Seorang lagi Adun Umno keluar parti, Terengganu ‘runtuh’ lagi
Barisan Nasional (BN) kini hanya tinggal 14 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) di Terengganu selepas seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Umno, Roslee Daud dari Bukit Besi meninggalkan parti itu.
Roslee bertindak keluar Umno pagi ini menyertai bekas
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib untuk
menjadi Adun Bebas.
"Saya sudah melihat surat keluar Umno daripada Adun Bukit Besi itu,"
kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.
Tindakan Roslee menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) kini menguasai majoriti
kerusi DUN iaitu sebanyak 15 kerusi berbanding BN yang kini hanya
tinggal 14 kerusi.
Syed Azman yang juga Adun Batu Burok berkata, PAS mempertimbangkan untuk
membuat permohonan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi
memanggil sidang DUN tergempar berikutan menteri besar Terengganu yang
ada sekarang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.
"Kita sedang menimbangkan pilihan itu," katanya.
Ahmad sebelum ini berkata lebih ramai lagi Adun Umno akan meninggalkan Umno dan menjadi Adun Bebas.
Sehingga kini, hanya dua membuat membuat pengumuman rasmi meninggalkan Umno bersama beliau.
Namun, pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Terengganu baharu, Datuk
Ahmad Razif Abd Rahman malam tadi, enam Adun termasuk Ahmad tidak
menyertai majlis itu.
Mereka termasuk Adun Ajil dan Adun Bukit Besi yang sudah mengumumkan tindakan meninggalkan Umno.
Tiga lagi Adun yang tidak hadir ke majlis itu ialah Adun Kemasik, Rosli
Othman; Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Adun Pengkalan Berangan,
Abdul Latif Awang lapor The Malaysian Insider
inikalilah
Empat Lagi Adun Dijangka Sertai Ahmad Said
Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu dijangka menyertai bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk keluar parti, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.
Ariffin yang juga Adun Alor Limbat berkata, beliau difahamkan ada lagi Adun Umno yang akan keluar parti itu, ketika tiga Adun di negeri itu sudah mengesahkan keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat Bebas, susulan tindakan Putrajaya menggugurkan Ahmad daripada jawatan menteri besar.
Malam tadi Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu di depan Sultan Terengganu, namun enam Adun Umno tidak menghadiri majlis bersejarah itu termasuk Ahmad.
Ahmad bersama dua lagi Adun Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan Umno dan mengisytiharkan menjadi Adun Bebas.
Ini menjadikan MB Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya mempunyai 14 Adun berbanding Pakatan Rakyat 15 (PAS 14, PKR 1) dan Bebas 3 dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, pihaknya memilih untuk bertukar kerajaan tanpa perlu membuat pilihan raya semula.
"Saya difahamkan, Umno sedang berusaha untuk membubarkan DUN untuk membolehkan pilihan raya diadakan semula, namun saya lebih setuju penukaran kerajaan sahaja sebagaimana Perak," kata Ariffin kepada The Malaysian Insider sebelum memasuki dewan mesyuarat Dewan Harian PAS Terengganu yang mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.
Dewan Harian adalah badan tertinggi dalam PAS Terengganu yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat dengan disertai tiga timbalan pesuruhjaya, ketua dewan ulama, pemuda dan muslimat serta setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya.
Ariffin berkata, dengan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung tahun lalu, mengadakan pilihan raya sekali lagi tidak akan disenangi rakyat dan melibatkan kos yang besar.
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan berikutan dua Adun PKR dan satu daripada DAP keluar meninggalkan parti masing-masing dan menjadi Adun Bebas yang menyokong BN.
Berdasarkan wawancara dengan Adun, Sultan Perak yang merupakan bekas ketua hakim negara memutuskan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak pada 6 Februari 2009 selepas mendapat sokongan 27 Adun Umno, 1 MCA dan 3 Bebas dalam DUN yang mempunyai 59 ahli itu.
"Lebih mudah membuat pertukaran kerajaan berbanding mengadakan pilihan raya semula," katanya dengan mengandaikan Ahmad dan penyokongnya setuju bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.
PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali namun kedua-duanya tidak bertahan lama apabila kerajaan pertama hanya bertahan beberapa bulan manakala kerajaan kedua yang dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal untuk satu penggal sahaja.
Selain Satiful, Hadi juga antara yang disebut-sebut bakal menjadi MB Terengganu sekali lagi.
Ahmad menandatangani surat peletakan jawatan setahun selepas menjadi MB Terengganu buat penggal kedua selepas pilihan raya umum Mei 2013 lalu.
Namun Ahmad memohon agar tempoh itu dilanjutkan sedikit lagi kerana beliau akan melangsungkan perkahwinan anaknya 17 Mei ini.
Menurut laporan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak permohonan itu dengan alasan ia hanya masalah peribadi.
- The Malaysian Insider
Kepincangan Umno menangani isu Ahmad Said
Pelantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu pada 2008 sering menunjukkan petanda terhadap Umno – mereka percaya parti itu lebih berkuasa daripada orang lain.
Beliau pada awalnya mengambil alih tugas Datuk Seri Idris Jusoh tanpa restu Umno dan meletakkan jawatan selepas dipaksa berbuat demikian setahun selepas mempertahankan Terengganu dengan kemenangan tipis.
Alasan beliau meninggalkan parti? Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh bersabar menunggu lagi lima hari sebelum menteri besar dua penggal itu selesai menguruskan kenduri kahwin anaknya pada Sabtu ini.
Kemarahan Ahmad terhadap Umno memaksa beliau meletakkan jawatan sehingga menyebabkan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) menjadi minoriti selepas dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno keluar parti dan menjadi Adun Bebas.
Situasi ini menyebabkan Menteri Besar Terengganu yang baru mengangkat sumpah malam tadi, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman hilang mandat memandangkan BN hanya ada 14 daripada 32 jumlah keseluruhan kerusi.
Pakatan Rakyat (PR) pula ada 15 kerusi manakala yang lain adalah Bebas.
Wujud spekulasi mengatakan ramai lagi Adun Umno keluar parti dan memberi tekanan lebih besar kepada Najib yang baru sahaja melihat musuh politiknya PR menangani isu hudud.
Di sebalik trio yang baru saja meninggalkan Umno, isu mengenai cara Umno menggugurkan Ahmad daripada pentadbiran negeri lebih besar daripada parti dan pentadbirannya.
Tiada bezanya dengan Umno yang menguasai pentadbiran kerajaan apabila menghalang RTM memberikan liputan terhadap pembangkang dan mempergunakan polis untuk menggertak pihak yang berbeza pendapat.
Bagi Umno dan 'warlord' yang merasakan kuasa mereka lebih besar daripada negara, mereka perlu meredakan ketegangan ini demi kepentingan rakyat.
Kemarahan Ahmad yang digugurkan dan digantikan dengan individu lebih muda daripadanya turut menunjukkan budaya 'warlord' masih berlaku dalam Umno yang menghalang kepimpinan anak muda dalam parti.
Ia juga mencemarkan pelan trasnformasi politik Najib yang mahu menarik undi anak muda dan bandar, seperti yang dikatakannya semasa menyambut ulang tahun Umno ke-68.
Namun masalah Najib lebih besar daripada cita-citanya untuk memancing pengundi muda. Beliau yang selama ini dilihat amat berhati-hati dalam setiap langkahnya kini perlu menentukan strateginya untuk Terengganu, sama ada perlunya pilihan raya kecil atau pujuk semula Ahmad.
Apa pun, episod di Terengganu membuktikan kelemahan tindakan Umno yang sentiasa ingin mengekalkan kuasanya melalui apa cara sekalipun.
- The Malaysian Insider
Cash payment. What if Karpal still alive, what is the comment shall he said? But for us at the time being at least can say 'padan muka', ha ha ha ha ha he he ha ha he he he!
BalasPadamPAS Trengganu tunggu apa lagi.Bertindaklah sebagimana UMNO bertindak di Perak dulu.Cash payment kepada UMNO.DiPerak dulu UMNO dah tunjuk jalan.ikut aje tak usah fikirkan betul atau tidak cuma jangan ulang penyakit lama dan ketepikan "kuda-kuda tua" yang sudah jadi tunggul lapok tu.InsyaAllah berjaya.
BalasPadamPanggil spider pulak bantu macai2 ummm.. x jawab. Ha..ha
BalasPadam