Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, Mei 03, 2014

MANA LEBIH BAIK UNTUK MALAYSIA,KETIADAAN ANWAR ATAU IBRAHIM ALI?


Oleh: Shahbudin Husin


Dalam usaha membodek dan mahu menunjukkan dirinya penting kepada perjuangan Umno serta Najib Razak, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali meneruskan lagi serangannya terhadap Anwar Ibrahim. Mungkin barangkali kerana ampu dan bodek yang banyak dilakukannya sebelum ini masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Najib serta Rosmah Mansor, maka kali ini bodekannya boleh dianggap paling "gila" dan mungkin hanya dua tiga orang saja dalam dunia ini yang sanggup melakukannya.

Apa tidaknya, kali ini beliau mendoakan agar Anwar, rakan lamanya yang sama-sama pernah merengkok di penjara Kamunting selama dua tahun, segera dimasukkan ke dalam penjara berkaitan kesalahan liwat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan dan hanya menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Tambah Ibrahim lagi, dengan Anwar merengkok di penjara, ia adalah baik untuk negara ini kerana selama ini bekas Timbalan Perdana Menteri itu banyak menyusahkan pihak keselamatan negara.


"Saya bersyukur dan gembira jika Anwar dipenjarakan, lagi cepat dia masuk lagi baik. Ia baik untuk rakyat dan negara, juga baik untuk pihak keselamatan yang pening dengan karenah Anwar selama ini," katanya.

Selain itu, Ibrahim juga berkata, beliau turut akan mengadakan kenduri kesyukuran jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara ke atas Anwar iaitu lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Dengan mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri kesyukuran mengenainya, tidak syak lagi tahap bodek dan ampunya kali ini boleh dianggap paling "gila" kerana orang yang didoakannya itu pernah menjadi kawan baiknya sebelum ini. Lebih-lebih lagi, Anwar pula bukanlah bermusuh secara langsung dengan beliau.

Musuh Anwar yang sebenar ialah Najib dan Mahathir Mohamad. Jika Mahathir pernah memenjarakan Anwar adalah mungkin kerana faktor perebutan kuasa, Najib juga jika melakukannya adalah kerana hal yang sama. Ia tentulah boleh difahami tetapi apa hal pula Ibrahim sampai tergamak mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri kesyukuran pula kalau bukan untuk membodek dan mengampu Najib?

Apa untungnya kepada beliau jika Anwar dipenjarakan? Adakah beliau pasti jika Anwar ke penjara, doanya itu akan dihargai oleh Najib?

Benarkah jika Anwar ke penjara dan Malaysia tanpa Anwar, keadaan negara menjadi lebih baik?

Atau mungkinkah tanpa pembangkang yang kuat yang diasaskan oleh Anwar selama ini, Najib dan barisan kepimpinan negara lebih bermaharajalela lagi merompak dan melanun kekayaan negara ini?

Dalam konteks yang lain pula, yang mana satu lebih baik untuk negara ini, tanpa Anwar atau tanpa Ibrahim Ali?

Apabila Ibrahim bersuara lagi untuk kali entah ke berapa menyerang Anwar sejak Najib menjadi Perdana Menteri, terutama mendoakan Anwar segera ke penjara, sebenarnya begitu banyak tanda soal bermain-main di kepala rakyat Malaysia, terutama yang mengenali bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Apa lagi yang dimahukannya daripada Najib dan apa lagi yang masih tidak cukup dalan hidupnya ketika usia emas sekarang ini?

Kepada yang tidak mengenali dan sekadar mengikuti pelbagai kenyataannya di media sebelum ini, ramai juga yang geleng kepala dengan perlakuannya itu serta menganggapnya tidak wajar dilakukan oleh seseorang dalam berpolitik.

Sejak 1998, Anwar telah mengasaskan kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat mengenai politik dan peri pentingnya sama-sama menyayangi negara ini. Melalui parti yang ditubuhkannya iaitu PKR serta berjaya menubuhkan gabungan yang kuat bersama PAS dan DAP, kedudukan pembangkang menjadi paling kuat dalam sejarah negara.

Melalui kewujudan pembangkang yang kuat, amalan "check and balance" terhadap kerajaan menjadi lebih berkesan. Banyak salah laku, penyelewengan, amalan rasuah dan seumpamanya telah didedahkan kepada umum dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada keadaan yang lebih baik dari segi pengurusan dan perbelanjaan wang negara.

Beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu pula telah mengalami pertukaran kerajaan negeri sejak Anwar mengasaskan reformasi rakyat, dan ini juga memberi pengalaman kepada rakyat untuk menilai kerajaan manakah yang lebih baik, dan akhirnya mana-mana kerajaan yang dipilih akan berusaha sebaik mungkin untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

Sama ada karenah politik Anwar memening atau menyusahkan kerajaan, ia sebenarnya adalah ujian kepada ketegasan serta kebijaksanaan pemimpin yang sedang memegang kuasa. Bukankah negara kita cukup dengan segala undang-undang, akta dan peraturannya?

Jika beliau didapati bersalah dan melanggar mana-mana undang-undang, peraturan atau akta, gunakanlah peruntukan yang sudah tersedia itu.

Tetapi jika pemimpin yang berkuasa takut untuk menggunakan kuasa terhadap Anwar, tidaklah wajar ketua pembangkang itu dipersalahkan dan dianggap banyak menyusahkan kerajaan. Ia adalah kelemahan pemimpin yang diberikan kuasa itu dan pemimpin seperti ini sudah sewajarnya ditumbangkan.

Ibrahim pula, sejak mengenal perjuangan politik yang bermula melalui gerakan pelajar, telah terlibat dalam banyak wadah perjuangan. Bermula dengan Berjasa, kemudian menyertai Umno, keluar Umno masuk Semangat 46, kemudian masuk Umno semula, meminjam tiket PAS pada pilihanraya 2008 dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas tapi mesra BN.

Sejak menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau menubuhkan NGO Perkasa yang meletakkan agenda perjuangan Melayu sebagai landasannya bersuara. Namun dalam banyak hal, perjuangan Perkasa lebih banyak membela perdana menteri serta mempertahankan kekuasaan Umno.

Dalam pilihanraya 2013 lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas, disokong oleh Umno dan BN tetapi tewas.

Selain menjadi pemimpin yang paling banyak melompat dan mudah tidak puas dengan satu-satu wadah perjuangan, Ibrahim juga kerap mengeluarkan kenyataan sensasi untuk menonjolkan dirinya.

Daripada mahu mencium punggung Mahathir, membakar kitab Injil berbahasa Melayu, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, melakukan pelbagai serangan keterlaluan kepada Anwar dan lain-lain pemimpin pembangkang dan macam-macam lagi, beliau juga bolehlah dianggap pemimpin yang paling banyak bersuara dan mengeluarkan kenyataan.

Hampir setiap hari ada saja kenyataan, komen atau reaksinya yang boleh dibaca oleh rakyat negara ini.

Akhbar Utusan misalnya, umpama hilang seri jika diterbitkan tanpa ada berita mengenai Ibrahim atau Perkasa.

Tetapi melalui banyak kenyataan yang dikeluarkannya atau parti yang disertainya, apakah jasa dan sumbangan Ibrahim kepada negara ini?

Bolehkah ada sesiapa yang boleh menyebut satu sumbangan besar Ibrahim kepada negara?

Antara Anwar dan Ibrahim pula, siapakah yang paling berguna dan siapakah pula yang jika ketiadaannya lebik baik untuk negara ini?

Barangkali elok juga jika Merdeka Center atau Umcedel dapat membuat kaji selidik mengenainya dan mudah-mudahan hasilnya nanti akan membuatkan ada yang perlu segera sedar diri. – shahbudindotcom.blogspot.com, 3 Mei, 2014.


TMI


1 ulasan:

  1. Tanpa Nama3/5/14 5:33 PTG

    Ibrahim anak ali ibarat kelapa uzur , dibiarkan atas pokok akan ditebuk tupai, diambil tiada santannya. Suruh beruk ambil pun beruk tak mahu. Kita biarkan saja dihanyutkan oleh sungai.

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive