Dey Macha

IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Rabu, Julai 28, 2010

Pemuda PAS: Benarkan semua staf kerajaan aktif berpolitik

Oleh G. Manimaran
July 28, 2010


KUALA LUMPUR, 28 Julai — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan membenarkan setiap kakitangan awam aktif berpolitik tanpa hanya memperluaskan keistimewaan itu kepada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.

Ketua Penerangannya, Fadhil Osman berkata walaupun langkah itu yang diumumkan semalam adalah permulaan yang baik, namun “ia belum memadai.”

“Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa kerajaan membenarkan pegawai siswazah untuk aktif dalam politik sebenarnya adalah tindakan yang agak lambat bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

“Sepatutnya pegawai kerajaan telah lama diberi kebenaran untuk aktif berpolitik dan memegang mana-mana jawatan politik sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju,” kata Fadhil menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

Fadhil berkata Dewan Pemuda PAS berpendapat sepatutnya semua pegawai kerajaan dibenarkan aktif berpolitik tanpa kawalan yang ketat.

Katanya, hak mengundi dan memilih parti politik mana yang mereka sukai adalah hak individu sejak mereka berusia 21 tahun.

“Ini adalah hak rakyat Malaysia yang kerajaan tidak boleh nafikan. Berpolitik bukanlah suatu jenayah dan ia tidak menyekat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

“Menyertai parti-parti politik adalah amalan biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi sihat seperti Malaysia.

“Berpolitik boleh menyuburkan sifat kepemimpinan, sensitif serta peka terhadap isu dan meningkatkan semangat berorganisasi di kalangan pekerja,” katanya.

Fadhil menambah, menyertai parti politik tidak akan menjejaskan prestasi kerja dan menimbulkan sikap ekstrem terhadap masyarakat Malaysia.

“Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan merasakan tindakan untuk meminta kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu adalah suatu tindakan yang tidak wajar.

“Kebenaran ini seolah-olah menyukarkan pegawai kerajaan kerana harus melalui pelbagai peringkat birokrasi.

“Bagaimana sekiranya surat permohonan kebenaran pegawai-pegawai kerajaan untuk berpolitik tidak diluluskan?” kata beliau sambil bertanya “apakah jaminan kerajaan sekiranya permohonan ini ramainya yang datang dari pegawai yang menyokong Pakatan Rakyat?”

Justeru kata beliau, kerajaan tidak perlu meletakkan apa-apa prasyarat pegawai kerajaan menyertai parti politik.

“Tindakan boleh diambil sekiranya pegawai tersebut mengabaikan tugasnya namun bukan menyekat rakyat dari menyertai mana-mana parti politik,” katanya.

Semalam, Mohd Sidek mengumumkan bahawa bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” kata beliau.

Bagi tujuan itu pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

TMI

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Komen

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive