnya. Kalau khalifah boleh basmikan kemiskinan, mengapa kerajaan tdak boleh kurang dan ringan masalah orang miskin.
Ajaran Nabi Muhammad SAW menganjurkan indahnya dunia ini, justeru adanya golongan miskin dan memperuntukkan sebahagian daripada kekayaan orang kaya itu adalah untuk orang miskin. Adanya si miskin itulah jadi sumber pahala bagi si kaya, jadi tempat mereka bersedekah dan menjamu makan. Tiada berkat kenduri kiranya tiada tetamunya orang miskin dan anak yatim.
Tiada makan Nabi Ibrahim a.s. yang beribu kambingnya kiranya tiada tetamu yang hendak menemannya makan. Baginda keluar mencari tetamu untuk makan bersamanya sebelum makan. Tidak kiralah tetamu itu kaya atau miskin.
Golongan itulah yanag Ku Nan hendak nyahkan dari KL. Sudahlah mereka dibencinya, yang mulia yang hendak menjamunya hendak dipenjara.
Mungkin dia rasa tidak bersalah. Kita cabar dia. Jika anak jantan, tangkap semua mereka supaya lebih cepat Putrajaya jatuh. Jika Ku Nan tidak utamakan pelancong daripada rakyat miskin, tidaklah kerajaan dikata zalim. Semua itu isyarat usia si takbur hampir berakhir.
DD
Qorun malaysia yang ada dalam UMNO yang tak boleh tengok dan bagi ada orang yang kesempitan hidup dikawasan orang hidup mewah sebab pengikut qorun ini berasa jijik dengan kehadiran puak-puak miskin ini.
BalasPadamANDA X FAHAM, KEMUDIAN SEBARKAN FITNAH PULA..
BalasPadamWALFITNATU ASHADDU MINAL KHOTR