Ini kerana Ahmad difahamkan adalah ahli politik yang agak bengkeng atau kurang mesra dengan media.
Namun semalam, tatkala beliau dilaporkan berkurung seharian di Seri Iman, banyak pula pihak yang menyuarakan rasa simpati terhadap bekas Menteri Besar Terengganu itu.
Ini berkait dengan penyebaran cerita mengenai permintaannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ditangguhkan dahulu penggugurannya daripada jawatan MB hingga selesai majlis perkahwinan anak perempuannya Sabtu ini.
Ramai yang menyifatkan tindakan menggugurkan Ahmad ketika beliau sedang dalam persiapan untuk melangsungkan majlis perkahwinan anak adalah sangat tidak sensitif dan seperti sengaja mahu mengaibkannya.
Ketika menjawab permintaan Ahmad, Perdana Menteri didakwa menjawab bahawa itu urusan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan tindakan yang mahu diambil ke atasnya!
Sebenarnya, hal pengguguran Ahmad daripada jawatan MB Terengganu bukan cerita baharu. Sejurus selepas PRU13, sudah ada ura-ura Ahmad mahu digantikan berikutan prestasi BN Terengganu yang sangat lemah hingga sekadar mampu mencatat perbezaan dua kerusi berbanding dengan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun).
Susulan itu, tercetus kekecohan yang berupa bantahan dari kem Ahmad hingga menyebabkan urusan pembentukan semula kerajaan negeri tertangguh.
Dua hari selepas selesai PRU13, baharu Ahmad menyerahkan senarai Exco yang mahu dilantiknya dan pada 13 Mei 2013 iaitu lapan hari selepas selesai pilihan raya, baharu dapat dilangsungkan majlis angkat sumpah Menteri Besar.
Begitu pun, difahamkan ada perjanjian Ahmad dengan Perdana Menteri bahawa beliau hanya akan memegang jawatan itu untuk tempoh setahun yang bermakna, tempoh itu sudah cukup haulnya semalam!
Rantai
Ini bermakna Ahmad sendiri sudah sedia maklum akan tempoh beliau perlu mengosongkan pejabat Menteri Besar, juga kediaman rasmi Seri Iman sejak sekian lama.
Bukan hanya dua tiga hari lalu atau dua tiga bulan lalu yang mungkin jadi sebab untuk Najib tidak mahu lagi memberi sebarang tempoh lanjutan.
Namun dari perspektif yang lain, ketegasan Najib dalam membuat keputusan berhubung tindakan menggugurkan Ahmad dikira agak luar biasa.
Mengapa Perdana Menteri seperti tidak boleh bersabar?
Mengapa beliau begitu nekad sedangkan kedudukan BN di Dun Terengganu disedari adalah sangat tidak selamat?
Kalaulah wartawan di Kuala Terengganu pun sudah mengenali bagaimana bengkengnya Ahmad dalam berurusan dengan mereka, apakah Najib sebagai bos nombor beliau sebaliknya tidak tahu. Rasanya tidak.
Najib sendiri diyakini sudah cukup mengenali Ahmad yang bukan baharu dalam politik, malah kenaikan mereka sejak zaman Pemuda boleh dianggap sebaya walaupun Ahmad sedikit belakang!
Baru-baru ini tercetus kontroversi apabila backdrop pentas yang digunakan dalam lawatan Perdana Menteri ke Kemaman untuk menyampaikan bantuan mangsa banjir Januari lalu, menggunakan gambar Najib yang memakai rantai.
Entah betul, entahkan tidak gambar yang disebarkan menerusi internet itu tidaklah dapat dipastikan.
Namun jika benar sekalipun, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa mengingat akan karakter Ahmad. Sebagai pemimpin nombor satu parti dan kerajaan di peringkat negeri, juga Kemaman sebagai bahagian parti yang diketuainya, tidak mungkin beliau membenarkan penggunaan gambar itu tanpa memeriksanya. Ataupun, ini mungkin satu bentuk peringatan Ahmad kepada Najib bahawa beliau mampu 'buat gila' jika ada sesuatu yang tidak kena di hatinya.
Keluar parti apabila diminta meletak jawatan adalah satu daripada yang boleh dilakukannya!
Agak menghairankan mengapa ini tidak jadi perkiraan Najib untuk tetap juga mahu Ahmad meninggalkan kerusi Menteri Besar dalam keadaan parti dan kerajaan masih tidak selamat sekarang?
Mengapa tidak menunggu hingga ke akhir penggal dan selepas itu, janganlah lagi namanya dicalonkan untuk bertanding PRU14?
Ya, ada maklumat mengatakan KPI Ahmad agak teruk, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam pentadbiran negeri.
Sudahlah Terengganu dikenali sebagai negeri 'Darul Runtuh' banyak pula projek kerajaan yang dikatakan tidak disiapkan mengikut jadual malah ada yang tidak bersentuh. Apa lagi pula Perdana Menteri amat serius dalam program tranformasi kerajaan yang baru diumumkan laporannya kelmarin.
Nasi minyak
Inilah apa yang diandaikan bahawa Najib sudah tidak boleh bersabar untuk terus mempertahankan Ahmad di kerusi Menteri Besar Terengganu.
Apa pun, natijah daripada tindakan itu telah meletakkan Umno/ BN dalam keadaan yang sangat tertekan di Terengganu pada masa ini. Amat sukar rasanya untuk memujuk Ahmad dan seorang lagi penyokongnya untuk kembali ke pangkal jalan.
Cuba menekan akhirnya sendiri yang tertekan!
Lebih berat kerana ini membabitkan persoalan maruah. Siapa pun pasti akan berasa malu apabila pada hari perkahwinan anak yang sepatutnya diraikan dengan gembira, mulut orang terkumat kamit mengunyah nasi minyak sambil mengata kita. Mana nak letak muka sebagai tuan rumah kenduri?
Kalau jemputan semasa menteri besar diedar berpuluh ribu, yang datang nanti mungkin hanya sekadar lima atau enam ribu. Orang politik sementelah menjauhkan diri kerana bimbang dilabel 'orang bekas MB'. Bukan tidak faham cara politik orang kita!
Kedah
Satu perkara lagi, kes semacam ini bukan tidak pernah berlaku. Pada pertengahan 1995, hal yang hampir sama pernah berlaku di Kedah apabila Menteri Besar Kedah pada masa itu, Tan Sri Osman Aroff mahu digantikan dengan Tan Sri Sanusi Junid.
Bangkitlah sekalian Adun yang pro Osman dikepalai Speaker Dun, Datuk Zainol Md Isa (Allahyarham) menentang keputusan Datuk Seri Dr Mahathir (sekarang Tun).
Dr Mahathir tidak pula menghantar Setiausaha Agung Umno pada masa itu, Datuk Mohamed Rahmat ataupun Datuk Yaacob Mohamad, Setiausaha Kerja Umno untuk memujuk Zainol dan kumpulannya supaya menerima Sanusi.
Beliau sebaliknya memanggil dan berjumpa sendiri seorang demi seorang Adun Kedah yang menentang di pejabatnya di Jalan Dato' Onn.
Bayangkanlah, seorang Adun biasa Perdana Menteri sendiri yang panggil untuk berjumpa empat mata. Sudahlah bergegar kepala lutut, beranikah lagi untuk berkata tidak?
Paling tidak, Perdana Menteri sebagai pemimpin yang membuat keputusan akan dapat menyelami apa punca penentangan terhadap keputusan yang dibuatnya, dan inilah juga ruang untuk beliau menerangkan sebab dan kewajaran sesuatu tindakan itu dilakukan.
Sebaliknya, tindakan yang serupa tidak diambil oleh Najib. Beliau terlalu yakin untuk menghantar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Abdul Raof Yusof sahaja untuk memastikan Adun-Adun BN Terengganu menerima keputusannya menggugurkan Ahmad. Sekarang lihatlah apa kesannya!
Dan beliau sekali lagi cuba pula menghantar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersemuka dengan Ahmad petang semalam.
Ini kerja menukar Menteri Besar, sedangkan untuk tukar Pengerusi JKKK sahaja pun, sudah jadi riuh rendah sekampung.
Setiap pemimpin kecil atau besar, ada egonya dan ada pula penyokongnya yang tersendiri. Inilah kelebihan mereka yang perlu sentiasa dihormati.
Kepada Ahmad, beliau naik dengan kontroversi, turun pula lebih kontroversi. Sekurang-kurangnya, kenanglah waktu naik dahulu, bagaimana Datuk Seri Idris Jusoh diketepikan pada waktu itu sedangkan majoriti Adun Terengganu menyokongnya.
Tidak pula Idris sampai keluar parti!
SH