KUALA LUMPUR: Niatnya ingin menghalang tiga perompak yang cuba melarikan tiga kereta mewahnya bernilai RM1.2 juta, namun seorang wanita warga emas sebaliknya terpaksa lari lintang-pukang apabila dia dikejar penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang.
SASARAN...polis menjalankan siasatan terhadap banglo yang menjadi sasaran tiga perompak, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa yang berusia 70-an terlihat kelibat tiga lelaki yang menceroboh rumahnya di Lorong Hujan, Taman OUG di sini sebelum suspek cuba melarikan tiga kereta mewah miliknya.
Sumber polis berkata, mangsa terus meluru keluar sebelum cuba menghalang tiga penjenayah terbabit melarikan keretanya.
Menurutnya, suspek yang menyedari kemunculan pemilik rumah terbabit terus mengeluarkan parang sebelum mengejar mangsa.
“Tindakan penjenayah menghunuskan parang itu menyebabkan pemilik rumah terbabit tergamam dan kecut perut sebelum berpatah semula masuk ke dalam rumah. Mangsa yang menutup pintu bagi mengelak penjenayah mencederakannya,” katanya.
Menurutnya, penjenayah sengaja merosakkan alat kawalan pada pintu pagar utama rumah mangsa bagi membolehkan tiga kereta mewah itu dipandu keluar.
|
Difahamkan, sebelum kejadian, kumpulan penjenayah warga tempatan terbabit terlebih dulu merayau-rayau di kawasan berkenaan sejak jam 3 pagi dipercayai untuk mengesan lokasi kediaman yang bakal dijadikan sasaran.
“Selepas yakin dengan sasaran, suspek memecah masuk untuk melarikan kereta mewah mangsa. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila alat penggera yang dipasang di rumah mangsa tiba-tiba berbunyi,” katanya.
Menurutnya, mangsa segera turun ke tingkat bawah banglonya untuk mematikan sistem penggera berkenaan sebelum mendengar enjin kereta dihidupkan.
“Mangsa yang mulanya menyangka anak lelakinya sedang memandu untuk keluar rumah bagaimanapun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali dengan menutup muka dalam kenderaan itu.
“Semua suspek memakai topeng mencegah wabak H1NI bagi memastikan identiti mereka tidak dapat dicam mangsa. Pemilik rumah yang cuba mencegah mangsa bagaimanapun dikejar sebelum masuk semula ke dalam rumah bagi mencari perlindungan,” katanya.
Menurutnya, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada anaknya, namun penjenayah sudah melarikan diri.
“Bagaimanapun, kejadian terbabit dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan rumah terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang mengesan penjenayah dan tiga kereta mewah model Mercedes Benz, BMW dan Honda Accord milik mangsa.
“Siasatan terperinci akan dilakukan terhadap rakaman CCTV diperoleh bagi mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit,” katanya.
hmetro